Anda telahpun melalui pelbagai
perayaan dan hadiri kenduri kahwin (yang banyak!) dan apabila ditanya
“bila nak kahwin?”, anda diri sendiri tertanya-tanya kenapa masih belum
jumpa teman sejati anda. Sebelum anda rasa sedih kerana sampai kini
tanpa seseorang teman hidup, mari kita lihat seba-sebab anda masih
bujang.
Belum bersedia
Mungkin anda belum bersedia berdepan
dengan seorang teman baru kerana baru sahaja melalui perpisahan yang
telah melukakan hati dengan dalam. Jangan risau, ia adalah perkara biasa
untuk setiap individu mengambil masa memulihkan hati yang luka itu dan
membina keyakinan diri yang baru. Jika anda tidak pernah berpacaran
sebelum ini, jangan beri diri anda tekanan tentang perkara ini. Mungkin
anda masih tertanya-tanya bila masa yang sesuai untuk memulakan hubungan
dengan seseorang. Seperti biasa, beri diri anda masa yang secukupnya
dan fikirkan apa yang anda inginkan dalam hubungan itu. Hadapi perkara
ini dengan hati yang tenang.
Terlalu sayangkan diri sendiri
Hmm, adakah anda seseorang yang
terlalu sukakan diri anda? Sebenarnya sikap sayangkan diri tidak salah.
Seperti artikel dari Huffington post yang menunjukkan pelbagai sebab
kenapa orang-orang ini masih bujang. Contohnya, jika anda tidak boleh
berkongsi bilik tidur, berkongsi kereta, berkongsi peralatan rumah
ataupun membuka ruang hati anda…anda sebenarnya lebih sayangkan diri
anda dan tidak inginkan seorang teman buat masa ini. Namun begitu,
mungkin suatu hari anda akan bertemu dengan si dia yang mempunyai kunci
ke isi hati anda.
Kurang keyakinan diri
Tidak kira kaum lelaki atau kaum
wanita, tiada sesiapa yang sempurna. Jika anda sering rasa kurang
keyakinan dan tidak berani hadapi dunia yang penuh cabaran ini, apakah
kebarangkalian anda akan bertemu teman hidup anda? Ingatkan diri anda
bahawa anda mempunyai nilai-nilai yang positif dan unik – setiap
individu mempunyai keistimewaan yang menakjubkan. Jangan lepaskan hidup
anda dan biarkan takdir menentukannya. Kadang-kala, kita kena berani
berjuang untuk diri kita sendiri.
Pentingkan kerjaya atau orang lain
Dah pukul 2 pagi tetapi anda masih
menaip laporan atau menolong kawan anda kemas rumah selepas kenduri?
Sikap tolong-menolong dan rajin mencari rezeki memang sikap-sikap yang
baik, tetapi jika anda tidak mempunyai masa untuk diri sendiri…macam
mana boleh jumpa si dia? Sayangi diri anda dan luangkan masa untuk
menjaga penampilan diri supaya kelihatan seperti seorang manusia, dan
bukanny robot yang bertungkus lumus untuk kerja atau orang lain sahaja.
Ingat, hidup ini hanya sekali dan perjalanan hidup anda dilalui diri
anda dan bukan orang lain.
Terlampau cerewet?
Siapa di sini rasa bersalah kerana
sedar dirinya terlalu cerewet? Atau ada yang masih tidak mengaku? Saya
boleh memahami kenapa anda sedemikian. Mungkin anda tidak berani percaya
sesiapa dengan sepenuhnya, tapi jangan sampai diri sendiri yang
kelihatan terlampau cerewet. Ada masanya anda sendiri pun kena sedar
tentang kebaikan dan keburukan diri sendiri sebelum menjadi hakim yang
menilai orang lain. Ambil masa untuk kenali kawan baru dan mungkin anda
berpeluang kenali bakal teman hidup anda.
Dalam diam anda…
Sebenarnya tidak ingin berteman. Anda
rasa selesa dengan kehidupan yang bebas atau kehidupan yang tidak pernah
sunyi kerana adanya ahli keluarga dan rakan-rakan yang akrab. Tidak
mengapa. Jadilah diri anda dan hidup seperti yang anda inginkan. Bak
kata orang, perasaan cinta dan sayang itu akan datang pada masa yang
paling tidak disangka.
mummynemo
Terlalu panjang angan-angan..:(
BalasPadam