Perjalanan hidup
manusia di dunia ini penuh dengan pancaroba. Terlalu banyak dugaan yang
perlu dihadapi untuk mecapai matlamat yang dikehendaki lebih-lebih lagi
mencari redha Allah. Sebelum kita lahir ke dunia ini, ada banyak
lapisan alam yang kita tempuhi sehinggalah lahir ke dunia bernama alam
Insan. Alam Insan ini adalah alam kesempurnaan kejadian dan memikul
tanggungjawab yang berat untuk memulangkan kembali
amanah yang diikrar dahulu.
Setelah
kita lahir ke dunia, kita terpesona dengan warna-warni dan keindahan
dunia yang membuatkan kita lupa akan ikrar dan tanggungjawab tersebut.
Lalu kita terpaksa mengharungi tujuh tingkat nafsu untuk kembali
mencapai kesempurnaan. Nafsu-nafsu tersebut menurut ilmu tasauf ialah :
1. Nafsu Ammarah
2. Nafsu Lawwamah
3. Nafsu Mulhimah
4. Nafsu Mutmainnah
5. Nafsu Radhiah
6. Nafsu Mardhiah
7. Nafsu Kamil
Saya
tidak berminat untuk mengupas secara lengkap akan ketujuh-tujuh nafsu
tersebut. Saudara bolehlah merujuk buku-buku yang berkaitan atau
berjumpa dengan orang yang arif mengenainya. Apa yang ingin saya
bincangkan di sini ialah mengenai tahap nafsu yang ke-4 iaitu nafsu
Mutmainnah. Nafsu Mutmainnah ini merupakan nafsu pertengahan yang
sekurang-kurangnya kita perlu duduk. Allah Taala telah berfirman dalam
al-Quran Surah al-Fajr ayat27-30 :
Maksudnya:
“Wahai
nafsu Mutmainnah, kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka
ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan
hamba-hamba-Ku yang soleh dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
Sebaiik-baiknya
untuk menjadi perawat Islam yang sejati, perlu mempunyai tahap nafsu
mutmainnah. Menurut Mustapha Muhamad Al-Jayasi dalam bukunya “Mengenal
Diri dan Wali Allah” berkata; antara sifat-sifat orang yang mencapai
nafsu mutmainnah ialah seperti berikut:
1. Murah hati dan tak lekang wang di tangan kerana bersedekah
2. Tawakkal yang benar
3. Bersifat arif dan bijaksana
4. Kuat ibadat
5. Syukur yang benar
6. Redha pada segala hukuman Allah
7. Taqwa yang benar
8. Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang terpuji.
Cabaran
sebagai perawat Islam sangatlah luas dan halus. Jin atau syaitan
sentiasa menunggu peluang untuk mencari titik kelemahan kita lalu
menyerang kita. Jika iman kita lemah atau nafsu masih di tahap Ammarah,
Lawwamah atau Mulhimah nescaya pertolongan daripada Allah lambat
dimakbulkan. Sebab itulah kita ada mendengar perawat Islam menipu orang,
mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita dan sebagainya.. Puncanya,
tidak lain dan tidak bukan ialah kerana nafsunya belum sampai ke tahap
nafsu Mutmainnah. Cara mengatasinya ialah dengan berguru dengan guru
yang mursyid, tekun menjalankan wirid zikir tarekat yang diijazahkan
dan sebagainya. Selain itu, kita perlu sentiasa berzikir atau
ingat kepada Allah dengan berkekalan sama ada bersendirian ataupun
berada di khalayak ramai. Kebiasaannya orang yang berada pada tahap
nafsu mutmainnah ini doanya mudah dimakbulkan oleh Allah kerana hatinya
sudah menjadi suci dan bersih.
Mujahadah melawan nafsu |
Sekian sahaja catatan daripada hamba yang fakir ini. Jumpa lagi..
Rujukan :
Mengenal Diri dan Wali Allah oleh Mustafa Muhamad Jayasi (Al-Ahmadi) ,Pustaka Aman Press , 1981.
*Sumber dari rawatan-islam-jengka.blogspot.com menerusi detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan