Isnin, 30 Jun 2014

Sifat Baran Merosakkan Rumahtangga


 
Pemuda-pemuda yang mempunyai sifat cepat marah dan panas baran mesti ubati sifat tersebut dengan segera.  Jika tidak, nanti apabila sudah berumahtangga, isteri dan anak-anak pasti akan menjadi mangsa baran kalian itu.  

Telah banyak isteri dan anak-anak yang bukan sahaja dimarah dan ditengking akibat perkara-perkara kecil, bahkan ada juga yang telah dilempang, ditumbuk dan ditendang oleh suami akibat panas baran yang menggila.  Sungguh, ini bukan sifat suami yang mudah masuk Syurga!

Saya baru-baru ini mendapat berita mengenai seorang kenalan di perumahan lama saya yang mana beliau selalu dipukul dan malah ditumbuk oleh suaminya.  Bahkan yang lebih teruk ialah ketika beliau sedang pantang pun, buku lima suaminya pernah menghentam tubuhnya.  Anak lelaki mereka juga pernah ditumbuk.  Dan anak perempuan mereka acap kali juga diugut dengan penumbuk ayahnya itu.  Inna lillahi wa inna ilaihi raji`uun.  Terkejut bercampur sedih.  Tergambar wajah-wajah anak mereka yang mana mereka sama sekolah dengan anak-anak saya.  Kasihan.




Inilah bahana baran dalam rumahtangga!

Hal sebegini bukan baharu berlaku dalam masyarakat kita.  Bahkan berlaku zaman-berzaman.  Tapi apabila ia berlaku berhampiran dengan kita dan kita kenal pula dengan ahli keluarga mereka, maka berita ini cukup terkesan pada hati saya.

Bukan senang menjalani kehidupan berumahtangga dan mentadbir ahli keluarga.  Kesabaran adalah antara aset utama buat suami yang telah diamanahkan meneraju keluarga.  Sebab perangai isteri dan anak-anak memang kadang-kadang, bahkan selalu juga cuba merobek kesabaran si ketua keluarga.  Apatah lagi ketika diuji dengan kesusahan, kesempitan, musibah, kemalangan, sakit dan sebagainya yang sudah pasti sangat-sangat menggoncang emosi.  

Itulah ujian.  Ada kala diuji ringan.  Adakalanya berat.  Selalunya kita lupa bahawa itu semua adalah ujian dari Yang Maha Pencipta.  Dengan ujian, ada manusia berjaya dan ada yang gagal.  Pada kesabaran ada pahala.  Pada baran ada dosa.

Kalian pemuda-pemuda mesti cuba ubati sifat baran tersebut jika ada.  Ia tidak mudah dan tidak hilang begitu sahaja. Memang ambil masa.  Namun mesti diusahakan dari sekarang, sebaik-baiknya sebelum memasuki alam rumahtangga.  Langkah demi langkah cuba mengatasinya.  In shaa’ ALLAH berjaya.

Cara Yang Ampuh

Antara cara yang ampuh menghilangkan atau mengurangkan baran ialah banyakkan membaca kisah kehidupan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Di dalamnya banyak contoh tauladan bagaimana menjadi manusia yang terbaik di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, disayangi penduduk langit dan bumi.  Sungguh pada diri Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam itu contoh ikutan terbaik buat seluruh manusia.  Khususnya buat manusia-manusia yang dambakan redha ALLAH dan mahukan kebaikan pada Hari Akhirat.

Kenali dan hayatilah susuk paling mulia ini – Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Baca dan dengarlah hadith-hadith Baginda.

Melaluinya kita akan dapat mengenali bagaimana santunnya Nabi, sabarnya Nabi, mesranya Nabi, hikmahnya Nabi, merendah dirinya Nabi, penyayangnya Nabi dan betapa Nabi selalu menyenangkan hati semua orang terutama ahli keluarganya.  Banyak riwayat-riwayat dari para sahabat Baginda radhiAllahu `anhum yang menceritakan bagaimana sempurnanya akhlaq Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di dalam hadith-hadith Nabi ada motivasi segar supaya kita sabar dan sentiasa berbuat baik.   Juga terdapat di dalamnya ancaman buat orang-orang yang melampaui batas.
Jangan marah
Jangan marah
Ada orang yang telah menjadi lebih baik hasil dari melazimi membaca hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Barannya semakin hilang, ammarahnya semakin jinak, sifat terburu-burunya semakin menenang, gilanya semakin merasional dan jiwanya sedikit demi sedikit diganti dengan akhlaq mulia persis Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Ini semua hidayah dan taufiq dari ALLAH Jalla wa A`la.  Dan hidayah dan taufiq bukan untuk ditunggu, tapi mesti diusaha.

Mencontohi sifat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam adalah asas persediaan menjadi suami yang baik dan bapa yang penyayang.  Inilah formulanya!

Ubati sekarang sifat baran itu.  Dengan hilangnya sifat buruk itu, keluarga yang kalian bina akan lebih bahagia, lebih tenang, lebih banyak senyum dan ketawa dalam rumahtangga, tiada isteri dan anak yang dizalimi, perceraian dapat dielakkan dan kalian akan masuk syurga, in shaa` ALLAH.
- muzir.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...