Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah
r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata,
ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling
rosak di antara mereka” (HR Muslim)
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a.
Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir zaman ahli
ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada akhir
zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama.
Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat
daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat
simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula.
Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada
mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu
berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan
menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri,
sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR
Tirmizi)
Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia
tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta
dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan
disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan
yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan
“Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai
Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui
bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)
Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah
r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal
sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap.
Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang
dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu
petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia
telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a.
Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana
bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan
orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah
seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu
umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar
terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan
ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah
‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan
takut mati” (HR Abu Daud)
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi
Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir
tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya
namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya.
Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka
adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada
merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ”
(HR Al-Baihaqi)
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id
Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu
akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang
biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya
Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW
menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad
as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah!
Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu
dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan
orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti
hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad)
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin
Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
“Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan
sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama
dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang
banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila
pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu
pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR Muslim)
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin
Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
“Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk
bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah
hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah
kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan
apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan
sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah
hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu
Majah)
Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a.
Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga
umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud)
Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti
al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan
datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa
lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka
solat” (HR Ibnu Majah)
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah
r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa
penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat
bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW
menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu
mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam
merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki
sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman,
tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba.
Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya”
(HR Ibnu Majah)
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan datang suatu zaman
seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah
dari sumber yang halal atau pun haram” (Riwayat Muslim)
Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a.
Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW
sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali
dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian)
mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil
galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak
galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang
jahat ” (HR Baihaqi)
Khamar
Daripada Abu Malik
Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya akan ada
sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya
dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara
biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah
SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)
Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau
berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada
orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu,
banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit
kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh
orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua golongan yang akan
menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka.
Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi
yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian
tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan
bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini
tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya.
Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan
yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia
berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari
kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya),
hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan
akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang
tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin
al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail
bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari
kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih
mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau
begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab
“Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan
tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya
menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat
Muslim)
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah
r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi
sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering
terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai
Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan”
Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah
r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat
sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya
sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh
kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada
seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata
“Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain
disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi
surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja
yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta
tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum ]
Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi kiamat
sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan,
sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari,
sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu
kilatan api” (HR Tirmizi)
Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin
Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka
hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga
dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang
tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat
terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam
bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya.
Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya
seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin
al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Islam akan lenyap
seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti
apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan
solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang
dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu
malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini
darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa
kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka
hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan
kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu
Majah)
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW sedang berada dalam
suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang
seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW
“Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus saja berbicara.
Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW) mendengar apa yang
ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya” Sementara yang
lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan itu”
Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana
orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu
menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila
amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu
bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?”
Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya,
maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)
Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin ,
Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata,”(Pada suatu
hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas
sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari
kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini
telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda
menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang
dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy)
lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di
kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda
“Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari &
Muslim)
Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a.
Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman di mana
orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali
apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain,
dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba,
segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan
melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini
telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi
kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan
anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya.
Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya
disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti
kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW,
apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka akan
menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia
telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan
menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi)
Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih
‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami
Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan
menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya
Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka
berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat
akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta
taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang
hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia
akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang
teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin
(Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke
jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan
jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana
sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan
Tirmizi)
Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik
r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat Yahudi telah
berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk
neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua
golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam
kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga
golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh
dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?”
Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah
r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula berkembang
dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah
orang-orang yang asing” (HR Muslim)
Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a.
Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di
mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya
laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi
Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di
dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di
badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit.
Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan
menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada
di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana
memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai
seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di
Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu
pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan
pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila
diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan
kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu
Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami
pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan
memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak
bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak!
Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari
itu” (HR Tirmizi)
Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin
Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa di
kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam perjuangan
mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT.
Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)
*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com menerusi detik islam
Walhal semuanya sudah dan sdg berlaku..
BalasPadam