Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji
bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Mu'adz
bin Jabal ra, dia berkata, "Aku berkata, "Wahai Rasulullah,
beritahukanlah kepadaku tentang suatu amal yang dapat memasukkana ku ke
dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka!"
Baginda
bersabda maksudnya, "Engkau telah menanyakan sesuatu yang besar
kepadaku. Hal itu benar-benar mudah bagi orang yang dimudahkan Allah,
iaitu: Hendaklah engkau menyembah Allah dan janganlah menyekutukan
sesuatu pun dengan-Nya, hendaklah engkau mendirikan solat, mengeluarkan
zakat, berpuasa Ramadan dan menunaikan haji di Al-Bait."
Kemudian
baginda bersabda lagi maksudnya, "Ingatlah, akan ku beritahukan kepadamu
beberapa pintu kebaikan: Puasa itu perisai dan sedekah dapat memadamkan
kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api serta solat seseorang
ditengah malam."
Kemudian
baginda membaca ayat, "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang
mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap,dan mereka
menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang
pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu
(bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan
terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
(Surah As-Sajdah ayat 16-17)
Kemudian
baginda bersabda yang bermaksud, "Bagaimana jika ku beritahukan kepadamu
tentang pangkal urusan dan sendi serta puncaknya?"
Aku bertanya, "Baik wahai Rasulullah."
Baginda
bersabda, "Pangkal urusan adalah Islam. Sendinya adalah solat.Puncaknya
adalah jihad." Kemudian baginda bersabda, "Bagaimana jika ku
beritahukan kepadamu maksud dari semua itu?"
Aku berkata, "Baik wahai Rasulullah."
Baginda memegang lidahnya dan bersabda, "Tahanlah ini!"
Aku bertanya, "Wahai Nabi Allah, apakah kami akan benar-benar dihukumi kerana apa yang kami katakan?"
Baginda
bersabda, "Ibumu mati kerana melahirkanmu. Adakah manusia
ditelungkupkan ke neraka pada bagian wajah mereka, melainkan sebagai
akibat dari lidah mereka?"
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi. Menurutnya, ini hadis Hasan Sahih.An-Nawawiyah, hal. 81)
Huraiannya :
Berdasarkan
hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat lima perkara (5 rukun
Islam) yang boleh memasukkan seseorang ke dalam syurga dan
menjauhkannya kedalam neraka.
Perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Menyembah Allah dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya.
2. Mendirikan solat.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadan.
5. Menunaikan haji di Al-Baitullah.
Pintu-pintu kebaikan :
1. Puasa adalah perisai.
Nabi SAW
bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadan) merupakan perisai dan benteng
yang kokoh dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi).
Nabi SAW.
menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu
layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh
kedustaan dan mengumpat. (Hadis Riwayat Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu
Majah).
2. Sedekah dan solat malam dapat memadamkan kesalahan (seperti air dapat memadamkan api)
Firman Allah
SWT maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang
baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik
dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa yang
kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat
272)
Sabda
Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan
kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul
khatimah).” (Hadis Riwayat al-Tarmizi)
Dalam sebuah
hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,
“Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat
malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan
mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan
menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari
badan.”( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
3. Pangkal urusan adalah Islam.
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna yang meragkumi semua urusan kehidupan manusia.
Firman Allah
SWT maksudnya : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama
kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan
Islam itu menjadi agama untuk kamu. " (Surah al-Maaidah ayat 3)
4. Sendinya adalah solat.
Sabda Nabi
SAW maksudnya :"Solat adalah tiang agama, barang siapa yang
mengerjakannya berarti ia menegakkan agama, dan barang siapa
meninggalkannya berarti ia meruntuhkan agama" (Hadis Riwayat Baihaqi)
Solat
merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Ia merupakan
sebesar-besarnya tanda iman dan seagung-agungnya syiar agama. Solat
merupakan tanda syukur atas nikmat yang telah dikaruniakan Allah kepada
hambanya. Ia merupakan ibadah yang membuktikan keislaman seseorang.
Solat adalah ibadah yang sangat mendekatkan hamba kepada Khaliqnya,
5. Puncaknya adalah jihad.
Allah
menjadikan jihad Fi Sabilillah dengan harta dan jiwa sebagai harga yang
pantas untuk memperoleh syurga. Kerana tidak ada amal yang lebih
memerlukan kesungguhan dan pengorbanan besar melebihi jihad. Di mana
seorang mujahid menyerahkan nyawa dan hartanya demi tingginya kalimat
Allah dan tegak agama-Nya.
Allah Ta'ala berfirman,
إِنَّ
اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ
بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ
وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ
وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا
بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Sesungguhnya
Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka
dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah;
lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang
benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang
lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah
dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang
besar.” (Surah Al-Taubah ayat 111)
Syaikh Abdurrahman bin Nashir as Sa'di menyatakan, jihad ada dua jenis.
Pertama :
Jihad dengan tujuan untuk kebaikan dan pembaikan kaum mukminin dalam
aqidah, akhlak, adab (perilaku) dan seluruh perkara dunia dan akhirat
mereka serta pendidikan mereka, baik ilmiah dan amaliah. Jenis ini
adalah induk dan tonggaknya jihad, serta menjadi dasar.
Kedua :
Jihad dengan maksud menolak orang yang menyerang Islam dan kaum
Muslimin dari kalangan orang kafir, munafiqin, mulhid dan seluruh musuh
agama dan menentang mereka.
6. Menjaga Lidah :
Anggota yang
paling penting yang perlu dijaga oleh manusia adalah menjaga dan
mengawal lidahnya, kerana lidah boleh menjerumuskan seseorang kedalam
api neraka.
Nabi SAW
bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan
ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik
dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya
kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu
dimasukkan ke dalam neraka".
(Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
sama-sama kita beramal dengan amal soleh yang dinyatakan oleh hadis di
atas kerana sesungguhnya segala pintu-pintu kebaikan telah ada dihadapan
kita maka amalkanlah dan jauhkanlah diri kita daripada segala amalan
dosa dan maksiat.
abubasyer.blogspot.
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan