Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji
bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap
muslim yang diciptakan oleh Allah SWT dimuka bumi ini tidak akan sunyi
daripada ditimpa musibah, penyakit atau dugaan. Besar atau kecil musibah
atau dugaan tersebut bergantung kepada kekuatan iman yang dimiliki oleh
seseorang hamba Allah itu. Semakin kuat iman dan takwanya maka semakin
berat ujian tersebut berlaku keatas dirinya. Ujian ini adalah penilaian
Allah SWT untuk meningkatkan makam atau darjat seseorang hamba disisi
Tuhannya.
Mengapa
umat Islam sentiasa bersangka buruk kepada Allah SWT apabila ditimpa
satu kesusahan atau musibah? Adakah ini satu penyeksaan atau ujian
daripada Allah? Perkara sebegini pasti bermain di dalam fikiran kalian.
Ketika
ditimpa musibah, hati sentiasa rasa resah gelisah, hidup menjadi tidak
tenang tanpa panduan. Kadang-kala membuat sesuatu pekerjaan tidak
menjadi. Fikiran risau tidak tentu arah seperti berada di lautan dalam
tanpa pertolongan. Apabila dirasakan terlalu berat, tidak mampu dipikul
sehinggakan sampai satu tahap, kalian merasakan hidup ini begitu sukar
dan fikiran buntu tidak tahu dimana harus di cari penyelesaiannya!
Ingatlah...
sesungguhnya orang mukmin tidak akan berputus asa dengan rahmat Allah
SWT. Biar betapa beratnya bahu untuk memikul musibah ini yakinlah bahawa
Dia sahaja akan dapat memberi pertolongan dan setiap kesusahan itu ada
kejayaan dan kebahagiaan.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia
mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat
seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."(Surah al-Baqarah ayat 286)
Memang hidup
ini tidak akan pernah sunyi daripada setiap dugaan dan ujian. Apa yang
boleh di katakan, sebagai umat Islam, seharusnya kalian yakin
sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih
sayang Allah terhadap kalian semua.
Sebenarnya
kalian tidak tahu bahawa Allah SWT amat sayang kepada kalian, sebab itu
Allah SWT datangkan dengan pelbagai ujian dan musibah, kerana Allah SWT
tahu kalian adalah hamba yang mampu mnghadapi ujianNya. Sebaliknya,
Allah SWT tidak akan menguji kalian jika kalian hamba yang tidak mampu.
Allah SWT berfirman maksudnya : "(Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka
berkata: ‘Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah
jualah Kami kembali’." (Surah al-Baqarah ayat 156)
Terdapat enam sifat mulia yang dimiliki oleh orang mukmin apabila ditimpa musibah. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Sentiasa beriman dan reda terhadap ketentuan takdir daripada Allah SWT.
Orang mukmin
yang beriman dan bertakwa akan sentiasa reda terhadap ketentuan takdir
daripada Allah SWT, walaupun terpaksa menanggung musibah tersebut.
Kita wajib
beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir,
wabak penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT telah tertulis di
Lauhul Mahfuz. Kita wajib menerima ketentuan Allah SWT ini dengan
berlapang dada (reda).
Allah SWT berfirman: "Tiada
suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri
melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami
menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."
(Surah AL-Hadid ayat 22)
Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh reda, bukan dengan perasaan geram , marah atau mengeluh kepada Allah SWT .
Kedua : Sabar menghadapi musibah.
Orang mukmin
sentiasa bersabar apabila ditimpa musibah. Sifat kesabaran yang tinggi
akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT tanpa hisab.
Menurut Imam
As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada
segala apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi 'alaa maa takrahu). Sikap
inilah yang wajib dimiliki ketika kita menghadapi musibah. Selain itu,
kita disunnahkan untuk mengucapkan kalimat istirja' (Inna lillaahi wa
innaa ilaihi raaji'uun) ketika berlaku musibah.
Allah SWT berfirman: “Dan
sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah
berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila
ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi
raaji'uun".”
(Surah Al-Baqarah ayat 155-156)
Oleh yang
demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan
berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah SWT tidak akan
memberikan kita kebaikan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa putus asa
itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada Allah)!
Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada
Allah SWT. Na’uzubillahi min zalik.
Allah SWT menegaskan bahawa sikap tersebut adalah sikap yang kufur sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Dari Ummu
Salamah RA mengisahkan: aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa ditimpa musibah, selanjutnya ia berkata: "Ya Allah,
berikahlah pahala atas musibahku dan berikanlah ganti untukku yang lebih
baik daripada musibah tersebut. Melainkan Allah memberikan ganti yang
lebih baik daripada musibah yang menimpanya."
Ummu
Salamah berkata, "Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata,
"Adakah kaum Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia adalah
keluarga pertama yang berhijrah kepada Rasulullah SAW, kemudian aku
mengucapkan doa di atas lalu Allah memberi ganti untukku berupa
rasulNya. Rasulullah SAW mengutuskan Hathib bin Abu Balta'ah untuk
melamarku untuk beliau. Aku mempunyai anak perempuan dan aku adalah
wanita pencemburu. Beliau bersabda, "Adapun anak perempuannya, maka aku
berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah mencukupinya (Ummu Salamah)
dengannya dan aku berdoa kepada Allah agar Allah menghilangkan sifat
cemburu. Kemudian aku bernikah dengan Rasulullah SAW."(Hadith Riwayat Muslim)
Ketiga : Mengetahui hikmah di sebalik musibah.
Seseorang
mukmin yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki
kekuatan mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami
musibah secara cetek iaitu dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja.
Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas segala musibah yang
menimpa.
Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya.
Sabda
Rasulullah SAW yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa
musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan
dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada
dosa-dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang muslim yang mati ditimpa bangunan atau tembok akibat gempa bumi adalah tergolong sebagai orang yang mati syahid.
Sabda Nabi
SAW maksudnya : "Orang-orang yang mati syahid itu ada lima golongan; (1)
orang yang terkena wabak penyakit taun, (2) orang yang terkena penyakit
perut (disentri, taun, dan sebagainya), (3) orang yang tenggelam, (4)
orang yang ditimpa tembok/bangunan, dan (5) orang yang mati syahid dalam
peperangan di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah
SAW juga bersabda maksudnya : "Akan diampuni bagi orang yang mati syahid
segala dosa-dosanya, kecuali hutang." (Hadis riwayat Muslim)
Hikmah lain
adalah jika anak-anak muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke
syurga. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Anak-anak kaum muslimin (yang
meninggal) akan masuk ke dalam syurga." (Hadis riwayat Ahmad)
Keempat : Tetap Terus Berikhtiar.
Orang mukmin
akan terus berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk
menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita
tidak disuruh untuk berdiam diri atau pasrah berpangku tangan
bertongkat dagu menunggu bantuan datang ketika musibah menimpa kita.
Beriman
kepada ketentuan Allah SWT bukan bererti kita hanya duduk diam termenung
dan meratapi nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri
kita.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra’du ayat 11)
Ketika
berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar
dari negeri tersebut. Ketika ditanya kepadanya, "Adakah kamu hendak lari
daripada takdir Allah?", Umar menjawab, "Ya, aku lari daripada takdir
Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."
Rasulullah
SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk
dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal,
masjid, sekolah dan sebagainya. Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh
menimbulkan bahaya bagi diri sendiri dan bahaya bagi orang lain." (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
Kelima : Memperbanyakkan berdoa dan berzikir
Kita
sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang
ditimpa musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia
di sisi Allah daripada orang yang enggan atau malas.
Rasululah
SAW mengajarkan doa bagi orang yang ditimpa musibah: "Allahumma jurnii
fii musiibatii wa akhluf lii khairan minhaa" (Ya Allah, berilah pahala
dalam musibahku ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik
daripadanya.) (Hadis riwayat Muslim)
Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati menjadi tenteram."(Surah Ar-Ra’du ayat 28)
Antara zikir
yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal 'azhim".
Sabda Nabi SAW: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan
membebaskannya daripada kesedihan, memberinya jalan keluar terhadap
kesempitannya, dan akan memberinya rezeki daripada arah yang tidak
disangka-sangkanya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Rasulullah
SAW bersabda: Ucapan yang paling disukai Allah itu ada empat, engkau
boleh memulainya dengan kalimat mana saja, iaitu Subhanallah (Maha suci
Allah), Alhamdulillah (segala puji milik Allah), Laa ilaha illallah
(tidak ada Tuhan selain Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha besar).
(Hadis Riwayat Muslim)
Keenam : Bertaubat kepada Allah SWT.
Tiada
seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada
dosa-dosa yang dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat
nasuha kepada Allah SWT. Orang yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa
musibah adalah orang sombong dan takbur.
Allah SWT berfirman: "Dan
apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh
perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada
kesalahan-kesalahanmu)." (Surah Asy-Syuura ayat 30)
Sabda Nabi
SAW: "Setiap anak Adam mempunyai kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang
yang bersalah adalah orang yang bertaubat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Terdapat tiga rukun dalam melakukan taubat nasuha :
1. Menyesali atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
2. Berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu.
3. Berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan datang.
Jika
dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar
hutang, pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti
perasaan orang lain dan sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi
iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama manusia dan memohon maaf.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
sama-sama kita perbaiki niat kita untuk beramal soleh iaitu
mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah SWT. Apa sahaja musibah yang
datang perlulah kita tenang, bersabar dan menganggap ianya satu proses
pembersihan diri kita daripada dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Jika
kita mampu melakukannya kita akan berada di dalam kebaikan dan rahmat
Allah SWT.
abubasyer.blogspot.
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan