Mulai tahun ini Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) akan melaksanakan syarat baru dalam mengambil serta
melatih pegawai dan anggota sejajar dengan hasrat negara menjadikan
pegawai dan anggota tentera bertaraf dunia.
Panglimanya Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin berkata syarat baru yang diperkenalkan ATM itu merangkumi dua
perubahan dalam pengambilan pegawai dan anggota yang akan dinilai
melalui kelulusan akademik.
“Syarat baharu ini kami mula laksanakan
awal tahun ini iaitu jika seseorang individu memohon menjadi pegawai
muda, kelayakan akademik dinilai adalah dengan memiliki ijazah kelas
pertama dengan kepujian dalam mana-mana bidang.
“Berbeza dengan syarat sebelumnya yang
hanya dinilai dengan memiliki ijazah, tanpa mengira kelas pertama atau
kedua, dan diploma dalam apa-apa bidang,” katanya ketika ditemubual
Bernama, di pejabatnya baru-baru ini.
Zulkifeli berkata syarat baharu kedua
ialah individu yang memohon untuk pengambilan anggota lain-lain pangkat
hendaklah lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata sebelum ini permohonan
untuk jawatan anggota lain-lain pangkat sekadar memerlukan kelulusan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Ini selaras dengan hasrat ATM khususnya
dan negara amnya dalam menjadikan pegawai dan anggota ATM bukan sahaja
mempunyai kelebihan fizikal dan mental malah mempunyai kelebihan dari
segi akademik yang mampu mengangkat nama ATM,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan