Mengapa Ibadah Sembahyang Tidak Membangunkan Insan
Dalam era membaiki diri ini, kita nilaikan sembahyang kita, nanti
akan terjawap kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara
keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat
islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.
Golongan Pertama
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak
sembahyang, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak sembahyang; mereka
telah jatuh kafir. Imam Malik berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak
sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka
juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.
Golongan Kedua
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun
masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar
sembahyang maupun secara rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang
sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup
dalam keadaan derhaka kepada Allah Taala.
Golongan Ketiga
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan
dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak.
Kalau ada masa dan mood baik; ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh
kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan
penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.
Golongan Keempat
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya,
tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya
banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu
sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham
apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu
pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam
sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang
jenis ini.
Golongan Kelima
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya,
faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya,
tahiyyatnya, tapi tak dihayati maksud dalam sembahyang itu. Fikirannya
masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi
tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul
muslimin.
Golongan Keenam
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi
main tarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali
sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di dalam sembahyangnya,
teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah
secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya
serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam
sembahyangnya.
Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan
tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan
yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan
kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada
kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan
khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu
moga-moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang
itu. Ertinya sembahyangnya tiada member kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.
Golongan Ketujuh
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara
langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan
fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga
pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar
sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki
harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti
perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya.
Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya. Golongan ini
disebut orang-orang soleh atau golongan abrar ataupun ashabul yamin.
Golongan Kelapan
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai
kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di
dalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan
sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa
iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak
gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan
dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan alam
sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam
sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang
hampir dengan Allah).
Golongan Kesembilan
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan
tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai di dalam sembahyang
malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah
langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai
segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah
menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti
sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk
mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka di dalam sembahyang itulah
panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak
sembahyang semakin terasa lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan
kerinduan dengan tuhannya.
Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu
dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa
yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya
pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan
yang benar dan haq.
Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat sembahyang itu
tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka
ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman,
menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah, menanamkan
mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah
golongan tujuh, lapan dan sembilan sahaja. Sembahyangnya ada kualiti,
manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim.
Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai
dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan
ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat atau sembahyang kita.
Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari
Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.
Wallahualam bissawab.
http://www.isuhangat.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan