Jumaat, 8 Mac 2013

Mengapakah Saidina Abu Bakar Memuntahkan Makanan Yang Diberi Hambanya ?


Mengapakah Saidina Abu Bakar Memuntahkan Makanan Yang Diberi Hambanya ?

Kisah ini menceritakan tentang Hazrat Abu Bakar r.a. bersama beberapa orang hambanya. Hambanya kadang kala membawakan makanan untuk Hazrat Abu Bakar r.a., namun selepas beliau memakan, beliau segera memuntahkannya. Tindakan beliau itu mengejutkan hambanya. Namun, mengapa Hazrat Abu Bakar r.a. memuntahkan makanan yang diberikan oleh hambanya itu? Ikuti kisah di bawah ini.





Hazrat Abu Bakar r.a mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian pendapatannya sebagai ghullah (Ghullah ialah bahagian pendapatan yang diberikan kepada tuan oleh hamba-hamba yang telah dibenarkan bekerja dengan perjanjian bahawa sebahagian daripada pendapatan itu hendaklah diberikan kepada tuannya.) kepada beliau. Pada suatu hari hamba itu telah membawa sedikit makanan lalu diberikan kepada Hazrat Abu Bakar r.a. Beliau memakan sesuap daripada makanan itu. Hamba itu berkata, “Setiap hari biasanya tuan bertanyakan cara-cara saya memperoleh pendapatan. Sebaliknya hari ini tuan tidak bertanya pun.”

Beliau menjawab, “Oleh kerana tersangat lapar saya tidak sempat bertanya. Sekarang, beritahulah.”

Jawab hamba itu, “

Pada masa jahiliah dahulu, saya telah lalu berhampiran suatu kaum dan saya telah membaca jampi mentera untuk mereka dan mereka telah menjanjikan bayaran kepada saya. Hari ini, sekali lagi saya lalu di sana dan mereka sedang mengadakan kenduri kahwin. Merekalah yang telah memberikan makanan ini kepada saya.”

Hazrat Abu Bakar terus berkata, “Kamu hampir-hampir membinasakan daku.”

Setelah itu, beliau memasukkan jarinya ke dalam halkum, berusaha untuk muntah. Namun demikian, sesuap makanan yang telah dimakan dalam keadaan tersangat lapar itu tidak juga keluar. Seseorang telah mencadangkan agar beliau minum air kerana akan memudahkan beliau muntah. Beliau telah meminta satu bekas besar yang berisi air dan terus meminum air itu serta berusaha untuk muntah sehingga makanan yang sesuap itu berjaya dikeluarkan.

Ada orang mengatakan, “Semoga Allah s.w.t merahmati tuan. Tuan telah menanggung segala kesusahan kerana sesuap makanan itu.”

Beliau menjawab,
“Saya tetap akan mengeluarkan makanan itu walaupun nyawa saya akan melayang. Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa api neraka lebih layak untuk daging yang subur dengan harta yang haram. Saya takut mana-mana bahagian anggota badan saya akan subur dengan sesuap makanan itu.” [Muntakhab Kanzul-'Ummal]


Keterangan

Terdapat beberapa kisah seumpama ini tentang Hazrat Abu Bakar r.a kerana beliau mempunyai sifat yang sangat berhati-hati. Hanya kerana sedikit kesangsian beliau telah berusaha untuk memuntahkan makanan tersebut. Terdapat satu lagi kisah seumpama ini yang diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari. Ada seorang hamba beliau yang telah berlagak sebagai ahli nujum semasa zaman jahiliah.

Dia telah menilik nasib untuk seseorang dan secara kebetulan perkara yang ditiliknya itu benar-benar berlaku. Dia telah diberi upah dan sebahagian daripada upahnya itu telah diserahkan kepada Hazrat Abu Bakar sebagaimana yang telah ditetapkan ke atasnya. Hazrat Abu Bakar r.a telah memakan makanan hasil upahan tersebut. Setelah diketahui keadaan sebenar, Hazrat Abu Bakar r.a telah memuntahkan kesemua makanan itu.

Dalam kisah-kisah ini, belum pasti harta hamba-hamba itu haram. Mungkin haram atau mungkin halal. Namun demikian, Hazrat Abu Bakar sekadar berhati-hati.


Ulasan Admin : Lihatlah betapa sifat teliti yang ada pada Hazrat Abu Bakar r.a begitu hebat sekali sehingga beliau tidak rela membiarkan harta yang syubhah itu menyuburkan badan beliau. Kita kadangkala perkara yang nampak remeh dalam soal sumber makanan, kita sering menganggap ia satu perkara yang biasa. Semoga selepas ini, soal halal dan haram kita dapat mengambil perhatian dengan sewajarnya.
islamitusuci

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...