Sabtu, 9 Mac 2013

Perang Dunia Kedua Berlaku Bagi Menyelesaikan Kemelesetan Besar 1930-an?

Kemelesetan Besar merupakan kemerosotan perniagaan yang berlaku di seluruh dunia pada tahun 1930-an. Kemelesetan Besar dikatakan sebagai tempoh pengangguran paling tinggi dengan kegiatan perniagaan yang terburuk dan terpanjang pada zaman moden.

Kemelesetan Besar berlaku pada bulan Oktober 1929 apabila nilai stok dan saham di Amerika Syarikat jatuh dengan mendadak. Beribu-ribu pemegang saham kehilangan sejumlah wang yang besar.

Bank, kilang dan kedai ditutup sehingga menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan. Masyarakat terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan makanan.
 





Faktor berlakunya Kemelesetan Besar

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an. Antaranya adalah;

Pembayaran upah tidak sama rata; Sebaik sahaja Perang Dunia Pertama tamat pada 1918, ekonomi mula mencanak naik pada awal 1920-an. Tempoh ini dikenali dengan ‘ledakan ekonomi pasca perang’. Pengeluaran industri mula meningkat namun pembayaran upah kepada pekerja tidak sepertimana peningkatan industri.

Oleh yang demikian, golongan pekerja terpaksa membuat pinjaman bank sekiranya ingin bebelanja besar dan sesetengahnya pula terpaksa mengehadkan pembelanjaan. Kesannya menyebabkan pengaliran wang tidak lancar sehingga banyak kilang-kilang industri dan pusat perniagaan mengalami bankrap.

Sistem pembankan pula mengalami nasib yang lebih teruk apabila gagal mendapat bayaran balik daripada golongan peminjam. Menjelang 1930-an, lebih 3,000 buah bank terpaksa gulung tikar.

Penurunan harga saham yang mendadak; Pasaran saham memainkan peranan penting semasa berlakunya Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat. Pada 24 Oktober 1929, pasaran saham di New York Stock Exchange ditutup dengan cukup rendah. Insiden yang diingati sebagai Black Thursday ini menimbulkan kekalutan di kalangan pelabur, pemegang saham dan para spekulator. Mereka bertindak menjual kesemua saham sebanyak 16.4 juta saham pada 29 Oktober 1929 dan direkodkan antara paling banyak dalam sejarah. Nilai pada masakini boleh mencapai 185 juta dolar.

Penurunan harga saham terus jatuh selama dua tahun tanpa tanda-tanda peningkatan. Ia seterusnya tidak banyak meningkat sehingga 25 tahun berikutnya iaitu pada 25 November 1954.

Ramai orang berkumpul di Wall Street pada 24 Oktober 1929.

Perang Dunia Pertama; Meletusnya Perang Dunia Pertama menyebabkan banyak negara terpaksa menanggung kesan akibat kemusnahan. Amerika Syarikat bertindak sebagai pemiutang kepada banyak negara Eropah. Walaubagaimanapun bukan semua negara tersebut mampu membayar balik hutang mereka. Bank di Amerika Syarikat akhirnya terpaksa menangung akibat daripada kegagalan tersebut.

Tindakan Penyelesaian
Bagi memastikan Amerika Syarikat tidak terus dibelenggu kemuruman ekonomi, beberapa pelan telah dicadangkan. Sebagai contoh, Presiden Hoover telah meluluskan penubuhan sebuah agensi bebas pada 1932. Agensi tersebut dikenali sebagai Reconstruction Finance Corporation(RFC). RFC ditubuhkan bagi menyalurkan dana pinjaman sebanyak 2 billion kepada bank, syarikat kereta api dan badan-badan perniagaan.

Pada 1933, Presiden Franklin D. Roosevelt meneruskan pelan daripada agensi tersebut dengan mengimplemtasikan program New Deal. Program tersebut dikatakan mampu menyelesaikan masalah pengaliran wang secara total di dalam negara. Walaubagaimanapun, ia tidak benar-benar mampu menyelesaikan masalah pengangguran terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Perang Dunia Kedua menyelesaikan masalah Kemelesetan Besar?
Pemulihan sepenuhnya daripada Kemelesetan Besar pada 1930-an tidak berjaya sehinggalah kira-kira pada akhir 1930-an apabila Perang Dunia Kedua meletus. Apabila persediaan untuk melancarkan perang semakin rancak, pengambilan tentera dan pembelanjaan membuat senjata telah menggalakkan peluang perkerjaan secara tidak langsung.

Apabila Perang Dunia Kedua secara rasminya meletus pada tahun 1939, ekonomi utama dunia berusaha memaksimumkan output dan mengeluarkan semua sumbernya untuk memenuhi kehendak peperangan. Atas sebab kebetulan atau sememangnya disengajakan, Perang Dunia Kedua akhirnya menjadi penyebab utama pemulihan ekonomi yang telah melanda di kebanyakan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat sendiri pada tahun 1930-an.

Jika ia sebuah kebetulan..

Eropah paling cepat menerima kesan akibat kejatuhan ekonomi susulan kejatuhan pasaran saham pada tahun 1929. Ini adalah kerana pasaran import eksport Amerika Syarikat masih belum bersifat global dan kebanyakannya bertumpu di negara-negara Eropah berbanding di negara-negara Asia, Afrika dan Australia.
Akibat kemuruman ekonomi, kerajaan Amerika Syarikat membawa keluar semua wangnya daripada Jerman dengan cara menarik balik perlaburan mereka di negara tersebut. Ekonomi Jerman yang semakin rancak membangun selepas Perang Dunia Pertama akhir rebah menjelang tahun 1931.

Sebenarnya, Amerika Syarikat adalah segala-galanya bagi negara Jerman selepas Perang Dunia Pertama. Sebagai negara yang kalah perang, Jerman terpaksa menerima akibat yang teruk apabila dipaksa menangung hutang perang yang cukup tinggi. Turut sama mengalami nasib yang serupa adalah Turki Othmaniyyah sehingga negara tersebut mengalami kegawatan ekonomi yang parah.

Namun begitu, Jerman menerima nasib yang lebih baik berbanding Turki Othmaniyyah di mana Jerman telah berjaya memujuk Amerika Syarikat untuk menyalurkan sejumlah wang serta perlaburan yang berpotensi di negara tersebut.

Insiden Pencerobohan Perancis terhadap Ruhr

Pada mulanya, Amerika Syarikat agak keberatan namun selepas insiden Perancis menyerang Ruhr pada 1923 bagi mengambil alih lombong arang batu akibat keengganan Jerman membayar pampasan akhirnya mengubah dasar Amerika Syarikat. Pada masa tersebut, Jerman di bawah pentadbiran Chancellor Wilhelm Cuno.

Wilhem Cuno(kiri)

Akibat tindakan Perancis tersebut, terjadi mogok besar-besaran di kalangan pekerja menyebabkan pengeluaran merudum. Ini merisaukan negara-negara pengimport terutama Amerika Syarikat. Pada masa tersebut, nilai matawang Mark Jerman tidak mempunyai sebarang nilai.

Amerika Syarikat mengetuai negara-negara Eropah yang lain untuk memberi kelonggaran kepada Jerman supaya membayar hutang perang dengan jumlah yang sedikit dan Amerika Syarikat sendiri memberi kemudahan pinjaman dana.

Sehingga tahun 1931, ekonomi Jerman mencanak naik namun masih belum mencapai kematangan terutama di peringkat pentadbiran.

Kebangkitan Parti Fasisme dan Komunisme

Melihat kepada parti kotemporari gagal memainkan peranan di kala ekonomi sedang meruncing, parti-parti beraliran Fasisme dan Komunisme cuba memainkan peranan penting di Jerman dan beberapa buah negara Eropah yang lain.

Paling ketara adalah di Jerman apabila Adolf Hitler mengambil peluang untuk mempengaruhi kebanyakan rakyat Jerman yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara mereka selepas Perang Dunia Pertama.
Sebagai veteran Perang Dunia Pertama, Adolf Hitler terkesan dengan kegawatan ekonomi Jerman yang tunduk kepada Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Hitler mengambil kesempatan di atas kelemahan kerajaan sebelum ini dan semangat nasionalisme menjadi agenda penting di bawah kepimpinan beliau.

Hitler menerapkan semangat nasionalisme bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyatnya yang kalah akibat Perang Dunia Pertama

Visi membangunkan ekonomi Jerman
Bersama-sama beberapa pendokong setianya seperti Joseph Goebbels, Hermann Goring, Rudolf Hess dan Heinrich Himmler, Adolf Hitler berjaya menguasai seluruh Jerman menjelang tahun 1933. Perancangan awal beliau lebih kepada memperkasakan ekonomi Jerman bersama-sama menghidupkan kembali kuasa militari.
Idea luar biasa disamping implimentasi yang berkesan di segenap sektor semasa Jerman di bawah kepimpinan Hitler menyebabkan rakyat Jerman semakin yakin dengan kemampuan beliau. Pengangguran selama ini membelenggu pentadbiran Jerman akhir berjaya dipulihkan dengan pelaksaan beberapa dasar ekonomi.

Hitler berjaya membawa Jerman keluar daripada kemelesetan ekonomi dengan meningkatkan produksi industri dan upah pekerja yang berpatutan.

Walaubagaimanapun, Adolf Hitler mempunyai visi yang cukup jauh. Hitler cuba untuk menguasai beberapa wilayah Jerman yang pernah jatuh di tangan musuh selepas Perang Dunia Pertama. Wilayah tersebut mempunyai potensi untuk pemulihan ekonomi Jerman kerana kekayaan hasil bumi di samping mampu menarik pelaburan daripada luar Jerman.

Visi ini akhirnya menyebabkan meletusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1939.!
takusahrisaublogsport

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...