Jumaat, 1 Mac 2013

Polis sahkan 2 komando, 12 penceroboh terbunuh




Polis Malaysia mengesahkan bahawa dua anggota komando polis Malaysia dan 12 lelaki bersenjata Sulu terbunuh dalam pertembungan antara Pasukan Gerakan Am Malaysia dan kumpulan bersenjata itu hari ini.

Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita bahawa bilangan yang cedera di kalangan kumpulan Sulu tidak diketahui, lapor Star Online.

Dalam sidang akhbar petang ini, Hamza berkata pertempuran itu bermula pada jam 9.59 pagi ini selepas lima anggota PGA elit bergerak untuk memperkuatkan lagi kepungan di sekitar kampung Tanduo di mana kumpulan kira-kira 180 Sulu termasuk 30 lelaki bersenjata yang diketuai oleh Rajah Mudah Azzimudie Kiram berkubu sejak 9 Februari lalu. Hamza berkata, pasukan polis bertembung dengan beberapa penceroboh yang melepaskan tembakan, dan memaksa mereka membalas tembakan.

Katanya, pihak polis menemui beberapa senjata milik kumpulan Sulu tersebut.

Sementara itu di Pekan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan dua anggota polis terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam kejadian tersebut.

Katanya, kumpulan bersenjata itu melepaskan tembakan ke atas pasukan keselamatan Malaysia.

Perdana menteri berkata, beliau amat sedih dengan kejadian itu kerana apa yang mahu dielakkan - iaitu pertumpahan darah - telah juga berlaku.

Katanya, beliau telah diberi mandat penuh kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pangkatan Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefli Mohd Zin untuk mengambil tindakan yang difikirkan perlu.
Bernama sebelum ini melaporkan dua komando polis terbunuh dalam serangan mortar oleh kumpulan tersebut manakala dua lagi cedera.
Sementara itu, seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.
ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

Akhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.
Sementara itu, Azzimudie memberitahu Radio dzMM Filipina bahawa kumpulannya tidak akan kembali ke Filipina kerana ia akan "memalukan" mereka dan kesultanan Sulu.

"Kita tidak boleh pulang ke Filipina kerana ia akan memalukan kita. Kami telah menegaskan niat kami datang ke sini," Azzimudie dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, dia dan 275 pengikutnya mahu tinggal di Kampung Tanduo di Lahad Datu manakala kerajaan Filipina sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu itu.

"Mereka boleh meneruskan rundingan secara aman...," tambahnya.

Manakala Sultan Sulu Jamalul Kiram memberitahu Radio dzMM bahawa dia tidak akan memerintahkan pengikutnya untuk menyerah diri walaupun berlaku kejadian berbalas tembak, tetapi menegaskan pintu rundingan masih terbuka.

Menurut ANC Dateline Filipina, jurucakap Sultan Sulu Jamalul Kiram - Abraham Idjirani - kesultanan itu tidak akan membalas dendam terhadap kematian pengikutnya, dan menegaskan kumpulan itu mahu ia diselesaikan secara aman.

Idjirani berkata mereka akan membawa perkara itu ke perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan mungkin meminta Pertubuhan Persidangan Islam untuk campurtangan.

The Philippine Inquirer
pula memetik Jamalul Kiram menafikan laporan bahawa adiknya, Azzimudie telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Idjirani berkata, keluarga diraja itu masih dapat bercakap dengan Azzimudie, yang disebut sebagai Raja Muda.

"Kita bercakap dengan beliau. Beliau tidak cedera dan masih mengetuai perjuangan itu, " katanya.

Sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu, lapor AFP./malaysiakini

Artikel berkaitan :

( Video ) TERKINI - 10 Anggota Penceroboh Kesultanan Sulu dan Dua Komando Polis Malaysia Terbunuh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...