Selasa, 5 Mac 2013

Teknologi Dan Kejuteraan Di Zaman Kegemilangan ISLAM

Dalam hubungan teknologi dan kejuruteraan, para cendekiawan Islam terdahulu mendapati terdapat dua prinsip asas Islam terdapat di dalam bidang kejuruteraan, iaitu pertama Konsep Kesetaraan (atau mizan) dan keduanya Konsep Keseimbangan (atau tawazun). Dalam Islam al Mizan merupakan kaedah manusia diukur dari perbuatan baik dan mungkarnya. Manakala dalam sebuah sistem kejuruteraan, prinsip al Mizan membawa maksud bahawa tiap-tiap sesuatu itu berada di dalam kedudukan yang betul di dalam sistem keseimbangan, atau tawazun sistem itu keseluruhannya diperlukan untuk mengekalkannya di dalam kedudukan tersebut. Sebagai contoh, dalam kejuruteraan kimia, prinsip al Mizan digunakan untuk memahami bahan dan aliran tenaga. Begitu juga dalam kejuruteraan awam dan mekanik, tindakan daya dan momen menggunakan prinsip yang sama, sementara dalam kejuruteraan elektrik prinsip kesetaraan digunakan pada cas elektrik. 
 
 
 
Dari segi sumbangan cerdik pandai Islam kepada perkembangan teknologi dan kejuruteraan, sejarah telah membuktikan sumbangan yang besar telah mereka curahkan dan kesannya masih lagi dapat dirasai hingga ke hari ini. Sebagai contoh, sumbangan kejuruteraan mekanikal yang utama dalam teknologi Islam ialah alat mengangkut air untuk kegunaan bagi tujuan pengairan, perumahan, industri dan lain-lain. Mesin pengangkut air yang pertama digunakan di Mesir dan Syria dan dipanggil Shaduf. Alat ini mudah dan murah dan masih digunakan hingga ke hari ini di Mesur. Sementara dua lagi jenis pengangkut air dinamakan saqiya dan nau'ra. Saqiya digerakkan oleh tenaga binatang ternakan, manakala nau'ra digerakkan oleh kuasa air. 
 
Dua tokoh jurutera Islam sekitar kurun 12M, yang menguasai ilmu kejuruteraan ialah al Jazari dan Taqi al Din. Mereka telah berjaya membuat modifikasi kepada shaduf dan menerangkan kaedah penggunaannya di dalam kitab-kitab karangan mereka. Mesin yang telah dicipta telah digunakan di Sungai Yazid di Damascus. Di mana mesin ini berfungsi menerusi roda yang separuh terbenam di dalam sungai dan berputar disebabkan oleh aliran sungai tersebut. 
 
Sementara Taqi al Din pula di dalam kitabnya, menerangkan alat mengepam air dengan menggunakan roda berskoop. Satu perkara yang menakjubkan tentang alat ini ialah kemampuan juruteranya mencipta silinder piston yang dapat mengepam air ke atas. Silinder piston telah digunakan oleh Taqi al Din pada alatnya untuk menghasilkan satu paduan daya tolakan mengepam air ke atas. Manakala Banu Musa bersaudara pula telah berjaya mencipta mesin yang menggunakan bantuan air dan angin. Di mana ciptaan mereka ini digunakan untuk memesin jagung, menghancurkan gula dan mengepam air. Mereka juga berjaya mencipta satu bejana automatik yang boleh mengisi bejananya sendiri. 
 
Sementara itu, kejuruteraan awam juga memberikan sumbangan yang cukup besar terhadap perkembangan teknologi Islam di zaman kegemilangannya. Teknologi bangunan yang mempunyai kaitan rapat dengan bidang arkitek, berjaya menonjolkan teknologi senibina Islam yang mengkagumkan seperti Masjid al Aqsa di Jurusalem, dan juga Masjid Umayyad di Damascus, yang kedua-duanya dibina pada kurun ke 7M. Teknologi kejuruteraan jalanraya dan jambatan Islam yang boleh dikagumi ialah pembinaan jambatan Shahristan di Isfahan, Iran pada kurun ke 12M, yang mempunyai gerbang yang berbilang-bilang atau bersegmen.
 
Dalam kejuruteraan hidrologi pula, sumbangan orang Islam juga sangat besar. Contohnya, ketika pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz, beliau telah mengarahkan pembinaan terusan yang panjangnya 10 km, untuk mengalirkan air sungai Furat ke Basrah sebagai sumber air disebabkan kemarau yang panjang. Terusan lain yang dibina oleh khalifah Umar Abdul Aziz ialah yang menyambungkan sungai Nil dengan Laut Merah yang panjangnya melebihi 100 km, dengan tujuan pengangkutan yang lebih cepat dapat dilakukan berbanding dengan pengangkutan darat. 
 
 Manakala di Parsi pula, teknologi air bawah tanah telah dibina di sekeliling bandar Isfahan dengan mengalirkan air daripada Sungai Zayandirud. Air daripada sungai ini telah dialirkan ke anak-anak sungai yang lain bagi kegunaan pertanian dan perumahan. Pembinaan sistem air bawah ini yang juga dikenali sebagai "qanat" yang direka oleh jurutera awam Parsi ini adalah di antara sistem pembinaan yang mengkagumkan. Kaedah pembinaannya telah diterangkan oleh seorang ahli matematik Parsi yang bernama al Karaji. Teknologi ini amat berguna untuk mengelakkan berlakunya pengewapan air di padang pasir yang panas, di mana perancangan dan penyelenggaraan projek ini memerlukan penelitian yang rapi dan tersusun.
 
Begitulah sebahagian di antara sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh jurutera-jurutera Islam pada masa lampau. Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menggalakkkan penemuan baru dalam teknologi Islam terutamanya sekitar kurun ke 8 hingga ke 12 M. Pertamanya, ialah peranan yang dimainkan oleh Islam melalui ajarannya merupakan satu daya dorongan yang tinggi dalam pencapaian teknologi pada kurun tersebut. Sebagai contoh, ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah pendorong kepada umat untuk menimba ilmu, iaitu, surah al Alaq, ayat 1 hingga 5, yang bermaksud;

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Dia telah menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." 
 
Faktor kedua ialah meningkatnya taraf kehidupan dalam bandar-bandar yang didiami oleh orang-oang Islam. Keperluan-keperluan kepada alatan-alatan baru dan canggih pada masa itu perlu dicari dan direka bagi memenuhi suasana dan keperluan kehidupan pada masa itu. Seiring dengan itu juga, kesemua kejayaan ini telah berjaya membentuk budaya dan tamadun Islam yang tinggi dan gemilang serta tersebar jauh ke setiap pelusuk dunia. Menerusi kejayaan inilah juga ahli-ahli saintis dan sarjana-sarjana Islam bebas bergerak dan mengembara untuk bertemu dengan pakar-pakar ilmuan yang lain. Dengan cara ini ilmu itu terus berkembang dan dimanfaatkan. 
 
Demikianlah secara ringkas kejayaan umat Islam terdahulu dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Sebagai kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah memahami bahawa sains dan teknologi tidak pernah bercanggah dengan ajaran Islam. Bahkan pencapaian dan penerokaan sains membolehkan umat Islam lebih memahami dan meyakini akan keagungan Allah s.w.t. Oleh itu, umat Islam perlulah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan menguasainya, sehingga kita sekali lagi mampu untuk mencapai zaman kegemilangan Islam.
 http://authentic111.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...