Allah menciptakan makhlukNya (malaikat, jin
dan manusia) supaya taat kepada-Nya. Malaikat tidak diberi bahagian untuk
derhaka, kerana malaikat dicipta untuk sentiasa taat, tunduk, patuh dan selalu
beribadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Mereka tidak pernah bermaksiat kepada Allah dalam apa yang Allah perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Dua makhluk lagi (manusia dan jin) banyak
melakukan derhaka dan maksiat kepada Allah SWT. Keduanya dibebankan taklif,
beban syariat yang apabila keduaduanya mahu menjalankannya dengan baik selama
hidup di dunia, kelak akan beroleh kenikmatan abadi yang tiada tara.
Sebaliknya, apabila kedua-duanya enggan,
kesengsaraan dan derita tiada terperi telah menanti.
Manusia dan jin, Allah ciptakan secara
syarie untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT:
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)
Tiga punca derhaka
Antara manusia dan jin, ada menjadi hamba
Allah yang taat, namun lebih banyak lagi yang derhaka. Derhaka dan kemaksiatan
yang dilakukan dua makhluk ini akan terus terjadi berpunca daripada tiga
perkara iaitu ambisi, hasad (iri, dengki) dan kibr (sombong).
Ambisi ialah berasa tidak puas dengan apa
yang telah diperoleh malah terus ingin menambah dan menambah. Sifat inilah yang
menyebabkan bapa kita Adam dikeluarkan daripada jannah (syurga) ke bumi sebagai
negeri yang memang telah dipersiapkan untuk dihuni bangsa manusia.
Iblis yang menyimpan dendam kepada Nabi
Adam berusaha menyesatkan Adam dan Hawa dengan tipu muslihatnya, tatkala ia
melihat ambisi Adam untuk tetap abadi di syurga dan terus merasakan
kenikmatannya.
Hasad adalah tidak suka terhadap nikmat
yang Allah berikan kepada seseorang. Apabila perasaan hasad muncul dalam hati,
tahanlah lisan dan perbuatan kita. Jangan kita tunjukkan apa yang tersimpan
dalam dada.
Sabda Rasulullah SAW: “Sombong adalah
menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Riwayat Muslim)
Iblis kafir kerana sombong
Kesombongan menyebabkan iblis jatuh dalam
kekafiran. Tatkala Allah memerintah malaikat ikut bergabung bersama iblis untuk
sujud penghormatan kepada Adam, seluruh malaikat sujud patuh perintah Allah,
namun Iblis enggan.
Al-Hafiz Ibnu Katsir mengatakan bahawa
Iblis hasad kepada Adam kerana kemuliaan yang Allah berikan kepada Adam. Ia
mengatakan dirinya daripada api lebih baik daripada Adam yang diciptakan
daripada tanah.
Rasulullah SAW mengancam orang sombong
dengan sabdanya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada kesombongan
walau seberat semut yang kecil.” (Riwayat Muslim)
Menyedari hakikat ini, maka buanglah rasa
sombong daripada hati kita dengan cepat menerima kebenaran dan hargailah hamba
Allah. Sesungguhnya, sifat terlalu ambisi, hasad dan sombong akan menjerumuskan
pemiliknya ke dalam jurang kesengsaraan.
Oleh : Hashim Ahmad
Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan