“Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan
beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku
couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku
rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,”
“Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal
tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan.
Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut
hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu.
Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka
solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku
rasa susah sangat. Aku terhimpit,”
“Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak
kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak
cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok
kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini
tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,”
Iman itu masih ada.
Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti
tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat
taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi
konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak
dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan
kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai
Allah. Asal niat betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya
keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin
meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram.
Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada
orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga
yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia
tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita
hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Cipta masa depan.
Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada
masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa
yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang
penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah
usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh.
‘Qada muallaq’ iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz
dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh
mana usaha dan doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang
bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika,
terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua
peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua
lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat
menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat
lama.
Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa
hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya
sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang
berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak
untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.
Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah
jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang
terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang
lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti
kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah ‘sunnatullah’.
Buat dirimu…
Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang
terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah
dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi
bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat
diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih
punya waktu. Usah persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah
mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini?
Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk
semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu
dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak
layak untuk diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang lain,
tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud
kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba!
Motivasi dari kisah…
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak
semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang
dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk
menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur
perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada
masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah.
Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap
dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka
lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada
kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga
oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah
rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau
kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah
pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik.
Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan
kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri
itu aktif dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat
dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan
melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya
manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu
bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana
niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh
yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin
bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang
alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang
alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu
perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di
pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi
dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam
syurga.
Kesimpulan
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu
dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia
ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan
semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita
yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha
Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar
ikhlas dan bersungguh-sungguh.
-Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan