Jumaat, 31 Mei 2013

Izinkan Hati Ini Kembali PadaMu

Pasti hati setiap daripada kita akan sebak sebaik sahaja memikirkan segala dosa yang pernah kita lakukan. MashaAllah. Begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allahu rabbi. Masihkah ada pengampunan dariNya.
 
Sahabat-sahabat yg ku sayangi. Setiap daripada kita dilahirkan dalam keadaan, situasi dan fikrah keluarga yang berbeza-beza. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang hidup seperti zaman jahiliyah. Ada yang miskin, kaya dan sebagainya. Namun jangan pernah perlekehkan semua ini kerana ia adalah ketetapan dariNya. Maka jangan lupa panjatkan syukur padaNya, terutama bagi kita yang automatik menjadi umat Islam sejak dilahirkan..
 
 
 
 
Alhamdulillah. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa bagi peluang untuk kita bertaubat. Walau dosa yang telah kita lakukan itu tinggi menggunung mencecah langit sekalipun, sekiranya kita bertaubat dan menyesali perbuatan kita itu dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan diterima olehNya kerana Allah itu Maha Pengampun. Jadi sahabat-sahabat yang ku kasihi, jika anda selama ini hidup dalam kejahilan dan ingin kembali ke jalan yang diredhaiNya, maka teruskanlah langkahmu. Jangan pernah menolak panggilan dari Ilahi ini, capailah hidayah dariNya ini. Kerana sekali engkau menolak, mungkin sukar untuk engkau mendapatnya kembali.
 
Sedarlah sahabat. Bukan kita yang memilih untuk hidup dalam latar belakang keluarga yang macam mana. Jadi pada sahabat-sahabat yang sudah tersedia hidupnya dalam latar keluarga yang berfikrah Islam, bersyukurlah. Anda sangat bertuah kerana ramai sahabat-sahabat kita yang perlu meraba-raba mencari cahaya. Sangat sukar dan perit ya sahabat. Bukan perkara yang mudah untuk mengubah diri, tambahan pula jika keadaan keluarga yang hidup dalam kejahilan.

Ana sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan. Didikan dari keluarga itu sudah ada, belajar di sekolah agama dan sebagainya. Akan tetapi, masih ramai juga yang dari menutup aurat bertukar menjadi menutup rambut. Kenapa perlu berhijrah dari bertudung labuh ke tudung biasa? Ana bukan ingin menyalahkan sesiapa, tapi ana sedih kerana kita diberi kesempatan dan peluang tapi ibarat mensia-siakannya.
 
Sedangkan sahabat-sahabat kita yang baru diketuk pintu hatinya dengan hidayah dari Allah seringkali menitiskan air mata, betapa cemburunya dengan mereka yang berfikrah itu. Betapa bersyukur saat mengenakan tudung yang labuh, walaupun tudung yang labuh itu tidak dapat menutup dosa-dosa yang dilakukan itu. Kadangkala di salah sangka oleh masyarakat sekeliling dek kerana hijrah yang dilakukan itu seperti terlalu ketara. Sedangkan diri hanya inginkan perubahan, inginkan pengampunan dariNya. Kenapa mesti dicerca, dicemuh, disindir. Ada juga yang apabila kelemahannya terpancar, lalu terus dihukum "selama ini tersilap menilai dirinya". Tambahan pula jika diketahui masa lalunya adalah kurang bernasib baik, jahil. "Patutlah, memang dulu dia jahil pun. Sekarang je pakai tudung labuh." Astaghfirullah.
 
 Kepada yang pernah berbuat demikian, letakkan diri anda di tempat mereka. Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah merasainya. Tahukah sahabat, dengan hanya mengenangkan perkara ini, mereka kembali menitiskan air mata. Betapa kuatnya hati meronta-ronta agar diputarkan balik masa. Ingin bersihkan jiwa dari segala noda kerana khuatir tiada pengampunan dariNya.
 
Namun, walau apa jua keadaan sekalipun, marilah sama-sama kita kembali mendekatkan diri padaNya. Marilah kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dalam kalangan manusia. Manusia ini memang tidak akan pernah sempurna. Kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.
 
Semoga Allah menerima taubat kita. Jangan pernah merendah-rendahkan sahabat yang lain. Astaghfirullah. Istighfar ya sahabat-sahabat. Istighfar. Semoga hati kita bersih dari sifat riak dan takabbur ini. Semoga husnudzon yang sentiasa menjadi pilihan kita. Semoga Allah izinkan hati kita untuk kembali padaNya.
Sumber: uniqueummah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...