Kisah Pengajaran - Apabila Tangannya Dipotong Kerana Memberi Sedekah [Mesti Baca]
| Apabila kita mahu memberi, memberilah dengan ikhlas. Bersedekah tanpa
mengharapkan sebarang balasan antaranya yang paling disukai Allah SWT.
Tahukah anda bahawa pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang gadis
yang dirinya seorang yang taat kepada Allah SWT.
Difahamkan gadis ini merupakan anak orang kaya. Pada suatu hari, dia
telah memberi sekeping roti kepada seorang fakir miskin. Namun
tindakannya itu telah mengundang rasa marah bapanya, lalu memotong
tangan anak gadisnya tersebut. Sampai begitu sekali tindakan bapanya?
Ikuti kisah di bawah ini untuk mengetahui apakah yang terjadi selepas
itu.
Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan
Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya
dengan berkata, “Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan
ikhlas kerana Allah S.W.T.”
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis
orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik
sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis
tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya
sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun
mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta
kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya
dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke
rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah
tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa
anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis
tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis
tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami
hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan
suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga
telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya
menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabial suaminya
melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, “Aku mendapat tahu bahawa
orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan
tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri.”
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan
tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan
tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, “Keluarkanlah tangan
kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan
sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku
memberikan kembali akan tangan kananmu itu.”
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan
tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan
asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan
kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia
fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya
dia adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menghormati
tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa
menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan
barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi
kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia
telah menjadikan murka Allah S.W.T.”
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya tetamu itu apabila
dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan
seribu berkah dan seribu rahmat.”
Wallahualam
fuh.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan