Sabtu, 25 Mei 2013

Belajar daripada LAUT ciptaan ALLAH yang hebat

Mari kita lihat laut. Mungkin sesetengah kita merasakan bahawa laut merupakan ciptaan yang biasa. Tetapi tidak, laut sebenarnya adalah ciptaan Allah yang luar biasa. Laut sangat luas. Ia merangkumi hampir tiga perempat muka bumi. Cuma kerana sudah terbiasa kekadang kita tidak merasa bahawa laut sangat luar biasa. Baiklah, sekarang mari kita lihat satu perbandingan.

Belajar daripada LAUT ciptaan ALLAH yang hebat 




Kita pernah mendengar cerita kapal yang sangat besar bernama Titanic, bukan? Semua orang kagum waktu kapal yang sangat besar itu dibina. Kapal yang tidak mungkin tenggelam, begitu dakwa jurutera dan arkitek yang membinanya. Setelah Titanic siap dibina, ia pun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk belayar dari England menuju Amerika. Itu merupakan satu perjalanan yang jauh merentasi laut Atlantik. Seluruh dunia menumpukan perhatian kepada peristiwa yang sangat bersejarah itu. Tidak kurang yang rasa angkuh dan megah dengan kehebatan teknologi terkini pada waktu itu.

Malang. Titanic ditimpa malapetaka dalam perjalanan. Ia tenggelam setelah terlanggar dengan batu karang. Titanic tenggelam hanya disebabkan berlanggar dengan air yang beku iaitu ‘iceberg’. Pada waktu itu dunia terkejut. Kapal yang sebesar dan sehebat itu akhirnya tenggelam juga. Begitu hebat Titanic yang dibina manusia, tetapi hanya sekelumit bila dibandingkan dengan lautan yang dicipta Allah.

Setelah lama tenggelam, saintis mengambil masa yang lama untuk menentukan lokasi di mana tragedi itu berlaku. Tempat Titanic tenggelam terlalu sukar dikesan justeru kapal yang besar itu hanya umpama sebilah jarum sahaja apabila dibandingkan dengan lautan Atlantik yang sangat luas itu. Begitu kerdil ciptaan manusia, sedangkan Atlantik bukanlah lautan yang terluas. Lautan Pasifik lebih luas lagi. Begitulah luar biasanya keluasan laut.

Air laut sangat masin. Itu juga sangat luar biasa. Allah tidak ciptakan sia-sia. Kemasinan laut itulah yang menyerap bau seluruh sampah yang dialirkan kepadanya. Bayangkan, seluruh kotoran di dunia dialirkan ke laut oleh sungai. Sampah sarap, bangkai, najis dan lain-lain dialirkan ke laut. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, laut adalah ‘tong sampah’ yang paling besar di dunia. Sejenak fikirkan, apa akan jadi kalau air laut seperti air sungai yakni rasanya tawar? Tentu ia akan dicemari dengan bau yang sangat busuk.

Kalau itulah yang berlaku, seluruh dunia akan dicemari oleh bau yang sangat busuk. Kesihatan akan terjejas. Hidup tidak akan tenteram. Mujurlah air laut tidak tawar. Dengan kadar kemasinannya yang sangat tinggi itu, ia mampu menyerap bau dan ‘mengawet’ kekotoran yang banyak.

Begitulah hebatnya laut ciptaan Allah, bukan? Keluasan dan kemasinannya punya rahsia yang tersirat. Jadi apabila kita melihat laut, jangan lihat begitu sahaja. Sebaliknya renungkanlah kehebatannya, dan kemudian rasailah kehebatan Penciptanya… ALLAH.

Sumber: (Belajar daripada LAUT ciptaan ALLAH yang hebat). 

 http://blogkamek.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...