Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang
berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan
demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda
masalah?
Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi.
Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka
juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.
Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku “Tough Times Never Last,
But Tough People Do” oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan
semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6
petua ini dipetik daripada buku tersebut.
1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah
Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda
berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap.
Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana
terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan
ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.
Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul
kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua
yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.
Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali
daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak
menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini
sebagai satu hakikat hidup seharian.
2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad
Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.
Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang
melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik
kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang
menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu
kejayaan secara perlahan-lahan.
3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif
Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang
kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang
dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang
menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah
diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang
panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.
Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.
4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda
Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang
berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah
dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.
Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang
guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada
majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan
pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat
bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.
Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat
ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.
5. Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah
Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh
merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan
tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat
mengawal masalah yang melanda diri sendiri.
Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh
membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya
bergantung kepada diri anda.
6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif
Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun
dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak
balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia
bukan satu perkara yang mudah.
Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi
masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif
yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan
keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?
Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.
Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat
untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka
dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika
mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara
undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis
oleh mahkamah.
Pendek kata “Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan