Assalamualaikum wr. wb. kepada para sahabat semua. Puji syukur kepada
Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w. Alhamdulillah saya masih diberi kesempatan untuk
berkongsi dengan sahabat semua artikel yang insya-Allah bermanfaat.
Memiliki sahabat yang sejati
merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh
mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari sudut kebendaan,
kecenderungan mahupun tingkah laku. Sama ada kita akan terikut-ikut
dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya dia akan terpengaruh dengan
kita.
Secara umumnya, kita melihat orang baik akan bersahabat dengan orang
baik dan begitu juga sebaliknya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud : "Perumpamaan dua orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya." (Riwayat al-Dailami)
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : "Bersahabat
dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan
dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi(yang menghembus bara api).
Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda
membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat
juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan
baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak." (Riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang
itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat semestinya memiliki
sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi. Sahabat boleh
membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga
membantu kita di akhirat kelak.
Sifat Sahabat yang Mulia
1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik. Seorang
yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi
perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri
dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik
semasa sahabat ada ataupun tiada. Tidak menceritakan keaiban orang lain
kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang
diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
Daripada Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat." (Riwayat Ibn Majah)
3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.
Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin
berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur
waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup
mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4. Menyebut kebaikan. Jika dia mendapat sesuatu
kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan
itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.
5. Mudah mengalah. Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubangan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.
6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan
akhirat. Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.
Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.
Sahabat yang Perlu Dijauhi
1. Mementingkan diri sendiri. Dia terlalu banyak
meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri dan kedekut dalam
setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri kerana tamak pada
kemewahan dan harta dunia.
2. Pengampu. Setiap perkara yang kita lakukan dia
akan bersetuju, tidak kira sama ada perkara itu betul ataupun salah.
Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia
merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3. Pemboros dan suka hiburan.Apabila seronoknya
datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika
kita suka berlibur, berkeliaran dan "melepak" pada bila-bila masa, serta
suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.
4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.
Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati
jalan-jalan kemungkaran. Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang
membawa kekufuran.
5. Suka berbantah-bantah. Jenis orang yang suka
bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan
langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.
Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.
Sekian saja artikel sahabat dunia akhirat. Semoga artikel-artikel di blog ini memberi manfaat kepada semua.
Hj. Zainuddin Ali
Majalah Solusi Isu 35
Tiada ulasan:
Catat Ulasan