SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, “Bukankah
seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga
hari ia akan mati?”
Murid-muridnya menjawab: “Ya.”
Guru yang bijak ini melanjutkan: “Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati.”
Hati manusia
Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan
perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan
yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk
di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan
seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia
ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan
apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu
adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah
dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun
didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin
wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga
kejernihan hati.
Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang
sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap
amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti
seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan
dan minuman.
Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya
ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya,
ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit
kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga
melukai diri sendiri.
Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan
teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: “Rasakanlah kemanisan dalam
tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika
berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau
tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”
Ubat hati
Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari
ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti
hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan
lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada
juga yang sudah parah.
Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah
dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang
mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba ALLAH. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang “berhati sihat.”
Berkata Ibrahim Al-Khawas, “Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran
sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada
waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh.”
Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit.
Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih
berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera
dikuburkan.
Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat
mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun
ditanam.
http://epondok.wordpress.com/2013/05/26/tips-ubati-h
Tiada ulasan:
Catat Ulasan