Islam agama keamanan.
Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam
Kepecayaan dan Amalan menjelaskan: Islam adalah kalimah terbitan dari
perkataan salama yang bermaksud ‘mempersetujui dan memperakui sesuatu
atau memiliki keamanan’. Kata kerjanya pula ialah aslama yang bermaksud
menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah
mereka yang melakukan penyerahan ini. Agama Islam mempunyai prinsip
undang-undang yang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat
di lihat dari perlaksaan syariahnya di dalam kehidupan manusia.
Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”
Inilah tujuan sebenar
perutusan Rasulullah s.a.w yang memperkenalkan sistem syariah Islam
kepada manusia. Syariah ini mempunyai konsep keadilan dan keamanan. Dr
Mohammad Hashim Kamali di dalam bukunya, Prinsip-Prinsip Dalam
Undang-Undang Islam menyatakan bahawa kalimah rahmah ini membawa
pengertian jelas tentang apa yang ingin di sampaikan oleh al-Quran dan
Sunnah ialah menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan
manusia, mengelakkan dari terjadinya sebarang kerosakan dan membina
keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.
Dengan penjelasan ini,
maka rahmat yang di bawa oleh nabi Muhammad s.a.w adalah jelas
dinyatakan dalam perlaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia. Maslahah
ini juga perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh
membawa kepada kemusnahannya.
Oleh itu, ulama’ berpendapat bahawa rahmat merupakan asas perlaksanaan syariah.
Ulama’ Usulul Fiqh
menjelaskan bahawa terdapat 3 pembahagiaan maslahah.Maslahah tersebut
ialah Dhoruriyyat, Hajiyyaat dan Tahsiniyyat. Dr Abdul Karim Zaidan di
dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan bahawa dhoruriyyat
adalah perkara yang sangat diperlukan oleh manusia bagi menjamin
kehidupan yang sempurna. Dhoruriyyat juga diperlukan bagi memastikan
kehidupan mereka tidak membawa kepada sebarang bentuk kesengsaraan.
Terdapat 5 perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa,
keturunan, akal, dan harta. Keperluan yang dimaksudkan itu adalah agama,
jiwa, aqal, keturunan dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik
beratkan dan dilindungi.
1. Agama
Perkara pertama ialah
agama. Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti
harian mereka dipandu oleh prinsip yang di bawa agama tersebut. Ini
kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan
agama. Tidak ada agama yang mampu merealisasikan matlamat ini melainkan
agama Islam.
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Imran ayat 19 sebagaimana bermaksud:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam.”
Lantaran kepentingan
agama, Allah telah mengizinkan para sahabat di zaman Rasul s.a.w untuk
berperang. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Hajj ayat 39 yang
bermaksud:
“Telah diizinkan
(berperang) bagi orang-orang yang diperangai, kerana sesungguhnya mereka
telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa
menolong mereka.”
2. Jiwa
Perkara kedua ialah
jiwa. Islam amat menitik beratkan aspek menjaga jiwa. Hanya dengan jiwa
manusia menjadi satu entiti yang hidup. Di dalam al-Quran Allah menegah
sama sekali manusia dari melakukan perbuatan membunuh. Ini bertujuan
untuk memberi jaminan kepada perlindungan jiwa. Allah berfirman dalam
surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud:
“dan janganlah kamu
membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar,
dan barang siapa yang membunuh secara zalim maka sesungguhnya kami telah
memberi kekuasaan(hak untuk membalas) kepada ahli warisnya, tetapi
janganlah mereka(ahli waris) itu melampaui batas dalam
membunuh(membalas), sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat
pertolongan.”
3. Keturunan
Islam amat menekankan
kepada penganutnya untuk mementingkan penjagaan keturunan dari sebarang
unsur yang boleh merosakkannya. Dari keturunan, terbinanya kesinambungan
zuriat manusia di dunia ini. Penenkanan Islam ini dapat di lihat dari
pengharaman zina di dalam Al-Quran. Sebagaimana yang di dapati di dalam
surah Al-Isra’ ayat 32 sebagaimana bermaksud:
“ Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk”
Islam tidak hanya
melarang dari melakukan perbuatan yang mepunyai unsur-unsur yang boleh
membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan satu hukuman tetap kepada
mereka yang melakukan perbuatan zina ini. Ini dapat dilihat dari
al-Quran surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud:
“ Penzina perempuan
dan penzina lelaki, maka rotanlah tiap-tiap orang dari keduanya seratus
kali, dan janganlah kasihan kepada keduanya menyebabkan kamu tidak
menjalankan agama Allah,jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat,
dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh golongan yang beriman.”
Larangan dari mendekati
zina dengan ketetapan bentuk hukuman yang akan diterima membuktikan
bahawa Islam amat mementingkan perlindungan aspek keturunan ini. Harus
di ingatkan bahawa hukuman yang di tetapkan bukanlah bertujuan untuk
mendenda mereka yang melakukan perbutan ini, tetapi di sebalik
perlaksanaan hukuman ini tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan
manusia.
4.Akal
Perkara yang keempat
adalah akal. Akal sangat penting kepada kehidupan manusia. Dengan
pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan yang dilakukan adalah
tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan amat penting bagi manusia
kerana ianya boleh mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan
langsung kepada keharmonian hidup. Dengan akal yang cerdas memberi
kelebihan kepada seorang pelajar untuk mecapai kejayaan berbanding
dengan rakan mereka yang lain. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka perlu
bijak melakukan keputusan dan tindakan demi menjamin kebahagiaan
keluarga. Oleh sebab itu antara langkah awal Islam untuk menjaga
kepentingan akal ini kepada manusia, Allah telah mengharam arak kepada
umat islam. Ini dapat dilihat dari surah al-Maaidah ayat 90 yang
bermaksud:
“Hai orang-orang yang
beriman, Sesungguhnya khamar, berjudi, korban berhala, mengundi nasib
dengan panah adalah perbuatan keji yang merupakan sebahagian dari
perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu
mendapat keuntungan.”
5. Harta
Perkara terakhir yang
perlu di lindungi oleh manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta,
manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Mereka perlu bekerja untuk
mendapatkan harta. Dengan harta manusia dapat memenuhi keperluan mereka
untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya. Dengan ini
jelaslah bahawa harta merupakan perkara penting bagi memastikan
keharmonian hidup manusia. Islam menyedari hakikat ini. Oleh itu Allah
s.w.t telah memberi panduan kepada manusia dalam usaha mereka untuk
mendapatkan harta. Di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 Allah telah berfirman
yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara
yang salah, kecuali melalui perniagaan yang berlaku dengan saling
mempersetujui antara kamu, Dan janganlah kamu membunuh dirimu,
sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”
Walaubagaimanapun, Islam
tidak hanya memberi panduan kepada manusia, bahkan turut menetapkan
hukuman kepada mereka yang mengambil harta orang lain dengan jalan
mencuri.
Hal ini dapat di lihat daam surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:
“ pencuri laki-laki
dan pencuri perempuan , maka potonglah tangan kedua-duanya, sebagai
balasan bagi apa yang mereka lakukan dan sebagai siksaan dari Allah Yang
Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Sesungguhnya, Islam
tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam
selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan
dan kelemahan yang ada pada manusia. Allah s.w.t sama sekali tidak
membebankan makhluk dengan hukuman yang telah ditetapkannya. Semua
bentuk larangan Allah mengandungi kemudharatan kepada manusia, dan semua
perkara yang di halalkan oleh Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada
manusia. Renungilah firman Allah yang bermaksud:
“…dan Allah
menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka
segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban serta
belengggu-belenggu(kesusahan)yang ada pada mereka…” (Al-Quran 7:157)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan