1. Pulau Mataking, Sabah
Pulau Mataking terletak di lautan Sulawesi . Perjalanan mengambil masa
40 minit dari Semporna dan 45 minit dari Sipadan. Digelar tempat
peranginan kelas atasan, Pulau Mataking merupakan ‘syurga’ bagi
penggemar selam skuba. Bersiar-siar di sekitar Pulau Mataking Kecil
merupakan aktiviti wajib di sini! Untuk ke sini, perjalanan hanya
mengambil masa 20 minit dari pulau induk. Terdapat 30 kawasan menyelam.
Antara yang paling terkenal adalah Magic Rick, Mantis Reef, dan Alice
Wall. Pemandangan indah Pulau Mataking mampu dinikmati dari menara
pemerhati. Cadangan LIBUR, alami percutian romantik The Reef Dive
Resort, menyelam skuba dan urutan spa istimewa jika bertandang ke sini.
2. Pulau Layang-Layang, Labuan
Pulau Layang-Layang mempunyai daya tarikan yang kuat dan sering
diperkatakan kerana kecantikan terumbu karang di perairannya. Pulau yang
terletak di barat laut Sabah ini adalah antara destinasi selam skuba
paling terkenal di dunia. Pulau Layang-Layang terletak kira-kira 300
kilometer dari Kota Kinabalu hanya memakan masa selama kira-kira satu
jam menaiki pesawat yang menganjurkan pakej pelancongan. Dengan bentuk
memanjang dan dikelilingi lautan yang jernih dan ditumbuhi rumput laut,
pulau ini kelihatan seperti mutiara terapung di tengah laut.
Layang-Layang Resort adalah satu-satunya resort yang terdapat di sini.
Kemudahan asas dan aktiviti yang ditawarkan pihak resort menjadikan
Pulau Layang-Layang pilihan utama pengunjung yang ingin merancang satu
percutian hebat.
3. Pulau Pom-Pom, Semporna
Selain pasir memutih yang menghiasi lantai pantai indah, Pulau Pom Pom
turut diminati kerana hutan bakaunya yang membuatkan keadaan sentiasa
dingin dan teduh. Pulau ini yang terletak kira-kira 45 minit dari
Semporna juga menjanjikan pemandangan dasar laut yang indah kerana
airnya yang jernih dan dikatakan ‘syurga’ bagi penggemar selam skuba.
Perjalanan dari Tawau ke Semporna mengambil masa kira-kira satu jam
dengan pengangkutan darat manakala perjalanan menaiki bot laju ke Pulau
Pom-Pom mengambil masa 45 minit. Pom Pom Island Resort merupakan inapan
yang ditawarkan dengan kemudahan asas cukup selesa. Pastikan anda
mencuba khidmat urutan yang ditawarkan di sini.
4. Pulau Lankayan, Sabah
Terletak di sebelah utara barat lautan Sulu di Sandakan Sabah, Pulau
Lankayan tidaklah begitu besar. Bahkan, ia cuma mengambil masa lebih
kurang 10 minit berjalan kaki mengelilingi pulau. Keindahan batu karang
di Pulau Lankayan dikelilingi hidupan marin seperti ikan yu, ikan pari
dan ikan-ikan yang jarang ditemui di tempat lain. Pulau Lankayan juga
menjalankan satu usaha memulihara penyu-penyu yang semakin pupus dengan
mewujudkan sangkar-sangkar telur penyu yang ditinggalkan di pulau
tersebut. Lankayan Island Dive Resort merupakan satu-satunya chalet
penginapan yang ada di Pulau Lankayan. Resort yang cukup terkenal di
kalangan penyelam suba ini memiliki 24 buah chalet pelbagai saiz yang
lengkap dengan kemudahan asas.
5. Pulau Gemia, Terengganu
Pulau Gemia atau lebih dikenali sebagai ‘Gem Island’ adalah pulau
persendirian yang terletak kira-kira 800 meter dari Pulau Kapas. Biarpun
tidak begitu dikenali berbanding pulau-pulau lain di Terengganu, Pulau
Gem mempunyai banyak keistimewaannya. Pulau Gem juga boleh dianggap
pulau yang terindah di Pantai Timur. Dari Lapangan Terbang Kuala
Terengganu akan mengambil masa 30 minit dengan menaiki kereta untuk
sampai ke Jeti Marang manakala 10 minit masa perjalanan menggunakan bot
untuk sampai ke pulau ini. Gem Island Resort & Spa merupakan resort
pilihan yang cukup selesa buat pelancong. Harga yang ditawarkan juga
amat berpatutan, bersesuaian dengan pakej dan aktiviti yang ditawarkan
di sana.
6. Pulau Perhentian Besar, Terengganu
Terletak dalam daerah Besut di Terengganu yang jaraknya kira-kira
setengah jam menaiki bot laju dari Jeti Kuala Besut, Pulau Perhentian
Besar sering menjadi pilihan pelancong yang inginkan privasi. Pulau ini
masih terpelihara kerana sebahagian besar kawasannya tidak berpenghuni
dan dibangunkan bagi memelihara kecantikan flora dan fauna di pulau ini.
Terdapat dua kawasan yang terkenal di sini iaitu Teluk Dalam dan juga
Pantai Utama yang terletak di sebelah barat pantai ini. Perairan di
sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan
bawah laut yang hebat untuk aktiviti selam skuba dan snokerling. Lawatan
bot ke pulau-pulau juga boleh diaturkan dengan bot sewa. Perhentian
Island Resort, Tuna Bay Island Resort dan Samudra Beach Chalet adalah
antara inapan pilihan bagi percutian keluarga.
7. Pulau Dinawan, Sabah
Pulau persendirian yang terletak di selatan Kota Kinabalu ini menawarkan
hutan hujan tropika yang indah di kelilingi oleh Laut China Selatan.
Mengambil masa kira-kira 25 minit menaiki bot laju melalui Jeti Marina
Sutera di mana 6km daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
(KKIA) dan 12km daripada pusat Bandar Kota Kinabalu. Airnya yang jernih
sesuai bagi pengunjung yang ingin melalui pengalaman menerokai ekosistem
laut. Istimewa di sini, pengunjung boleh menikmati pengalaman unik
‘separuh kapal selam’ untuk melihat landskap dasar laut yang cukup
mengagumkan.
8. Pulau Kapalai, Sabah
Digelar syurga peminat sukan skuba, Pulai Kapalai terletak di antara
Pulau Sipadan dan Pulau Mabul. Perjalanan ke sini mengambil masa 15
minit menaiki bot daripada Pulau Sipadan dan 40 minit dari Tawau dan
Semporna dengan menaiki bot laju. Pulau ini dianggap cukup unik kerana
tidak mempunyai daratan. Semuanya berada di atas air. Sipadan-Kapalai
Dive Resort adalah antara penginapan yang terdapat di sini. Resort yang
dikelilingi air laut yang bersih dan jernih ini mempunyai kekayaan
hidupan laut yang menakjubkan. Istimewa di sini, apabila anda berpeluang
melihat penyu yang aktif di waktu malam. Cukup menarik!
9. Pulau Tiga, Sabah
Pulau Tiga merupakan pulau terbesar daripada tiga pulau iaitu Pulau
Tiga, Pulau Kalampunian Besar dan Pulau Kalampunian Damit. Taman Pulau
Tiga terletak di Teluk Kimanis di Pantai Barat Sabah kira-kira 48
kilometer dari Kota Kinabalu. Mempunyai landskap yang indah dan alam
semula jadi yang belum terusik, Pulau Tiga juga dikenali sebagai
Survivor Island kerana menjadi lokasi utama program TV popular
‘Survivor’ pada tahun 1999. Terdapat 130 spesies ikan yang dikenal pasti
di taman ini. Masa terbaik untuk menyelam adalah dari bulan Mac hingga
Oktober. Untuk menaiki bot ke pulau ini dengan jarak sejauh 18
kilometer, ia mengambil masa 45 minit perjalanan. Beberapa agen
pelancongan juga menganjurkan perjalanan dan perkhidmatan feri untuk ke
Pulau Tiga.
10. Taman Negara Pulau Penyu, Sandakan
Taman Negara pulau Penyu terletak 40 kilometer dari Sandakan, Sabah.
Terdiri daripada tiga buah pulau iaitu Selingan, Bakkungan Kecil dan
Gulisan, ia dikelilingi oleh terumbu karang dan laut. Cukup terkenal
dengan Penyu Pulau (Green Turtles) dan Penyu Karah/Penyu Sisik
(Hawksbill Turtles) yang datang bertelur di pantai pulau ini. Hanya di
Pulau Selingan terdapat chalet bagi pengunjung yang ingin bermalam bagi
menyaksikan penyu bertelur. Mengambil masa sejam untuk tiba menaiki bot
dari Sandakan ke Pulau Selingan, pengunjung berpeluang belajar mengenai
pemulihan penyu dari pengumpulan telur ke proses inkubasi hingga ke
proses penetasan sebelum dilepaskan di laut. Bulan Mac dan September
merupakan bulan yang paling sesuai untuk mengunjungi Taman Negara Pulau
Penyu.
http://selongkar10.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan