Masa kanak-kanak dulu saya pasti kebanyakan dari kita penuh dengan memori-memori kartun dari Jepun seperti Doraemon, Dragon Ball, Pokemon, Ultraman, Kamen Rider dan banyak lagi.
Selain itu, kalau kita cakap pasal Jepun, kita pasti terbayangkan sistem pengangkutan mereka yang canggih seperti keretapi peluru contohnya.
Jadi apa kaitan antara kartun Jepun dengan keretapi yang saya nak
ceritakan di sini? Kali ini saya nak paparkan antara rekaan
keretapi-keretapi di Jepun yang dihiasi dengan hiasan yang comel, cantik
dan menarik yang kadang-kadang kita tak pernah terfikir pun akan ada.
Jom kita tengok enam keretapi di Jepun yang sangat comel dan menarik ini.
1. Keretapi Kucing
Untuk menarik perhatian, pada tahun 2007 bandar Kinokawa di Jepun telah
melantik seekor kucing bernama Tama sebagai penjaga stesyen bagi sebuah
stesyen keretapi di situ. Sejak itu, Tama menjadi tarikan pelancong yang
popular di Jepun dan juga di seluruh dunia.
Tama menjadi maskot cenderahati yang sangat mendapat sambutan
sehinggakan di mana-mana sahaja terdapat gambar Tama di Kinokawa. Yang
paling menarik, pastinya keretapi khas untuk Tama iaitu keretapi kucing
atau juga dikenali sebagai Keretapi Tama.
Memang sangat comel keretapi ni, terutamanya bagi peminat kucing di luar sana.
2. Keretapi Kotatsu
Kotatsu merupakan meja berkaki rendah yang dipasang dengan pemanas pada
bahagian bawahnya, dan dilitupi dengan selimut bagi memerangkap haba.
Ianya sangat popular di Jepun terutamanya pada musim sejuk.
Kalau yang biasa tengok kartun Jepun macam Shin Chan atau Doraemon mesti
kenal dengan Kotatsu ni. Untuk membawa perasaan seperti berada di rumah
sendiri di dalam keretapi, syarikat Sanriku Railway Co. telah
menyediakan keretapi yang dilengkapi dengan meja Kotatsu bagi
menggantikan tempat duduk.
3. Keretapi Maharaja
Untuk masa-masa tertentu, Maharaja Jepun akan menaiki keretapi untuk
travel atau membawa ketua-ketua negara luar menikmati pemandangan di
Jepun. Kalau dah maharaja punya keretapi, tak kan nak naik keretapi yang
cikai-cikai sahaja kan.
Keretapi Maharaja atau the Imperial Train ini telah digunakan sejak
2007. Satu gerabak dalam keretapi ini disediakan khas untuk maharaja
manakala gerabak-gerabak yang lain pula untuk kegunaan khas. Bahagian
kepala keretapi ini kebiasaannya dihias dengan cop maharaja, bendera
Jepun, dan jika terdapat diplomat dari negara luar, bendera bagi negara
diplomat tersebut akan digunakan.
4. Keretapi Pokemon
Bagi sesiapa yang minat Pokemon tu, ini keretapi untuk anda. Adakah
terdapat pokemon yang real dalam keretapi ni? Err, mungkin tak, tapi
ianya dilengkapi dengan tema-tema Pokemon seperti tempat duduk, langsir,
karpet dan hiasan dinding.
Terdapat juga gerabak yang dikhaskan untuk bermain, mungkin untuk mereka yang berangan-angan nak jadi Pokemaster.
Keretapi ini dikhabarkan mula beroperasi akhir Disember lalu tapi
setakat ini saya tak jumpa lagi gambar real keretapi tersebut. Yang ada
hanyalah ilustrasi. Tapi ini pun dah nampak menarik kan.
5. Keretapi Alat Mainan
Tidak cukup dengan keretapi kucing yang diceritakan tadi, pihak
pengurusan yang sama berpendapat keretapi alat mainan juga akan mendapat
sambutan orang ramai. Keretapi ini menampilkan vending machine untuk
membeli alat mainan, kedai alat mainan dan juga hiasan yang comel dan
menarik seperti yang biasa anda lihat di tadika-tadika.
Selain itu ianya juga dilengkapi dengan katil bagi orang dewasa. Bagi
sesiapa yang ada anak kecil tu kalau bawa mereka naik keretapi ni pasti
mereka riang sakan.
6. Keretapi Tujuh Bintang Di Kyushu
Keretapi yang juga dikenali sebagai Seven Stars in Kyushu ini masih lagi
belum beroperasi namun ianya sudah mendapat liputan meluas. Digelar
sebagai kapal pelayaran darat, ianya merupakan keretapi mewah yang akan
dilengkapi dengan suite mewah, selain terdapat etika pemakaian untuk
menaikinya dan mungkin yang agak tidak best, kanak-kanak tidak
dibenarkan naik.
Walaupun ianya dijangka hanya akan beroperasi bermula Oktober 2013,
namun ianya sudah mendapat perhatian golongan kaya seperti pak-pak Arab
dari UAE dan juga dari Hong Kong. Hah, jangan ingat hotel sahaja yang
ada tujuh bintang, keretapi pun ada rupanya.
Huh, memang comel, menarik dan pelik-pelik rekaan keretapi yang terdapat
di Jepun ni. Pasti seronok kalau keretapi di negara kita juga se-cool
dan se-awesome begini, barulah rasa seronok nak naik.
Tapi buat masa ini rasanya ianya tak akan jadi kenyataan sebabkan masa
ketibaan keretapi di Malaysia ni terutamanya komuter pun masih lagi
lambat kadang-kadang, inikan pula nak dapatkan keretapi yang canggih dan
menarik sebegini.
Jadi berpuas hati sahajalah buat masa sekarang dengan pemandangan
berhimpit-himpit dalam keretapi dengan bau ketiak warga asing. Hehe.
Sumber dari Tofugu dan Eurogamer/http://www.kfeinblog.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan