“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada
qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan
pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling
mahal. Sebab itu dikatakan “rumahku… syurgaku”
- kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.
Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya, apabila hendak mendirikan rumah tangga,
fitrah hatinya inginkan seorang wanita yang solehah sebagai teman hidup
kerana menurut Dr. Shafie, “wanita solehahlah yang dapat melahirkan
ketenangan dalam rumah tangga”
Isteri yang solehah, ujarnya, akan
menjana aktiviti amal soleh di dalam rumah tangga yang menjadi saluran
Allah datangkan ketenangan atau kehidupan yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan
amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka
sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (An-Nahl:
97)
Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan
kehidupan yang lapang dan tenang. Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?”
soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz
al-Quran.
Beliau berkata, sempitnya rumah tangga
disebabkan kita tidak ikut formula yang Allah beri dalam mengatur
kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah tidak beri begitu saja. Ada
formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam pertemuan di pejabatnya di
Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati
akan tenang bila ingat Allah. “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati
menjadi tenang,” demikian maksud firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam
solat, kita memohon melalui bacaan al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan
yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan
nikmat …”.
Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati
atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie,
“orang hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”
“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi
tak bahagia. Kalau semua yang kita miliki itu dapat mendorong kita
melakukan amal soleh, barulah ia menjadi sumber kebaikan (dan
ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan yang dilakukan dalam
keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran di akhirat.
Allah menjelaskan, “Dan siapa yang
berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang
sempit.” (Thaha: 124) Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin
adalah natijah dari tidak mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah
tangga, termasuklah seawal memilih jodoh lagi.
“Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih
pasangan tapi di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh
memberi efek kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan
bersanding, unsur muzik dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan
sebagainya.
Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada
formula yang digariskan oleh agama. Kalau tidak, kita akan membinasakan
diri kita.” Katanya, rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama
hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan,
menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan.
“Melalui agama, semua formula kehidupan
Allah sudah ajar kepada kita,” katanya. “Dalam kehidupan ini setiap
sesuatu ada formulanya,” tambahnya, dengan memberi contoh perlunya kita
ikut resipi jika hendak buat kuih.
Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon pasangan yang beragama.
“Manusia memang sukakan kecantikan, tapi
asas pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan
ketenangan,” katanya. Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini
dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh
lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya
sebuah perkahwinan.
“Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu” – (Imam Nawawi)
http://pakarcinta.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan