ANTARA nikmat Allah SWT yang terbesar kepada umat manusia adalah
kemerdekaan secara fizikal dan rohani. Tetapi tidak semua negara atau
bangsa yang dapat menikmati kedua-duanya sekali.
Masih ada bangsa dan negara yang mendiami dunia ini semenjak dari
dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang untuk menikmati
kemerdekaan yang sebenar.
Kehidupan mereka bukan hanya terbelenggu daripada segi pembangunan
material tetapi juga untuk beragama atau tunduk kepada Allah SWT dengan
penuh ketenangan adalah sukar.
Atas sebab itulah, Islam memberi penekanan amat tinggi terhadap
falsafah kemerdekaan yang tidak hanya memfokuskan kepada merdeka tanah
air tetapi juga jiwa dan pemikiran umat Islam itu sendiri.
Jiwa dan pemikiran umat Islam yang merdeka seharusnya berteraskan
akidah yang diajar oleh agama supaya mereka mampu menghadapi cabaran dan
dugaan masa kini seperti murtad, ajaran sesat, liberal, budaya songsang
dan lain-lain.
Malah, ia juga sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan
tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah
(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu
(dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau
melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)
Bagi penceramah bebas, Dr. Mohd Sukki Othman menyifatkan dalam
konteks Malaysia sendiri, usaha pengisian sedemikian amat penting bagi
memperkasakan jiwa dan pemikiran manusia agar lebih dekat dengan Allah
SWT.
Walaupun merdeka tanah air tetapi cara pemikiran dan jiwa bangsanya
masih berteraskan penjajah, sama ada daripada segi politik, ekonomi dan
sosial.
Dengan itu, kita masih belum dianggap merdeka kerana pemikiran dan
jiwa sedemikian tidak akan membolehkan kita menikmati kebahagiaan di
dunia serta di akhirat," katanya ketika ditemui di Universiti Putra
Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Pensyarah kanan Bahasa Arab dan Ijaz al-Quran, UPM seterusnya
menambah, keperkasaan jiwa dan pemikiran tersebut juga penting kerana
faktor persekitaran seseorang itu mampu menggoncangkan pendirian dan
akalnya.
Tekanan persekitaran itu boleh datang daripada pelbagai cara, seperti
kawan-kawan, komuniti kediaman, kaum keluarga, pendidikan dan
lain-lain.
Tekanan dan pengaruh persekitaran sedemikian hanya mampu ditangani
oleh individu yang kuat jiwa dan pemikirannya kerana keteguhan itu ada
ketikanya boleh menyebabkan dia disisih atau dianggap keras kepala.
Tetapi Islam memerlukan individu sedemikian bagi memastikan
kedudukan Islam tidak dihina atau dicabar dengan sewenang-wenangnya,"
katanya.
Namun, Dr. Mohd. Sukki menegaskan bahawa pengisian jiwa dan pemikiran
manusia itu amat memerlukan kesungguhan dan komitmen semua pihak yang
berkepentingan.
Ini kerana katanya, seorang penyair Mesir ada menyebut bahawa umat
itu akan kekal, bila mana akhlaknya kekal tetapi umat itu hancur, bila
mana akhlaknya hancur.
Ia menunjukkan kepada kita bahawa walaupun hebat daripada segi
teknologi tetapi kalau manusia itu tidak dibina kerohanian dan jiwa,
akan berlaku gejala sosial, riba, jenayah, murtad, ajaran sesat dan
lain-lain.
Kalau macam itulah, maka hakikat kemerdekaan belum dicapai kerana jiwa kita masih tidak tenang dan bahagia," katanya.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan