Khamis, 10 Januari 2013

Melayari FB Waktu Kerja, Langgar Etika Kerja Bukan Rasuah – SPRM

Melayari laman web sosial atau melibatkan diri dengan urusan peribadi ketika waktu bekerja ialah melanggar etika kerja dan bukannya satu bentuk rasuah.

Dalam menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataan media yang menggunakan namanya, Timbalan Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sultan berkata beliau tidak pernah mengatakan bahawa melayari 'Facebook' pada waktu pejabat adalah satu bentuk rasuah.






Sebaliknya, Sutinah berkata melibatkan diri dalam urusan peribadi merupakan satu tindakan 'curi tulang' yang bertentangan dengan etika kerja yang baik.

"Kami tahu rasuah itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk seperti unsur-unsur penipuan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan pihak tertentu dan sogokan.

"(Namun) curi tulang bukanlah satu bentuk rasuah. Ia adalah satu bentuk manifestasi kesalahan kerana melanggar etika dan budaya kerja," kata Sutinah selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar integriti korporat oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini, Rabu.

Ahad lalu, Sutinah dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata kakitangan awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melayari laman media sosial atau melibatkan diri dalam urusan peribadi semasa waktu bekerja boleh dikategorikan sebagai melakukan rasuah.

Dalam perkembangan lain, pada majlis ikrar integriti korporat, Sutinah berkata 161 organisasi sektor awam dan swasta komited selepas mereka menandatangani perjanjian membanteras rasuah.

Beliau turut mengingatkan syarikat-syarikat itu supaya mematuhi lima ikrar menentang rasuah iaitu: menggalakkan nilai-nilai pentadbiran yang baik dan berintegriti; mengukuhkan mekanisme dalaman dalam menangani rasuah; mematuhi undang-undang membanteras rasuah; mengawal sebarang bentuk rasuah dan menyokong insiatif anti-rasuah yang diwujudkan oleh kerajaan dan SPRM.
MSTAR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...