Majlis resepsi pasangan pengantin, Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eiluniey Natasha Jaafar berlangsung meriah di Dewan Ballroom, Hotel Renaissance, malam kelmarin.
Pasangan sama cantik sama padan itu, tampak menyerlah dengan persalinan songket berwarna maroon keemasan direka Ezuwan Ismail yang ditaja oleh Atikah Songket dengan perhiasan mahkota untuk pengantin perempuan selain pemakaian tanjak dan keris pada pengantin lelaki.
Majlis bermula jam 9 malam dengan pasangan pengantin diarak masuk diiringi ahli keluarga ke dalam dewan hotel sehingga sampai di pelamin persandingan.
Kedua-dua mempelai ditepung tawar kedua-dua belah pihak keluarga termasuk ibu dan bapa pengantin perempuan, Norlaila Abu Bakar, 40,dan bapa tirinya, Nazri Adnan, 40, serta ibu dan bapa pengantin lelaki, Bidah Ibrahim, 57, dan Che Mat Hussin, 60.
Hampir 1,500 tetamu hadir, antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Ketua Istiadat Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa, Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin
Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah.
Majlis lebih meriah, apabila kedua mempelai turut disajikan dengan dendangan lagu yang semakin mendapat tempat di hati peminat dan menjadi tema telemovie Adam dan Hawa, dendangan duet Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz AF yang dipersembahkan penghibur jemputan.
Dalam majlis itu juga, bapa tiri pengantin perempuan, Nazri ketika berucap, mengharapkan Leuniey dapat menjalani kehidupan rumah tangga dengan baik.
Beliau mengharapkan mereka bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.
“Selama ini ‘papa’ dan ‘mama’ jaga Leuniey sehingga 21 tahun dan kini dia sudah jadi milik orang.
“Harapan kami agar Fahmi (Apex) curahkan kasih sayang,” katanya.
Dalam majlis itu, Apex melafazkan janji akan bahagiakan isterinya.
“Saya akan bahagiakan dia seumur hidup, tidak kira apa juga keadaan walaupun sakit, jatuh bangun karier saya untuk melayari bahtera rumah tangga kami dengan bahagia.
“Leuniey memahami karier saya dan mudah dibawa berbincang. Insya-ALLAH, saya akan beri kasih sayang dan jaga dia dengan baik,” katanya.
Ditanya kemahiran Leuniey menyediakan hidangan dan masakan kegemaran, Apex memuji kemahiran isterinya menyediakan hidangan pembasuh mulut pavlova, selain kek serta masakan tomyam.
Sementara itu menurut Apex, buat masa ini, dia dan isteri masih belum menentukan destinasi pilihan bulan madu mereka.
Apex mengakui masih gementar, namun mengharapkan, majlis di kediamannya pada 5 Januari ini di Kampung Cherang dengan tema ala kampung dan satu lagi majlis resepsi di Hotel The Royale Bintang, Damansara Kuala Lumpur berjalan lancar.
Sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan