Rabu, 6 Februari 2013

PLUS Tawar Rebat Tol Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengumumkan pengguna jalan raya akan menikmati rebet tol pada hari terpilih semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam satu kenyataan pada Rabu Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebet tol itu akan diberi kepada pengguna yang membayar tol secara eletronik menggunakan kad PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTAG di lebuh raya kendalian PLUS.

"Inilah cara untuk menghargai pelanggan kami pada musim perayaan ini dan sebahagian daripada usaha kami menggalakkan orang ramai supaya beralih kepada sistem pembayaran tol elektronik yang lebih mudah dan pantas," katanya.






Noorizah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PLUS berkata langkah itu juga sebahagian daripada strategi pengurusan untuk menyuraikan lalu lintas dan menggalakkan orang ramai supaya melakukan perjalanan pada hari tidak sesak.

Bagaimanapun rebet tol tidak akan ditawarkan kepada pengguna jalan raya yang membayar tol secara elektronik di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar.

Noorizah berkata pemandu kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada 7 Feb (Khamis) dan 15 Feb (Jumaat) akan diberi rebet 20 peratus manakala rebet tol 30 peratus pula pada 10 Feb (Ahad).

Rebet tol itu boleh ditebus di semua pusat khidmat pelanggan PLUS mulai 1 Mac hingga 31 Mei ini.

PLUS menjangkakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan akan meningkat 30 peratus iaitu 1.4 juta kenderaan setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Jangkaan ini berdasarkan kajian mengenai trend melakukan perjalanan semasa musim perayaan sebelum ini.

"Membayar tol secara elektronik dapat melancar dan mempercepat laluan di tol plaza," katanya.

Beliau berkata kad PLUSMiles menawarkan banyak manfaat dan ganjaran. Untuk mendaftar dan mendapat kad PLUSMiles serta-merta, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...