Sabtu, 4 Oktober 2014

Filem-filem barat zaman sekarang semakin Mencabar Aqidah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bukan satu perkara baru tentang adanya filem dari barat terutamanya Hollywood yang bercanggah dan dapat memberi cabaran terhadap Aqidah seorang Muslim, tetapi kalau dulu ianya tidak begitu ketara dan banyak. Ditambah lagi dengan teknologi dulu yang serba kurang lagi, menjadikan filem-filem itu tidak terlalu berpengaruh.


Filem barat mencabar Aqidah

Sebelum kita teruskan bicara, sudahkah anda membaca tajuk Bagaimana pengaruh Illuminati meresap ke dalam filem-filem Hollywood? Dan juga tajuk Illuminati dan kaitannya dengan hiburan?




Kalau dalam era 80an, antara filem yang memainkan Aqidah kita ialah contohnya filem Clash of the Titans, iaitu kisah tentang dewa-dewa zaman dulu kononnya. Tapi waktu itu, efek dalam filem belum canggih lagi, dan nampak seperti kartun. Permainan emosi pun belum cukup mantap ketika itu.

Tapi kini, filem-filem yang disajikan, dibantu lagi dengan teknologi-teknologi canggih, dengan efeknya yang nampak "real", sudah tentu boleh memukau dan menyebabkan generasi baru kita tercabar juga Aqidah mereka. Sebagai contoh Clash of The Titans versi 2010 tidak lagi seperti dulu dan lebih jauh canggih.

Kalau dulu juga tidak banyak kisah-kisah yang dapat bermain dengan Aqidah. Antara yang saya sempat fikirkan, selain dari kisah dewa-dewa, iaitu kisah tentang nabi-nabi versi Kristian, kisah kembali ke masa silam dan mengubah sejarah dan mungkin beberapa lagi yang jarang-jarang sekali keluar. Contoh kisah kembali ke masa silam iaitu seperti filem Back to the future, yang mana ianya masih nampak seperti hanya khayalan dan tidak akan berlaku di alam nyata pun.

Berbeza dengan kisah-kisah dalam filem sekarang yang dibikin seolah-olah ianya logik dan akan berlaku. Ditambah lagi dengan efek-efek yang realistik yang menghidupkan lagi suasana cerita. Serta kisah-kisahnya pun semakin pelbagai, kerap keluar dan terlampau di luar kotak.

Antara filem terbaru yang dapat memainkan Aqidah kita ialah Transcendence. Secara ringkas (tak perlu saya cerita panjang kerana ini bukan movie review), kisahnya berkenaan Dr Will Caster yang mindanya telah digabungkan dengan komputer. Setelah dia meninggal dunia, mindanya masih ada dalam komputer dan terus hidup. Yang mana akhirnya dia dapat mengawal serba-serbi benda dan dapat menjelma semula ke alam nyata. Walaupun nampak banyak kebaikan yang dilakukannya dalam filem tersebut, tetapi seolah-olah dia telah memainkan peranan seperti Tuhan.

Konsep pemindahan minda manusia ke dalam komputer itu juga ada ditonjolkan dalam filem Captain America - The winter soldier. Dalam filem tersebut ditunjukkan Captain America telah masuk ke sebuah makmal komputer lama tentera Jerman, dan di situlah dia menemui satu sistem komputer yang masih hidup beserta dengan Dr. Arnim Zola yang telah bergabung menjadi komputer itu sendiri.

Sebuah lagi filem baru yang hampir sama konsep dengan Transcendence ialah filem Lucy. Cuma Lucy bukannya minda manusia bergabung dengan komputer, tetapi Lucy adalah seorang wanita yang secara tidak sengaja akhirnya berupaya menggunakan otaknya hingga ke tahap 100%. Manusia biasa seperti kita hanya menggunakan keupayaan otak di tahap 10%.

Ketika keupayaan otak Lucy berada di tahap 90%, dia dapat kembali ke zaman permulaan bumi, yang mana ketika itu kononnya manusia masih lagi dalam bentuk seekor beruk. Ini saja nampaknya seperti mahu menyokong Teori Darwin. Setelah otaknya telah mencapai tahap 100%, jasadnya menghilang dan seolah-olah dia berada di mana-mana dan boleh mengawal apa saja.

Nama Lucy itu sendiri dapat mengingatkan kita kepada Lucifer iaitu salah satu panggilan lain kepada Iblis. Dan filem Lucy ini juga mengingatkan kita kepada filem The Matrix.

Kisah tentang kembali ke zaman lalu dan mengubah sejarah ditonjolkan kembali melalui filem X-Men: Days of future past. Kita dapat saksikan dimana Wolverine dihantar kembali ke masa lampau melalui kuasa yang ada pada Pryde, untuk menghalang Mystique dari membunuh Dr. Trask, pencipta robot Sentinels. Dengan membatalkan pembunuhan itu kononnya dapat menghalang projek mencipta robot Sentinels diteruskan, dan seterusnya menghalang dari membunuh semua mutant di masa hadapan. Sejarah telah diubah.

Filem Edge of tomorrow pun tidak kurang mengarutnya. Akibat terkena suatu bahan dari makhluk asing, menyebabkan apabila Lt. Col. Bill Cage mati, dia akan hidup kembali ke satu waktu yang sama. Dan ianya sentiasa berulang-ulang, jika mati dia akan hidup balik, mati hidup balik di tempat yang sama. Seolah-olah seperti bermain dalam PC Games pula, dapat "reset" kemudian asah "skill". Seolah-olah bahan yang ada pada makhluk asing tadi pula yang dapat mengawal takdir.

Filem tahun 2010 iaitu Legion, mengisarkan malaikat Mikail yang turun ke bumi untuk menyelamatkan manusia. Kononnya tuhan telah hilang kepercayaan lagi kepada manusia, dan mengutuskan malaikat Jibril untuk menghapuskan manusia. Mikail sebagai hero dan Jibril sebagai watak jahat.

Memang orang-orang Yahudi tidak suka kepada Jibril a.s, kerana bagi mereka Jibril hanya membawa kemusnahan dan bala, sedangkan mereka suka kepada Mikail a.s kerana Mikail membawa rezeki dan kemakmuran di dunia ini.

Antara dalil yang menunjukkan bahawa Yahudi tidak sukakan Jibril a.s ialah seperti yang terkandung dalam Al-Quran. "Katakanlah, barang siapa yang menjadi musuh Jibril, maka Jibril itu telah menurunkannya (al-Quran) ke dalam hatimu dengan izin Allah, membenarkan apa (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang yang beriman. Barang siapa yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibril dan  Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh-musuh orang kafir." [Surah Al-Baqarah : 97-98]

Ayat di atas turun selepas satu sesi dialog antara Nabi Muhammad S.a.w dengan beberapa orang Bani Israel.

Tidak lupa kepada filem tahun 2003 iaitu Bruce Almighty, yang mengisahkan tuhan telah memberi peluang kepada seorang manusia untuk menjadi tuhan dalam masa seminggu. Sudah lah begitu, tuhan itu pula adalah dalam bentuk seorang lelaki negro.

Filem-filem yang memaparkan kisah hidup para nabi pun seperti semakin bertambah. Satu hal, mereka pandai-pandai melakonkan watak seorang nabi yang sememangnya tidak layak dilakonkan oleh sesiapa pun kerana ia boleh mencemar peribadi seorang nabi itu. Apa lagi kalau seperti dalam filem Noah, yang mana ditonjolkan beberapa perkara yang buruk dan tidak layak bagi Nabi Nuh a.s iaitu seperti dia mahu membunuh cucunya sendiri yang baru lahir (kononnya itu kehendak Tuhan), dia tension hingga minum arak sampai mabuk dan telanjang, dan banyak lagi yang tidak layak bagi seorang utusan Allah S.w.t.

Jalan cerita pun jauh menyimpang dari jalan cerita sebenar yang kita dapati dari Al-Quran dan hadits-hadits Nabi S.a.w. Antara filem-filem berkenaan para nabi selain dari Noah yang dapat saya ingat ialah Passion of Christ, Ten Commandments, The Kingdom of Solomon (filem Iran).

Dan macam-macam lagi lah ....... Jika anda tahu filem-filem lain lagi yang berkaitan, sila tambah dan kongsi.


Apa yang tidak logik ditonjolkan menjadi seperti logik

Filem-filem yang mengarut begini kalau kita perhati betul-betul, sebenarnya banyak yang tidak logik dan tidak profesional pun dalam membikinnya. Walaupun suatu filem itu nampak sangat canggih, tetapi kalau dah mengarut sangat, memang akan terserlah lah ketidak-logikannya.

Contoh mudah untuk anda faham, perhatikan saja dalam filem The Incredible Hulk. Setelah dia bertukar menjadi gergasi, seluar dalamnya masih tidak koyak rabak. Padahal kalau dah bertukar jadi gergasi begitu, semua akan koyak rabak lah, itu logiknya. Nampak kan apa maksud saya? Dan begitulah seterusnya kalau anda perhatikan dalam filem-filem Hollywood. Terlalu banyak berlaku seperti ini, mungkin akibat "terlebih" kreatif dan inovatif hingga terlupa kepada hal-hal yang remeh, yang sepatutnya tidak berlaku jika dibuat kerja dengan profesional.


Tanggungjawab ibubapa monitor anak-anak

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa juga agar memantau anak-anak mereka terutamanya yang masih kecil dan memberi penjelasan kepada mereka tentang pengaruh-pengaruh dalam filem sebegini. Kalau mahu tengok pun, biar tengok dalam keadaan waspada dan sekadar mahu tahu apa agenda dan perancangan mereka. Bukannya tengok dalam keadaan percaya serta mengagungkan kehebatan duniawi mereka.

Mungkin bagi orang yang sudah mantap Aqidah atau ilmu agamanya tidak terkesan apa-apa pun jika menonton. Tapi kita tidak tahu bagaimana dengan generasi muda yang hidup bukan dalam zaman seperti kita dulu ini.

Kalau kita lihat tahap orang murtad, yang menukar agama, yang sertai kumpulan-kumpulan ajaran songsang (termasuk Black Metal), yang menyokong gerakan "nude" dan sebagainya, tak mustahil sedikit-sebanyak dulunya mendapat pengaruh dari filem-filem sebegini. Ditambah pula dengan didikan agama yang sangat kurang, dengan faktor-faktor keduniaan dan terlalu terpengaruh dengan teknologi semasa lagi. Tambah lagi dengan bisikan-bisikan jin Qarin dan syaitan-syaitan luaran yang terdiri daripada jin dan manusia.

Antara cara strategik untuk membrainwash manusia pun ialah melalui hiburan, termasuklah filem-filem. Yang boleh membuatkan timbulnya persoalan-persoalan yang karut-marut dalam minda manusia. Sedikit sebanyak mungkin boleh mencalarkan Aqidah, menggoyah dan lama-kelamaan mungkin boleh membawa kepada "traffic jam" aqidah dalam otak manusia.

Tak perlu lah kita berfikiran terlalu pelik sangat di dunia yang sementara ini. Tak perlu lah berkhayal melampau-lampau kepada perkara-perkara karut, apa lagi yang tidak wujud dan bercanggah dengan syariat dan aqidah Islam. Islam itu simple dan sederhana. Mahu yang pelik-pelik, yang tak terfikir oleh otak manusia dan sebagainya, insyaAllah ada di syurga nanti. Maka lebih baik lah kita fikir bagaimana untuk mendapat rahmat Allah Ta'ala dan ke syurga, daripada fikir untuk mengagungkan pemikiran-pemikiran yang karut dan tahyul di dunia ini.

Semoga kita semua dijauhkan dari fitnah Dajjal. Saya yakin, Dajjal akan muncul dengan teknologi dan fitnahnya sudah lama berlaku. Dan dia akan mewujudkan kembali pemerintahan seperti zaman Nabi Sulaiman a.s dulu di muka bumi ini, iaitu pusat pemerintahannya di Jerusalem (yang sekarang terletak di Israel). Kerana itulah nanti dia akan keluar bersama dengan 70 ribu orang Yahudi (seperti yang disebut dalam hadits). Panjang lagi ceritanya, insyaAllah lain kali akan ditulis.

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya), Yang tidak mengantuk usahkan tidur, Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi......." [Surah al-Baqarah : 255]

Wallahu a'lam ....... :-)
unikversiti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...