Suatu kajian Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menunjukkan penyakit kencing manis (diabetes) adalah suatu risiko yang terpenting menyebabkan seseorang diserang angin ahmar di Malaysia.
Penemuan
ini merisaukan kerana jumlah pesakit diabetes di Malaysia semakin
meningkat, khususnya di kalangan generasi muda, kata seorang Perunding
Neurologi di PPUKM, Prof Datin Dr Norlinah Mohd Ibrahim.
Prof
Norlinah yang juga Pengerusi Kuala Lumpur Regionalised Stroke
Intervention System (KRISIS) telah mengumkumkan hasil kajian itu pada
Portal Berita UKM hari ini.
Beliau
berkata kajian itu mendapati terdapat hubungan rapat antara penyakit
kencing manis dan serangan strok. Kadar serangan strok yang berpunca
daripada penyakit kencing manis didapati lebih tinggi di kalangan
penduduk Malaysia daripada penduduk mana-mana negara lain.
Kajian
itu juga menunjukkan seramai 60% pesakit strok yang dimasukkan ke PPUKM
dalam jangka masa 4 tahun turut mengidap penyakit kencing manis. Lebih
membimbangkan setiap seorang dari 6 orang pesakit itu hanya mengetahui
mereka mengidap diabetes apabila mereka dimasukkan ke hospital kerana
diserang angin ahmar, kata Prof Norlinah.
Faktor
risiko strok yang paling lazim di seluruh dunia adalah penuaan dan
penyakit darah tinggi. Penyakit diabetes pula hanya berada di tangga
ketiga sebagai faktor risiko.
Bagaimana
pun peningkatan kadar pesakit diabetes di Malaysia amat membimbangkan.
Dianggarkan kadar peratusan mereka yang mengidap kencing manis adalah 3
kali lebih tinggi daripada yang biasa dilihat di negara lain termasuk
negara-negara Asia yang mempunyai penduduk yang hampir sama dengan
Malaysia.
Bagaimanapun
Prof Norlinah menegaskan bahawa bukan semua penghidap diabetes akan
berakhir dengan serangan strok. Tetapi mereka ini mempunyai risiko yang
lebih tinggi untuk diserang angin ahmar daripada mereka yang bebas
daripada kencing manis. Risiko mereka ini bertambah kiranya mereka juga
memiliki faktor risiko lain.
Beliau berkata serangan angin ahmar yang paling kerap terjadi adalah ischaemic strok.
Ini berlaku apabila bekalan darah terhalang oleh gumpalan darah yang
terbentuk dalam saluran darah, ia turut berlaku apabila dinding saluran
darah menjadi semakin tebal.
Prof Norlinah berkata kebanyakan dinding saluran darah menebal dalam saluran kecil yang dikenali sebagai lacunar. Ini kebiasaannya dilihat terjadi keatas mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Apa yang tidak diduga menurut data dari PPUKM itu ialah strok jenis ini yang juga dikenali sebagai strok lacunar, lebih berkait rapat dengan diabetes daripada hipertensi.
Prof
Norlinah berkata walau pun kaitan ini telah dibuat sebelum ini, tetapi
“kepercayaan tradisional di kalangan masyarakat perubatan adalah strok
lacunar lebih disebabkan oleh hipertensi dan bukannya diabetes. Hasil
kajian kita telah menunjukkan yang diabetes juga memainkan peranan yang
besar malah lebih besar dari hipertensi.”
Kajian
itu turut mendapati serangan strok ke atas mereka yang berumur 50 tahun
ke bawah semakin meningkat. Kebanyakan daripada mereka ini mengidap
diabetes.
Ini
juga bercanggah dengan tanggapan perubatan semasa bahawa serangan strok
di kalangan orang muda disebabkan struktur jantung yang tidak normal
yang telah memberi kesan terhadap tekanan darah, kejadian darah beku
atau penyakit yang ganjil.
Prof
Norlinah menasihatkan masyarakat mendapatkan pemeriksaan kesihatan
setiap tahun terutama mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai
keluarga yang mengidap diabetes. Ini termasuk melakukan senaman dan
mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk menghindari penyakit kencing
manis.
Mereka
ini juga diseru mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil
ubat yang ditetapkan. Mereka juga perlu kerap berjumpa dengan doktor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan