Ulama mengatakan yang lidah ini fizikalnya kecil sahaja tetapi besar
implikasi dosanya. Al-Habib Zin Ibni Ibrahim Ibni Sumair, seorang ulama
besar yang masih hidup dan tinggal di bumi Madinah sekarang ini berkata,
anggota badan lain tidak perlu kepada penjagaan yang banyak, tetapi
lidah dijaga dan dipagari oleh 2 anggota lain iaitu gigi dan mulut. Ini
menunjukkan betapa bahayanya lidah.
Imam Ghazali pula dalam kitab Ihya’ Ulumiddin membicarakan perihal-perihal kemusnahan yang disebabkan oleh lidah sehingga 79 muka surat (dalam bahasa arab). Ini menunjukkan kepentingan lidah itu dijaga agar tidak menjerumuskan manusia ke lembah neraka.
Imam Ghazali pula dalam kitab Ihya’ Ulumiddin membicarakan perihal-perihal kemusnahan yang disebabkan oleh lidah sehingga 79 muka surat (dalam bahasa arab). Ini menunjukkan kepentingan lidah itu dijaga agar tidak menjerumuskan manusia ke lembah neraka.
Fokus hari ini, seperti yang dipesan oleh Imam Ghazali dalam kitab
Bidayatul Hidayah, adalah untuk menjaga lidah daripada 8 perkara :
1. Jangan bercakap bohong : Bohong itu bercakap dusta dan merupakan dosa
besar. Orang berbohong hilang harga dirinya kerana orang tidak lagi
percaya kepadanya.
2. Jangan mungkir janji : Kata Imam Ghazali ,”Usahakan supaya
jangan mungkir janji, kerana ia adalah sifat orang munafik.”. Nabi SAW
ada bersabda bahawa 3 perkara jika dilakukan akan menjadikan seseorang
itu munafik walaupun dia solat dan berbuat baik. 3 perkara itu ialah
jika bercakap dia bohong, jika berjanji dia mungkiri, dan jika
diamanahkan, dia khianati amanah itu. Oleh itu jangan senang-senang
berjanji. Dan jika berjanji, usahakan sedaya upaya untuk memenuhinya.
3. Jangan mengumpat : Ini memang sukar dijauhi dan sudah
berleluasa dalam masyarakat sekarang. Apa maksud mengumpat? Berbicara
tentang benda yang betul yang mengaibkan seseorang, di belakang orang
itu, dan jika orang itu tahu, dia akan marah. Jika kita cerita tentang
benda yang tak betul tentang seseorang, itu namanya fitnah. Fitnah itu
lebih dasyat bencananya daripada membunuh, dan dosanya lebih besar
daripada mengumpat. Jadi kita perlu berhati-hati. Kita sepatutnya
menutup keaiban orang lain, supaya Allah juga akan meutup keaiban kita.
Jika tidak, Allah akan membuka keabaikan kita dan akan menyediakan
lidah-lidah yang lebih tajam untuk mengumpat kita.
Itu hanyalah balasan di dunia, di akhirat nanti akan dibuka keaibannya dan diperlihatkan kepada seluruh manusia. Ada juga orang berkata yang dia tak mengumpat, sekadar tumpang mendengar. Sebenarnya sama saja dosanya, sama ada mengumpat atau mendengar umpatan. Jika terdengar secara tak sengaja, dan kita tak redha, berusahalah untuk menegur, menukar topik perbicangan atau membubarkan kumpulan itu. Jangan pula kita jadi ‘nasi tambah’ dalam sesuatu perbualan mengumpat.
Hasan Al-Basri diberitahu bahawa ada orang mengumpat beliau, lantas beliau mengambil bakul dan mengisinya dengan buah-buahan dan meminta orang yang menyampaikan cerita itu memberi bakul tersebut kepada si pengumpat. Pembawa berita itu pun hairan lalu bertanya sebabnya. Jawab Hasan Al-Basri, “Sesungguhnya dia telah memberikan pahalanya pada saya, jadi ini tanda penghargaan saya padanya.”
4. Jangan berdebat, bertengkar atau suka membantah cakap orang lain
: Ini boleh menyebabkan orang lain sakit hati dengan kita. Selalunya
kita berdebat berkaitan perkara-perkara peribadi orang yang mungkin
tidak benar. Kita berdebat seolah-olah kita sahaja yang benar. Jika
berdebat dengan orang yang jahil, dia mungkin akan berdendam pula
selepas itu. Jika bertengkar dengan orang yang sabar sekalipun, mungkin
akan sampai tahap di mana dia tak mampu sabar lagi hingga boleh
menyebabkan bermusuhan pula nanti.
5. Jangan memuji diri-sendiri : Apabila ditanya seorang imam,
“Apakah perkara benar yang buruk?” Lalu jawabnya, “Memuji diri sendiri.”
Itulah juga yang kita kenali sebagai ‘masuk bakul angkat sendiri’. Kita
sendiri pun rasa tidak senang jika ada orang datang dan bercerita
membangga-banggakan dirinya sendiri. Semua orang mengharapkan orang
sebegini lekas-lekas beredar.
6. Jangan melaknat : Imam Ghazali berpesan supaya jangan melaknat
makhluk. Makhluk termasuklah manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan,
makanan dan banyak lagi. Nabi SAW sendiri tidak pernah mencela makanan,
walaupun tidak sedap. Baginda sendiri ketika makan cuka, walaupun tidak
suka, tetap memuji dan mengatakan bahawa cuka itu sedap rasanya.
7. Jangan doakan kecelakaan untuk orang lain. Walaupun kita
dizalimi, jangan doakan kecelakaan. Ini kerana ditakuti kecelakaan yang
kita minta itu lebih besar daripada kezaliman ynag dilakukan kepada
kita. Takut nanti kita pula yang dikira menzalimi orang tadi dan akan
dituntut balasannya di akhirat pula. Sepatutnya kita menasihati rakan
yang zalim dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
8. Jangan mengejek atau memperkecilkan orang lain. Walaupun
dengan niat bergurau, lebih elok elakkan, kerana kadang-kadang orang
tetap berkecil hati walaupun kita cuma berniat bergurau. Orang lain juga
boleh hilang hormat pada kita. Jika kita diejek, cuba usahakan menegur
mereka yang berbuat demikian. Jangan kita lawan pula.
Serasanya, dahulu, kebanyakan yang disampaikan adalah dengan lidah.
Dahulu, sesuatu yang disampaikan kebanyakannya melalui lidah. Bukanlah
saya katakan kita dah kurang guna lidah, tetapi, “lidah alam maya” kini
semakin kerap digunakan.
Ya, saya maksudkan dengan bicara kita dialam maya. Apa yang kita tulis
melalui twitter dan facebook sebagai contoh adalah “lidah alam maya”,
kerana bicara kita itu adalah secara langsung dan pantas. Jari jemari
kita kini menjadi “lidah” menaip butir kata untuk interaksi dialam maya.
Berhati-hatilah sahabat-sahabatku. Ini satu peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang sudi.
Wallahualam…
i love islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan