TIAP orang yang hidup di dunia ini memerlukan teman dan sahabat.
Keperluan ini tidak terbatas pada saat dan waktu tertentu sahaja tetapi
pada setiap masa, senang atau susah, gembira atau sedih.
Persahabatan pada hakikatnya merupakan satu nikmat yang Allah SWT
limpahkan kepada hati-hati yang ikhlas dalam membina hubungan
semata-mata kerana Allah SWT. Kesan daripada itu maka timbullah perasaan
kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya-mempercayai antara
satu sama lain.
Lantaran itu, kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam
bagaimana generasi awal Islam yang dididik oleh Rasulullah SAW membina
persahabatan mereka. Kita dapat melihat bagaimana penduduk asal Madinah
yang dikenali dengan golongan Ansar menerima saudara-saudara mereka dari
Mekah sebagai golongan Muhajirin.
Mereka membuka hati dan rumah mereka untuk golongan Muhajirin,
sedangkan tiada kaitan darah antara mereka dan tidak pula mereka
kenal-mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Itulah yang dikatakan
kesan keimanan yang menyerap ke seluruh hati dan jiwa mereka, bukannya
kerana kepentingan tertentu tetapi nilai persahabatan yang sebenar
merupakan suatu perkara yang sangat mahal, sesuatu yang tidak boleh
dibeli dengan wang ringgit dan emas perak.
Islam meletakkan persahabatan dan persaudaraan bukan kisah kehidupan
dunia yang hanya tamat setelah berlakunya kematian tetapi ia adalah
sesuatu yang berterusan sampai ke akhirat. Rasulullah SAW ada menyebut
tentang kedudukan orang yang membina persahabatan kerana Allah di
akhirat nanti melalui sabdanya, "Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba
Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan
pula orang-orang yang mati syahid. Para nabi dan para syuhada merasa
cemburu melihat kedudukan kelompok itu di sisi Allah."
Para sahabat
bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?" Rasulullah menjawab:
"Mereka merupakan satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada
pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka
mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka
tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia
bersedih." (riwayat Abu Daud)
Kemudian baginda membaca firman Allah SWT: Ingatlah! Sesungguhnya
wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah
Yunus: 62)
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan