Seorang jururawat dari Amerika Syarikat bercerita mengenai perjalanannya memasuki agama suci kita, Islam. Pertama kali aku mendengar bicara mengenai Islam ialah ketika sedang menonton satu program di TV. Aku ketawa mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka.
Setahun selepas itu, sekali lagi aku mendengar tentang ajaran Islam. Kamu tahu di mana? Di hospital tempat aku bekerja.
Hari itu sepasang suami isteri datang membawa seorang wanita tua yang
sakit tenat. Si isteri duduk di hadapan tempat dudukku memerhatikan aku
menjalankan tugasku. Aku perhatikan dia benar-benar dalam keadaan
resah. Sekali sekala dia mengesat air matanya yang tak henti-henti
mengalir.
Acuh tak acuh aku bertanya kenapa dia begitu sedih dan menangis tak henti-henti? Katanya, dia dan suami datang dari jauh, mencari tempat untuk merawat ibu mertuanya. Sambil bercakap dia tidak reda menangis dan berdoa agar ibu mertuanya sembuh dan kembali pulih.
Aku tergamam. Kagum dan kaget. Dia datang dari jauh bersama suami semata-mata bertujuan untuk merawat ibunya. Tiba-tiba aku teringatkan ibuku. Aku bertanya kepada diri sendiri, di mana ibuku? Sudah empat bulan aku tidak bertemu dengannya dan sampai saat ini aku tidak terfikir untuk menziarahinya. Itu ibuku sendiri, bagaimana pula kalau ibu mertuaku?
Sungguh. Aku benar-benar kagum melihat suami isteri ini, lebih-lebih lagi keadaan ibu sangat tenat, harapan untuk hidup dan sembuh terlalu tipis. Dan yang lebih mengkagumkan aku ialah si isteri. Apa masalah dia, walhal yang sakit ibu suaminya. Buat apa dia menyusahkan diri memberi perhatian kepada wanita tua yang bukan ibunya, pada hal dia seorang perempuan muda dan cantik? Kenapa?
Itulah persoalan yang berlegar di dalam benakku. Segenap ruang dalam fikiranku seoalah-olah dipenuhi persoalan itu sahaja! Aku bayangkan diriku berada di tempat wanita tua yang sedang bertarung dengan kematian itu. Alangkah bahagianya ku rasa! Alangkah beruntungnya wanita tua itu! Sungguh aku cemburu akan keberuntungannya! Suami isteri yang baik itu berada di sisinya sepanjang waktu. Panggilan telefon dari luar pula hampir tidak putus bertanyakan hal keadaan ibu tua yang sedang sakit tenat.
Suatu hari ketika aku masuk ke ruang menunggu, aku dapati si isteri sedang bersendirian di situ. Aku menggunakan kesempatan itu untuk bertanya beberapa soalan yang aku inginkan jawapannya. Aku begitu terpukau mendengar penjelasannya tentang hak ibu bapa di dalam Islam dan betapa Islam mengangkat darjat kedua-duanya serta bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dan melayani kedua-dua ibu bapa.
Beberapa hari kemudian ibu tua pun meninggal dunia. Wanita muda dan suaminya menangis sekuat-kuatnya seperti kanak-kanak yang masih kecil.
Selepas itu keadaan suami isteri muda dan hak ibu bapa dalam Islam terus menghantui fikiranku. Aku menulis surat kepada sebuah pusat Islam meminta buku-buku mengenai hak ibu bapa dalam Islam. Setelah membacanya, aku hidup dalam mimpi indah yang tidak pernah pergi dari sisiku.
Aku bayangkan aku seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang sangat menyayangiku, sentiasa mengambil berat tentang diriku dan berbakti kepadaku sehingga ke penghujung usiaku tanpa mengharap apa-apa balasan daripadaku.
Dengan mimpi yang indah itu membuatkan aku terus mengisytiharkan keislamanku walaupun aku belum mengetahui apa-apa tentang Islam kecuali hak ibu dan bapa. Alhamdulillah aku telah berkahwin dengan seorang lelaki yang juga baru memeluk Islam dan kini telah dikurniakan beberapa orang anak yang aku sentiasa doakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan