Sabtu, 9 Februari 2013

Tidur Yang Tidak Membatalkan Wudhu


Wudhu disyari‘atkan untuk mengangkat hadats kecil. Orang yang berwudhu akan berada di dalam keadaan suci dan seterusnya dapat menunaikan ibadat-ibadat yang hanya sah apabila dia berkeadaan suci daripada hadats seperti sembahyang, thawaf serta memegang mushaf al-Qur’an.

Keharusan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut akan terhenti dengan berlakunya perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu dan di antara perkara yang membatalkan wudhu itu ialah tidur.





Jumhur ulama mazhab fiqh menyimpulkan, tidur itu boleh membawa kepada batalnya wudhu. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

    Maksudnya: “Pengikat (pengawal) dubur (daripada keluar sesuatu daripadanya) itu ialah dua belah mata (jaga), makasesiapa yang tidur, hendaklah dia berwudhu.”(Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut bermaksud bahawa sedar atau jaga (tidak tidur) itu akan mengawal keluarnya sesuatu dari dubur, manakala orang yang tidur kadang-kadang keluar sesuatu daripada duburnya tanpa disedarinya.

Walau bagaimanapun, adakah semata-mata tidur membatalkan wudhu? Apakah sukat-sukat tertentu yang menjadi ukuran dalam penentuan tidur yang boleh membatalkan wudhu itu?

Untuk menjawab persoalan tersebut, berikut dijelaskan perkaraperkara yang berkaitan dengan tidur yang membatalkan wudhu dan yang tidak membatalkan wudhu mengikut pendapat para ulama mazhab Syafi‘e.


Tidur Yang Tidak Membatalkan Wudhu

Para ulama mazhab Syafi‘e menjelaskan dengan terperinci mengenai tidur yang tidak membatalkan wudhu itu.

Mereka berpendapat bahawa tidur itu bagaimanapun keadaannya boleh membatalkan wudhu kecuali tidur di dalam posisi duduk,sama ada duduk di atas lantai atau tanah seperti duduk di atas tikar sembahyang atau duduk di atas kerusi seperti duduk di dalam kapal terbang dan termasuklah duduk sambil memeluk lutut. Tidur dengan cara demikian tidaklah menyebabkan wudhu batal, tetapi hendaklah memenuhi syarat atau ketetapan berikut:

1) Hendaklah tetap tempatnya (punggung dan tempat keluar hadats) di atas tanah, lantai, kerusi, binatang tunggangan atau selainnya, iaitu dua pipi punggungnya tetap pada tempatnya, tidak berubah dari posisi awal sebelum dia tidur, sekalipun jika seseorang itu bersandar atau duduk berpeluk lutut pada atau di atas sesuatu yang boleh menyebabkan dia jatuh atau gugur apabila sesuatu itu tiada. Ini kerana tidur dalam keadaan ini tidak dikhuatiri akan keluar sesuatu (angin) dari duburnya (kentut). Adapun kebarangkalian keluarnya sesuatu dari qubul bukanlah perkara yang perlu diambil kira kerana ianya jarang berlaku.

Namun jika diyakini keluar angin daripada qubul sama ada lelaki atau perempuan, maka wudhu itu tetap batal.

2) Hendaklah tiada ruang di antara punggung dan tempat tetapnya itu ataupun tidak renggang di antara keduanya. Wudhu seseorang tidak akan batal jika terdapat ruang yang ditutup dengan sesuatu seperti kapas.

Wudhu orang yang tidur dengan posisi sedemikian adalah tidak batal. Perkara ini bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

    Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah tidur kemudian mereka berdiri menunaikan sembahyang dengan tidak (lagi) mengambil wudhu.” (Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan tidur yang dimaksudkan di dalam hadits ini ialah tidur dalam keadaan duduk yang tetap dan menurut riwayat lain, para sahabat itu tidur dalam keadaan duduk yang tetap sehingga kepala mereka terangguk-angguk hampir mencecah lantai. Mereka tidak lagi mengambil wudhu dan terus menunaikan sembahyang Isya’.Wudhu seseorang yang tidur dengan duduk yang tetap juga tidak batal jika pipi punggung atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat selepas atau ketika dia bangun atau sedar. Ini kerana asal keadaannya yang suci setelah berwudhu. 
islam itusuci

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...