Didikan agama yang bersungguh oleh para sahabat r.a terhadap anak-anak
mereka bermula dari mereka kecil lagi. Berbeza dengan keadaan kita
sekarang yang tidak mengendahkan sangat kelakuan dan agama kanak-kanak
dengan alasan "mereka masih kecil".
Sebagai ibubapa, cuba kita tanya diri kita, adakah kita sudah
memperlengkapkan anak-anak kita dengan ilmu Aqidah, Syariah dan Akhlaq
yang betul? Atau kita hanya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada
guru-guru di sekolah atau pihak-pihak lain? Maka,
adakah kita pasti anak-anak kita sudah belajar agama dengan betul, atau
mereka hanya belajar pada nama tetapi tidak meresap ke dalam hati?
"Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu
dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu ......." [Surah
al-Tahrim : ayat 6]
Mujahid mengatakan, "Bertaqwalah kepada Allah dan berpesanlah kepada
keluarga kalian untuk bertaqwa kepada Allah." Sedangkan Qatadah
mengatakan, "Yakni hendaklah engkau menyuruh mereka berbuat taat kepada
Allah dan mencegah mereka durhaka kepadaNya. Dan hendaklah engkau
menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk
menjalankannya, serta membantu mereka dalam menjalankannya. Jika engkau
melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah
mereka."
Demikian pula apa yang dikatakan oleh adh-Dhahak dan Muqatil ibnu
Hayyan, dimana mereka mengatakan, "Setiap Muslim wajib mengajari
keluarganya, termasuk kerabat dan hamba sahayanya, berbagai hal
berkenaan dengan hal-hal yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala kepada mereka
dan apa yang dilarangNya." [1]
Kisah keghairahan Umair r.a untuk menyertai Jihad
Umair r.a ialah seorang hamba kepada Abu Lahm r.a dan beliau masih kecil
pada ketika itu. Keghairahan menyertai jihad menjadi sifat kehidupan
orang pada zaman itu, tidak kira sama ada masih kecil ataupun dewasa.
Umair r.a berkeinginan untuk menyertai Perang Khaibar. Tuannya telah
pergi menemui Rasulullah S.a.w dan memberitahu sokongannya supaya Umair
r.a diberi keizinan.
Rasulullah S.a.w telah mengizinkannya dan telah memberikan kepadanya
sebilah pedang yang telah digantung pada lehernya. Namun demikian,
pedang itu terlalu besar berbanding badannya yang kecil, maka pedang itu
terheret ke bumi. Dalam keadaan itulah beliau menyertai Perang Khaibar.
Oleh sebab beliau masih kecil dan merupakan seorang hamba maka beliau
tidak mendapat bahagian yang sepenuhnya daripada harta ghanimah tetapi
beliau hanya diberikan sedikit barang sebagai hadiah. [2]
Kisah dua remaja Ansar membunuh Abu Jahal
Abdur Rahman ibnu 'Auf ialah salah seorang sahabat yang besar lagi
masyhur. Beliau berkata, "Sewaktu Perang Badar, saya berdiri dalam
barisan pejuang-pejuang. Saya melihat di kiri kanan saya ada dua orang
budak Ansar. Saya terfikir alangkah baiknya kalau saya berada di antara
orang-orang yang kuat. Apabila ada keperluan, boleh tolong menolong
antara satu sama lain. Di kedua-dua tepi saya hanya ada budak sahaja.
Apakah yang mereka boleh tolong?
Tiba-tiba salah seorang dari mereka memegang tangan saya lantas
bertanya, "Pak cik, adakah pak cik kenal Abu Jahal?" Saya berkata, "Ya,
saya kenal. Apakah yang kamu kehendaki?" Budak itu menjawab, "Saya
mendengar bahawa dia telah mencaci Rasulullah S.a.w. Demi zat yang
nyawaku dalam genggamanNya, jika saya melihatnya maka saya tidak akan
meninggalkannya selagi dia tidak mati ataupun saya yang mati."
Saya begitu kagum dengan jawapannya itu. Kemudian budak yang kedua juga
bertanya soalan yang sama dan dia juga berkata sebagaimana yang
dikatakan oleh budak yang pertama tadi. Kebetulannya saya terpandang Abu
Jahal yang sedang berlari-lari di medan perang. Saya pun berkata kepada
mereka, "Itulah dia orang yang kamu tanyakan aku tentangnya."
Mendengarkan itu, mereka berdua terus berlari dengan pedang terhunus di
tangan. Mereka berdua pergi ke sana dan mula menyerang dengan pedang
sehinggalah Abu Jahal dapat dijatuhkan. [3]
Kedua-dua budak tersebut ialah Mu'az ibnu Amr ibnu Jamuh r.a dan
Mu'awwidz ibnu 'Afra' r.a. Mu'az ibnu Amr r.a berkata, "Saya mendengar
orang ramai berkata bahawa tiada siapa pun yang boleh membunuh Abu
Jahal. Dia dikawal begitu rapi. Daripada saat itulah saya terfikir
bahawa saya mesti membunuhnya.
Kedua-dua budak itu berjalan kaki sementara Abu Jahal pula menunggang
kuda. Ketika Abdur Rahman ibnu 'Auf r.a melihatnya dan ketika kedua-dua
budak itu berlari ke arahnya, Abu Jahal sedang membetulkan
barisan-barisan tentera. Oleh sebab dia menunggang kuda maka susah untuk
menyerangnya. Oleh sebab itu, salah seorang dari budak itu menyerang
kuda dan seorang lagi menyerang kaki Abu Jahal. Akibat serangan itu,
kuda pun rebah dan Abu Jahal pula jatuh dan tidak dapat bangun lagi.
Kedua-dua budak itu telah menyerangnya begitu sekali sehingga dia tidak
dapat bangun lagi sebaliknya dia terus menggelepur di situ, kemudian
barulah mereka meninggalkannya.
Mu'awwiz ibnu 'Afra' r.a telah menambahkan lagi kecederaan Abu Jahal
supaya dia tidak dapat melarikan diri. Namun, Mu'awwiz r.a pun tidak
terus membunuhnya. Selepas itu barulah 'Abdullah ibnu Mas'ud r.a
memenggal kepalanya. (Dalam riwayat Ibnu Ishak menyebut Mu'awwidz yang
membunuh Abu Jahal, sedangkan 'Abdullah ibnu Mas'ud hanya memenggal
kepala Abu Jahal untuk membawa kepala itu kepada Rasulullah S.a.w)
Mu'az ibnu 'Amr r.a berkata, "Sewaktu saya menyerang kaki Abu Jahal,
anaknya 'Ikrimah ada bersama. Dia telah menyerang bahagian bahu saya
yang menyebabkan tangan saya terpotong, tetapi tinggal sedikit kulit
yang menyebabkan tangan saya itu tergantung-gantung. [4]
Saya telah meletakkan tangan yang tergantung itu di belakang saya dan
sepanjang hari saya berperang dengan sebelah tangan. Apabila keadaan
tangan saya yang tergantung-gantung itu menyusahkan saya, maka saya
telah menekan tangan itu di bawah kaki dan merentap dengan kuat. Tangan
itu pun terpisah dari tempat ia tergantung-gantung dan saya telah
membuang tangan itu." [5]
Rafi' dan Samurah ibnu Jundub r.a bergusti
Kebiasaannya apabila Nabi S.a.w pergi untuk berjihad, baginda S.a.w akan
memeriksa sendiri keadaan tentera apabila tiba di luar kota Madinah.
Baginda S.a.w akan memerhatikan keadaan dan keperluan mereka dan akan
memperbaiki apa-apa yang perlu. Nabi S.a.w menyuruh budak-budak muda
yang turut serta kerana keghairahan mereka sendiri supaya pulang.
Demikianlah yang berlaku apabila Nabi S.a.w keluar untuk Perang Uhud.
Setibanya di suatu tempat, Baginda S.a.w telah memeriksa keadaan tentera
dan memerintahkan budak-budak muda supaya pulang kerana umur mereka
yang masih muda. Antara mereka ialah 'Abdullah ibnu 'Umar, Zaid ibnu
Tsabit, Usamah ibnu Zaid, Zaid ibnu Arqam, Bara' ibnu 'Azib, 'Amr ibnu
Hazm, Usaid ibnu Zuhair, 'Arabah ibnu 'Aus, Abu Said al-Khudhri, Samurah
ibnu Jundub dan Rafi' ibnu Khadij radhiallahu anhum, yang berumur
sekitar 13 hingga 14 tahun.
Apabila mereka diperintahkan pulang, Khadij r.a telah pergi bertemu
Rasulullah S.a.w untuk membela anaknya. Beliau berkata, "Anak saya
sangat mahir dalam memanah."
Sementara Rafi' r.a sendiri telah berdiri dengan menggunakan
hujung-hujung jari kakinya supaya kelihatan lebih tinggi kerana
keghairahannya untuk mendapat keizinan Rasulullah S.a.w. Baginda S.a.w
telah memberi keizinan kepadanya.
Maka Samurah ibnu Jundub r.a telah berkata kepada bapa tirinya Muraiy
ibnu Sinan r.a, "Rasulullah S.a.w telah mengizinkan Rafi' manakala saya
tidak diizinkan oleh Baginda S.a.w sedangkan kalau saya berlawan
dengannya sudah tentu saya dapat menjatuhkannya."
Rasulullah S.a.w telah menyuruh mereka bergusti dan sememangnya, Samurah
r.a dapat mengalahkan Rafi' r.a. Oleh sebab itu, Rasulullah S.a.w
turut mengizinkan Samurah r.a juga. Selepas itu budak-budak lain cuba
mendapatkan keizinan Rasulullah S.a.w juga dan ada di antara mereka yang
berjaya mendapat keizinan. [6]
Zaid ibnu Tsabit r.a diberi keutamaan kerana Al-Quran
Zaid ibnu Tsabit r.a berumur 11 tahun semasa Hijrah dan beliau telah
menjadi yatim sejak berumur 6 tahun lagi. Sewaktu Perang Badar beliau
telah menawarkan dirinya tetapi tidak mendapat keizinan. Kemudian beliau
keluar sekali lagi untuk menyertai Perang Uhud dan diperintahkan pulang
seperti yang diketahui dalam kisah yang lalu. Sesetengah perawi pula
mengatakan, oleh kerana Samurah r.a dan Rafi' r.a telah mendapat
keizinan, maka Zaid ibnu Tsabit r.a juga telah mendapat keizinan.
Selepas itu beliau menyertai setiap peperangan.
Semasa Perang Tabuk, bendera Bani Malik berada di tangan 'Ammarah r.a.
Rasulullah S.a.w telah mengambil bendera itu daripadanya lalu
menyerahkan kepada Zaid r.a. 'Ammarah terfikir bahawa mungkin beliau
telah melakukan suatu kesilapan ataupun Baginda S.a.w telah marah kerana
suatu sebab, lalu beliau pun bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah
apa-apa laporan tentang saya telah sampai kepada tuan?"
Baginda S.a.w menjawab, "Bukan kerana itu, tetapi Zaid lebih banyak
mengetahui al-Quran daripadamu." Al-Quran lah yang menyebabkan beliau
diutamakan untuk memegang bendera. [7]
Umumnya, kebiasaan Rasulullah S.a.w ialah Baginda S.a.w akan
mengutamakan seseorang berdasarkan kelebihan dalam agama. Dalam kisah
ini, walaupun perkara itu berkaitan dengan urusan peperangan yang tidak
ada kaitan langsung dengan penguasaan lebih banyak pengetahuan al-Quran,
tetapi Baginda S.a.w tetap mengutamakan Zaid r.a yang mengetahui lebih
banyak tentang al-Quran untuk memegang bendera. Rasulullah S.a.w
mengambil kira perkara ini dalam kebanyakan urusan. Sehinggakan jika
berlaku keadaan yang menyebabkan beberapa orang perlu dikebumikan dalam
satu liang lahad, Baginda S.a.w masih mendahulukan orang yang lebih
banyak mengetahui al-Quran sebagaimana yang telah berlaku di medan Uhud.
[8]
Dan banyak lagi kisah-kisah keberanian dan keghairahan remaja /
budak-budak muda di zaman Nabi S.a.w. Semoga kisah-kisah contoh yang
disebutkan di atas dapat menjadi pengajaran kepada kita bersama agar
lebih bersemangat dan ghairah juga untuk berjuang memartabatkan Agama
Islam yang tercinta dalam apa jua cara yang dibenarkan oleh syara'.
Wallahu a'lam .......
Rujukan:
1 - Tafsir Ibnu Katsir
2 - Riwayat Sunan Abu Daud
3 - Riwayat al-Bukhari
4 - Usdul Ghabah fi ma'rifat as-Shahabah r.a - Syeikh Ibnu Athir
5 - Tarikh al-Khamis
6 - Tarikh al-Khamis
7 - Usdul Ghabah fi ma'rifat as-Shahabah r.a - Syeikh Ibnu Athir
8 - Fadha-il al-'Amal - Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi
http://unikversiti.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan