MENJADI seorang yang beramal, beriman dan bertakwa sangatlah payah jika tidak mempunyai ilmu. Justeru, ilmu memandu kita ke arah kejayaan di dunia dan juga di akhirat.
Agama Islam adalah agama yang menganjurkan kepada penganutnya untuk
berfikir dan mendorong mereka agar berbuat kebaikan dalam semua perkara.
Justeru, sebagai umat Islam perlu bersyukur kerana diberikan nikmat
iman dan Islam.
Nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia adalah kesihatan
tubuh badan, keamanan dan kemakmuran, iman, Islam dan kemerdekaan serta
kesempurnaan fizikal dan mental.
Berkaitan dengan Islam, Sufyan bin Abdullah berkata: Ya Rasulullah,
terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada
orang lain." Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkanlah (katakan): Aku
beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat
Muslim)
Melakukan kebaikan juga adalah ibadat. Banyak jenis amal kebaikan
atau ibadat, daripada sekian banyak ibadat itu tidak sama pahalanya. Ada
yang tergolong kecil sedikit pahalanya dan ada yang tergolong sederhana
dan ada yang lebih besar pahalanya. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama
pahalanya seperti orang yang melakukannya. (riwayat Bukhari)
Ada jenis amal kebaikan dan ibadat yang dijanjikan dengan balasan
syurga, ada ibadat yang dikerjakan akan menghapuskan dosa dan banyak
lagi fadilat atau kegunaan lainnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Barang siapa melapangkan kesusahan (kesempitan) untuk seorang mukmin di
dunia, maka Allah akan melapangkan baginya kesusahan daripada
kesusahan-kesusahan hari kiamat dan barang siapa memudahkan kesukaran
seseorang maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat.
Menutup aib
Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan
menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba yang
suka menolong kawannya. Barang siapa menempuhi jalan menuntut ilmu maka
Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Suatu kaum yang
berkumpul dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, bertilawah al-Quran
dan mempelajarinya bersama, maka Allah akan menurunkan ketenteraman dan
menaungi mereka dengan rahmat. Para malaikat mengitari mereka dan
Allah menyebut-nyebut mereka dalam kalangan para malaikat di sisi-Nya.
Barang siapa lambat dengan amalan-amalannya maka tidak dapat dipercepat
dengan mengandalkan keturunannya. (riwayat Muslim)
Oleh itu, dalam melakukan amalan yang baik kita sepatunya
menyegerakannya. Segala kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat
balasan pahala daripada Allah SWT. Telah dijelaskan kebaikan itu banyak
tetapi pengamalnya sedikit.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang membuat
kebaikan untuk Islam, maka baginya pahala orang yang melakukan
setelahnya dan pahala mereka tidak dikurangi sedikit pun. Dan barang
siapa yang membuat keburukan untuk Islam, maka baginya dosa dan dosa
mereka tidak dikurangi sedikit pun. (riwayat Imam Muslim)
Jangan sesekali kita melakukan keburukan, kerana keburukan itu bukan
sahaja menambahkan dosa, malah menjadikan seseorang itu sukar untuk
berbuat kebaikan kepada dirinya dan juga orang lain. Antara dosa besar
yang mesti dihindari, menghina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa,
menipu dan berbohong, mencuri dan merompak, riba, makan harta anak
yatim, lari dari medan perang, mengumpat dan memfitnah.
Sementara, dosa besar yang membawa kehancuran umat antaranya minum
arak dan menagih dadah, melakukan zina, menuduh zina, liwat dan
musahaqah, dan membunuh diri yang mesti dijauhi.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan