Suasana hati anda tidak menentu, asyik berasa mahu marah, tertekan,
terlibat konflik dengan kawan di pejabat hingga bergaduh suami isteri,
membuli anak, rugi dalam perniagaan dan segalanya seolah-olah membawa
derita setiap hari. Mengapakah hidup anda tak bahagia hari ini, apakah
anda telah melanggar pantang larang tertentu atau mungkin terkena sihir
buatan orang?
Sihir atau syaitan tak akan boleh menaklukkan orang beriman melainkan
mereka sendiri yang membuka jalan dimasuki kejahatan sebagaimana firman
Allah SWT: “Apa saja musibah yang menimpa kamu maka ia adalah
disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah Al-Syura ayat: 30)
Oleh itu sebelum menyalahkan orang lain eloklah anda meneliti
sifat-sifat dan tabiat dalam diri, kerana ramai yang bersangka buruk
pada persekitarannya tetapi tidak mahu mengakui kelemahan sendiri.
Apakah punca utama yang membuat jiwa tertekan?
Terlepas solat
Percayakah anda jika solat Subuh itu mempengaruhi perjalanan hari anda
hingga ke malam? Boleh jadi tekanan jiwa yang anda derita itu dimulakan
dengan terlepasnya solat Subuh . sebagaimana hadis Nabi SAW:
“Apabila seseorang dari kalian tidur, maka syaitan akan mengikat hujung
kepalanya sebanyak tiga ikatan dan dituliskan pada masing-masing ikatan
tersebut: Tidurlah, malam masih panjang. Apabila dia terbangun dan
berzikir kepada Allah maka terlepaslah satu ikatan. Jika dia berwuduk
terlepaslah ikatan kedua dan apabila dia mengerjakan shalat maka
terlepaslah ikatan ketiga sehingga dia bangun pagi dalam keadaan
bersemangat dan bertenaga. Jika tidak, pagi hari itu dia akan berasa
lesu dan malas.” (Hadis Al-Bukhari)
Serangan syaitan sudah bermula pada awal pagi anda terjaga, jika tiada
kekuatan iman yang cukup apakah yang boleh menyelamatkan anda daripada
tipu dayanya? Solat wajib amalan yang cukup ampuh menolak sihir,
menghalau syaitan dan merasa diri sentiasa dalam penjagaan Allah SWT.
Suka maksiat
Seorang wanita yang suka mengumpat, mencaci, memfitnah, menipu,
berhutang, terlibat konflik dengan ramai orang dan enggan memajukan diri
dengan ilmu, tidak pandai mencari peluang rezeki dan membiasakan diri
dengan maksiat sungguh hidupnya bagai musibah yang tak berhujung.
Dosa menjadikan hati hitam dan melahirkan perangai yang hodoh
sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian)
sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
(Surah al-muthaffifin: 14)
Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Sesungguhnya kebaikan akan memberi
sinar di wajah, cahaya pada hati, keluasan rezeki, kekuatan badan dan
kecintaan di hati manusia. Adapun kemaksiatan menjadikan hitam pada
wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan
kebencian di hati manusia.”
Maksiat walaupun kecil jika dibiarkan menjadi kebiasaan akan membawa
impak negatif dalam kehidupan. Berbohong jika dibiarkan menjadi pecah
amanah, berhutang membentuk peribadi menghalalkan apa saja jika sudah
terdesak, mengata orang setiap hari boleh menimbulkan pergaduhan,
perkelahian bahkan pembunuhan. Oleh itu jangan sekali-kali memandang
remeh maksiat walau sekecil apa pun, ia akan membakar diri kita.
Sebenarnya kita sendiri yang telah menyihir diri jika biarkan maksiat
menjadi amalan setiap hari.
Ghairah dunia
Bagaimanakah orang yang memiliki ciri-ciri ini boleh mendapat
ketenangan? Iaitu mereka yang hidupnya semata-mata didedikasikan atas
nama hawa nafsu saja, untuk cari duit dan bergaya, celik internet dan
bebas bersosial, menjadikan kemewahan sebagai matlamat, buta agama
bahkan prejudis terhadap orang-orang soaleh. Apakah mereka yang glamor
itu betul-betul bahagia, atau sentiasa dihantui ketakutan atas dosa dan
balasan akhirat sana?
“Dan kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta dan pangkat
itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang
keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada)di hadapan mereka. Dan
sekatan (yang menghalang mereka memikirkan azab yang ada) di belakang
mereka (pada hari kiamat). Lalu kami tutup pandangan mereka, maka dengan
itu mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)”. (Surah Yasin ayat:
9)
Ketenangan yang sejati hanya dapat anda rasa melalui hati yang bersih
dan dekat kepada Allah yang Maha Mengasihani. Sesuai dengan firman-Nya:
“Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui
apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya
daripada urat lehernya.” (Surah Qaf ayat: 16)
Kembali kepada Allah satu-satunya cara merehatkan jiwa yang tenat.
Wanita yang kacau fikiran dan perasaan mungkin telah lama tidak
menitiskan air mata mengingati Allah disebabkan jiwanya begitu sibuk
mencari kepuasan. Padahal dengan satu langkah mudah dia mampu mengubati
jiwanya itu malang sungguh ramai yang tak mahu. Mengapa menolak ampunan
Allah, mengapa lari dari pintu syurga, mengapa lepaskan ikatan kasih
sayang Allah dari jiwa kita? Jangan sihir diri sendiri dengan kelalaian
kemudian cuba mencari ubat dengan cara mensyirikkan Allah SWT Nauzubillah! Mari muhasabah!
mingguan wanita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan