Kunjungan ke Rumah Merdeka peninggalan Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra di belakang Hotel Royale, Jalan Putera, Kedah berupaya
mengembalikan nostalgia kepada perjuangan Tunku dalam memperoleh
kemerdekaan negara.
Kini Rumah Merdeka diambil alih Arkib Negara dengan mengekalkan keadaan asalnya.
Rumah ini dinamakan Rumah Merdeka kerana di sini juga urusan untuk
mendapatkan kemerdekaan dilakukan oleh Tunku bersama rakan-rakannya.
Rumah ini turut mencatat sejarah apabila pada 1966, Tunku menerima
Misi Muhibah dari Jakarta yang diketuai Laksamana Muda Laut O.B Sjaaf
untuk berbincang yang akhirnya membawa kepada penamatan Konfrontasi
Malaysia-Indonesia.
Bagi Mohd Azrul Mohd Razak, 29, meninjau Memori Tunku Abdul Rahman di
rumah ini membawa pengertian sejarah negara paling bermakna.
“Rumah Merdeka milik Bapa Kemerdekaan ini mempunyai banyak kenangan
dan sejarah penting yang dapat dilihat oleh generasi muda pada hari ini.
Sangat merugikan jika kita yang menggelar diri sebagai anak merdeka,
tapi tidak pernah menjejak kaki ke sini.
“Maklumat yang terdapat dalam rumah ini membuktikan kesusahan dan
kegigihan pemimpin terdahulu dalam memastikan negara bebas daripada
cengkaman penjajah demi memastikan seluruh rakyat hidup dengan aman dan
harmoni,” katanya.
Pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Salman Sazali, 19, mendapati terlalu
banyak sejarah penting berlaku di Rumah Merdeka terutama berkaitan
perbincangan antara Tunku dengan pemimpin pelbagai kaum yang lain untuk
mencapai kemerdekaan.
“Kita dapat lihat tempat Tunku berjumpa dengan pemimpin lain
berbincang tentang dasar kerajaan dan untuk memenangi pilihan raya
pertama,” katanya.
Muhammad Zaquan Mohamad Zamri, 19, pula berkata sempena kemerdekaan
negara ke-57 yang akan disambut Ahad ini, generasi muda perlu mengambil
peluang untuk menyelami dan merungkai cerita di sebalik usaha
memerdekakan negara.
“Dengan berkunjung ke Rumah Merdeka, kita boleh melihat dengan lebih
dekat hasil tinggalan perjuangan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman untuk
rakyat,” katanya.
– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan