Khamis, 7 Ogos 2014

Mesej dari anak Malaysia yang tinggal dan belajar di bumi Gaza

Tolong panjangkan mesej ini kepada kenalan masing2. 
Mesej dari Nadir anak Dr Kamaruzaman satu2nya anak Malaysia yag tinggal dan belajar di Gaza.
Beliau menyerahkan nyawanya untuk Gaza. Kita?  



 Kerna Kau Tak Merasa



 

Saya baru pulang dari Hospital Shifa' melawat ahli keluarga Batsh yang serangan Zionis ke atas rumah mereka mengorbankan 18 ahli keluarga sekaligus dan mencederakan lebih daripada 45 orang. 4 daripada mereka masih di dalam hospital - 2 di ICU. Bersama saya sedikit wang bantuan pembaca yang dikhususkan untuk mereka.
Tetapi tatkala bercakap dengan ketua keluarga mereka, saya tersentap; yang rumah mereka musnah dan terpaksa merempat seramai 24 buah keluarga - bantuan yang saya bawa hanya sekelumit, kalau dibahagikan mungkin cukup untuk digunakan sehari sahaja.

Kadang mengalir airmata
Kerna kudrat secebis cuma
Cuba membantu tidak berdaya
Hanya memberi secubit yang ada
Terlalu sedikit tidak bermakna

Semalam saya ke selatan Gaza, ke Khan Younis, menziarahi beberapa buah rumah yang musnah dibom Zionis.
Sisa-sisa buku dan mainan anak-anak bertaburan, malah ada rumah flat tiga tingkat yang menjadi rata separas bumi kerana dibedil berkali-kali.
Mangsa tinggal di dalam stor, duduk bersama keluarga, hidup seadanya menanti perang tamat untuk membina semula kehidupan.

Kadang mengalir airmata
Di kiri kanan insan sengsara,
Mengalir darah, berparut luka
Anak piatu, isteri menjanda
Segala musnah sekelip mata

Setiap kali pulang ke rumah dan terjelepuk letih, perkara pertama yang saya lakukan ialah menghantar Whatsapp kepada bendahari, bertanyakan berapa baki wang di dalam akaun, dan membuka 'laptop', mengharap kalau-kalau ada masuk 'emel ceria', emel makluman transaksi yang dihantar penyumbang.
Sumbangan merangkak masuk, sedikit demi sedikit, tidak akan pernah cukup untuk membantu mereka yang merana.

Kadang mengalir airmata
Ramai berkata seolah merasa
Tetapi menyumbang berdoa tiada
Takut tak cukup untuk beraya
Bimbang habis bajet berbuka.

Sebelum perang saya duduk bersama seorang pengerusi NGO, beliau menyatakan kekecewaannya kerana sumbangan yang datang untuk keluarga miskin, untuk anak yatim, untuk pegawai kerajaan yang menjadi papa kerana tidak mampu dibayar gaji mereka, terlalu sedikit.

Beliau berputus asa, menyatakan hasratnya meletakkan jawatan kerana kewujudannya sia-sia. Kini saya merasa seperti dia.
Saya berhasrat berkorban jiwa agar mungkin akhirnya, rakyat Malaysia akan lebih cakna.

Kadang mengalir airmata
Tidak cukup menjentik jiwa
Lama diulit selesa dunia
Wahai Tuhan tariklah nyawa
Agar mata mereka terbuka.

Nadir Al-Nuri, From Gaza With Love.
16 Julai 2014.

 biskutmarry.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...