Kanak-kanak sedang membesar sememangnya mudah terdedah kepada pelbagai
jangkitan kuman yang berisiko menyebabkan mereka sakit seperti demam,
batuk dan selesema. Justeru kita perlu mendidik mereka menjaga kesihatan
diri supaya kurang risiko jatuh sakit.
Mereka mudah meniru perbuatan orang dewasa terutama ibu bapa sendiri.
Oleh itu apa kata biasakan anak-anak anda dengan amalan sihat berikut
supaya ia menjadi sesuatu yang rutin dalam hidup mereka dan secara tidak
langsung mengajar mereka gaya hidup sihat.
-
Kerap mencuci tangan
Tangan adalah tempat paling banyak bakteria membiak. Apatah lagi dalam
kalangan kanak-kanak yang aktif meneroka pelbagai aktiviti lasak di
sekeliling mereka. Oleh itu sentiasa ajar anak anda membersihkan tangan
sebelum makan, selepas makan atau selepas melakukan aktiviti bermain.
Ajarkan mereka langkah membersihkan tangan dengan betul sambil
memberitahu apa sebab mereka perlu mencuci tangan.
-
Beriadah
Aktiviti riadah secara konsisten dapat mengurangkan risiko kerap
mendapat demam selesema. Beriadah secara sihat membuatkan sel-sel
menentang jangkitan kuman berjalan dengan lancar. Ia lebih baik
berbanding pengambilan ubat-ubatan. Oleh itu, bawa anak anda beriadah di
luar rumah atau sekadar main kejar-kejar di taman.
-
Disiplinkan waktu tidur
Biasakan anak anda tidur secara teratur setiap hari. Sentiasa pastikan
dia tidur pada waktu yang sama setiap malam. Tidur dengan jadual yang
sama setiap hari melatih anak anda menjadi lebih berdisiplin dan paling
penting dia akan lebih sihat dan terhindar daripada mudah mendapat
penyakit.
-
Banyak makan sayur dan buah
Amalan pemakanan yang sihat juga menjadikan anak anda membesar sebagai
kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang kuat. Cara terbaik memenuhi
keperluan vitamin dan mineralnya iaitu dengan banyak makan sayur dan
buah-buahan. Pilih makanan yang kaya dengan vitamin C seperti brokoli,
strawberi dan kiwi, makanan yang kaya dengan vitamin D seperti ikan
tuna, susu dan bijirin. Mengamalkan makan yogurt diperkaya probiotik
aktif juga boleh meningkatkan ketahanan tubuh.
Sekiranya anak sudah dibiasakan dengan amalan pemakanan dan gaya hidup
sihat ini sejak kecil maka ia akan diteruskan sehingga dewasa.
pama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan