MANUSIA diciptakan Allah SWT sebagai makhluk termulia dalam alam ini,
dijadikan-Nya sebagai khalifah (pengganti Allah) untuk mengurus dan
mentadbir masalah keduniaan. Kepercayaan ini kerana manusia diberi
bimbingan berupa wahyu Ilahi yang merupakan pedoman untuk mengatur
masalah keduniaan.
Namun, sebaliknya manusia nampaknya seperti enggan untuk menerima
wahyu Ilahi tersebut. Mungkin kerana manusia pada umumnya bersifat ego,
merasa dirinya hebat. Padahal, semua yang ada pada diri manusia itu,
merupakan pemberian Allah SWT dan hakikatnya, pemberian ilmu Allah itu
kepada manusia adalah sangat sedikit.
Sekiranya Allah SWT mengambilnya kembali ilmu yang sedikit itu, maka tidak ada yang mampu menggantikannya semula.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya jika Kami
kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan
kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembelaan terhadap
Kami untuk mengembalikannya. (al-Isra': 86)
Namun, sebahagian besar manusia tidak menyedari atau alpa bahawa
kehidupan ini adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Walaupun sudah
terlalu banyak bukti nyata, misalnya kematian datang tidak dapat
ditangguhkan, meskipun dia seorang doktor yang memahami pelbagai
penyakit.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh
(yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya tidak dapat
mereka kemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka
dahulukan.
Justeru, orang yang mengaku dirinya Islam hendaklah banyak mengkaji
ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Untuk mengetahui bagaimana perhatian
Allah SWT terhadap manusia serta manusia harus bersikap dengan akhlak
Islam, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Yang Maha Mengetahui.
Allah Yang Maha Esa menciptakan makhluk ciptaan-Nya di alam ini
semuanya harus hormat dan memberikan layanan terhadap manusia, kerana
manusia diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Simbolnya adalah
malaikat yang mulia, diperintah oleh Allah, agar memberi hormat kepada Nabi Adam a.s, kerana Adam dan keturunannya (manusia) akan menjadi khalifah di bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman
kepada malaikat : Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka
sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis, ia enggan dan takbur
serta menjadilah ia daripada golongan yang kafir. (al-Baqarah: 34).
Pengertian 'sujud' di sini bererti menghormati dan memuliakan Nabi Adam
a.s.
Bumi siap untuk dihuni manusia, juga gunung-gunung siap menjadi pasak
bumi agar tidak goncang, matahari siap memberi cahaya di siang hari dan
membenam di malam hari, agar manusia boleh beristirehat.
Demikian juga air, udara, angin, pohon-pohon dan sebagainya, siap
memberikan layanan kepada manusia, kerana manusia adalah khalifah Allah
di atas muka bumi ini.
Lantaran itu, apabila manusia enggan melaksanakan perintah Allah SWT
yang telah diwahyukan-Nya dalam al-Quran, bahkan menentang-Nya dengan
jalan maksiat, maka azab Allah SWT akan turun antara lain seperti
banjir, cuaca panas kering, gunung memuntahkan laharnya, hutan belantara
terbakar, tanah runtuh dan sebagainya kerana perbuatan ganas
tangan-tangan manusia, ditambah maksiat berlaku berleluasa dalam
kalangan umat manusia. Semua kejadian seperti itu kerana perbuatan
derhaka yang diperbuat oleh manusia.
Dengan demikian manusia bukan lagi khalifatullah, bahkan menjadi
aduwallah (musuh Allah). Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka
masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, di antara
mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu dan di antara mereka
ada yang ditimpa suara keras yang menggempakan dan di antara mereka ada
yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami
tenggelamkan dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan
tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (al-Ankabut: 40)
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan