Di jarinya, tumbuh sesuatu yang menjengkelkan. Selalunya ia menempek
pada muka, tak ada pada tempat lain. Memang pelik. Macam mana jerawat
boleh tumbuh pada jari? Lalu beliau berjumpa dengan seseorang yang boleh
membantu masalahnya. Orang ini bukannya seorang doktor. Bukan juga
seorang pengamal perubatan. Tapi orang ini bukan calang-calang orang.
Dia adalah Baginda Rasulullah S.A.W.
Rasulullah S.A.W bertanya kepada pesakit itu:
“Engkau ada minyak zarirah?
Pesakit itu menjawab. “Ada.”
Baginda S.A.W bersabda: “Bubuhkan ia pada jerawatmu itu, kemudian bacalah doa:
“Allahumma musogghiral kabiir wa mukabbiras soghir soggir maabi”
Maksudnya: Ya Allah, yang mengecilkan yang besar dan membesarkan yang kecil, kecilkanlah jerawat ini.(1)
Itu adalah pengalaman Ibnu As-Sunni yang meriwayatkannya dari sebahagian
isteri Nabi. Rupa-rupanya, kaedah untuk merawat jerawat sudah
diberitahu oleh Rasulullah S.A.W lebih dari 1400 dahulu.
Bukannya dermatologis dan doktor pakar.
Bagaimana jerawat terjadi?
Jerawat terjadi kerana pori pada kulit yang tersumbat akibat sel kulit
mati yang tidak dibersihkan beserta dengan rembesan minyak dari dalam
kulit. Apabila kuman dan bakteria mula hinggap pada ruang tersebut,
gumpalan-gumpalan akan terbentuk dan terus menutupi pori-pori kulit.
Masalah ini sering meghantui remaja terutamanya remaja perempuan yang baru datang bulan dan wanita yang mengalami menopos.
Faktor tumbesaran yang pesat dan ketidakseimbangan hormon adalah antara
punca utama masalah ini. Faktor keturunan dan diet juga perlu diambil
kira.
Terdapat banyak kaedah untuk merawat jerawat. Sebelum jenama ubat
jerawat terkenal berbondong-bondong diletakkan di pasaraya dan digilai
ramai, minyak ini sudah digunakan terlebih dahulu.
Kenali minyak zarirah.
Minyak zarirah diambil dari pokok Swertia chirayita. Dikenali sebagai
Qasabuz-Zarirah di kalangan masyarakat Arab, ia boleh ditemui di kawasan
beriklim sederhana Himalaya. Tumbuhan ini bersifat pahit,
anti-keradangan dan digunakan secara meluas di dalam perubatan Ayurveda
untuk merawat buasir, ulser, diabetis dan penyakit kulit.
Minyak zarirah adalah salah satu daripada banyak kaedah untuk merawat
jerawat. Ianya semulajadi dan tiada bahan kimia. Mungkin agak sukar
untuk mendapatkan minyak zarirah di sini, tetapi anda boleh mengambil
beberapa langkah mudah untuk mengurangkan kesan jerawat.
Tips mengurangkan kesan jerawat :
- pastikan tangan anda sentiasa bersih. Kekerapan tangan menyentuh kulit muka adalah tinggi, jadi cuci tangan dengan air dan sabun sekerap yang mungkin.
- pakai pakaian yang bersih dan sudah dicuci.
- cuci muka dengan kerap. Wuduk setiap solat 5 kali sehari semalam adalah kaedah mudah untuk membersihkan muka dari minyak dan debu kotor.
- guna pencuci muka yang bebas kimia untuk membersihkan kulit muka anda.
- ambil makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral seperti vitamin A, vitamin B5, kalsium dan zink. Kurangkan makanan yang berlemak dan tidak berkhasiat.
- kawal stres dengan melakukan aktiviti aktif seperti bersenam, berenang atau senamrobik. Lakukan juga perkara yang boleh merehatkan minda seperti memancing, berkebun dan meditasi.
- tidur dengan secukupnya kerana tubuh badan dapat menjana semula sel-sel kulit yang baru dan mengeluarkan toksin dari badan.
- untuk petua mudah, sapukan sari timun pada bahagian wajah dan leher selama beberapa minit, kemudian bilas dengan air bersih.
Alhamdulillah, jerawat yang ada pada jari Ibnu As-Sunni sudah reda. Ini
semua berkat dari doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W. Lalu, ia
disampaikan kepada semua orang, hinggalah sampai kepada kita.
Terpulang kepada kita untuk mengamalkannya. Jika kita yakin dengan
kekuasaan Allah, insya-Allah apa sahaja masalah yang kita hadapi dapat
diselesaikan.
Sumber :
(1)Ditakhrij oleh al-Hakim dan beliau berkata:”Sanadnya sahih namun
tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim dan diakui oleh Az-Zahabi.
http://infosi88.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan