Rabu, 30 April 2014

Hadis - Rejab Bulan Allah

  

"Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan pula adalah bulan umatku". 

Para muhadditsin tidak sekata dan tidak sepakat menghukumkannya sebagai maudhu`(Palsu).  Jika ada yang menyatakannya sebagai maudhu`, maka ada pula yang akan menyatakan bahawa ianya bukan maudhu` tetapi dho`if dan sebagainya. 
 
 


Imam as-Sayuthi rahimahUllah telah memasukkan hadits ini sebagai hadits yang ke 4411 dalam karya beliau "al-Jaami`ush Shoghir fi Ahaaditsil Basyiirin Nadziir". Jika sahaja hadits tersebut disepakati atas maudhu`nya, maka sudah pasti Imam as-Sayuthi yang terkenal dengan ilmu dan waraknya tidak akan bermudah-mudah meletakkannya dalam karya himpunan haditsnya tersebut. Sudah pasti Imam as-Sayuthi mengetahui akan hukum meriwayatkan hadits maudhu tanpa memperjelaskan kepalsuannya. Sebaliknya, Imam as-Sayuthi menjelaskan bahawa hadits tersebut ada mempunyai sanad yang mursal kepada seorang tabi`in yang agung iaitu Imam Hasan al-Bashri rahimahUllah sebagaimana diriwayatkan oleh Abul Fath bin Abil Fawaaris dalam kitabnya "'Amaali" dan darjatnya adalah DHO`IF (baca: dho`if bukan maudhu`).

Selanjutnya, Imam al-Munawi rahimahUllah, pengarang "Faidhul Qadiir" yang merupakan syarah bagi "Jami`ush Shoghir" pada halaman 24, juzuk ke-4, setelah menukil pendapat al-Hafiz al-'Iraqi rahimahUllah yang menghukumkan hadits tersebut sebagai dho`if jiddan (terlalu dhoif) [lagi sekali bacanya "dho`if jiddan", bukan "maudhu` jiddan"], kerana hadits-hadist mursal yang dinisbahkan kepada Imam Hasan al-Bashri tidak mempunyai nilai di sisi para ahli hadits, menyatakan bahawa adalah pelik jika sanad hadits tersebut dihukumkan sebagai mursal sahaja. Ini adalah kerana Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" telah meriwayatkan petikan - petikan hadits yang seumpamanya pada lafaz daripada tiga jalan yang bersambung kepada sahabat Junjungan, Sayyidina Anas r.a. Ibnu Nashr dan lain-lain muhaddits juga telah meriwayat petikan-petikan hadits yang seumpamanya dengan sanad yang sama. Maka ini menunjukkan bahawa hadits tersebut bukanlah semata-mata hadits mursal, tetapi hadits yang musnad yang bersambung sanad segala periwayatnya kepada Junjungan Nabi SAW.

Wallahu a'lam.



Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.com/ lenggangkangkung-my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...