Imam al-Qurtubi
menceritakan dalam tafsirnya kisah berikut. Ia berkenaan Imam Ahli
Basrah yang bernama al-Hasan bin Abi Hasan al-Basri (w. 110H).
Suatu petang, al-Hasan
sedang menunggu saat-saat waktu berbuka puasa. Makanan telah pun siap
terhidang di hadapannya. Tiba-tiba beliau teringat ayat ini:
Sesungguhnya di sisi
Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan Neraka yang menyala-nyala. Dan
makanan yang menyumbat di kerongkongan (za ihussah) dan azab yang
pedih. (Surah al-Muzzammil 73: 12-13)
Beliau menjadi tidak berselera untuk makan. Beliau berkata, “Angkatlah makanan ini.”
Pada keesokan harinya,
al-Hasan meneruskan puasanya. Apabila tiba waktu berbuka, sekali lagi
beliau teringat kembali ayat itu dan tidak berselera untuk makan. Beliau
berkata, “Angkatlah makanan ini.”
Hal yang sama berlaku pada hari ketiga. Dengan demikian, sudah tiga hari beliau tidak makan apa-apa.
Melihat keadaan itu,
anak beliau segera menemui para ulama Basrah, Thabit al-Bunani, Yazid
al-Dabbi dan Yahya al-Bakka. Mereka segera ke rumah al-Hasan dan terus
merayu kepadanya supaya ia makan. Setelah beberapa lama, akhirnya
al-Hasan menghirup sedikit kuah sup.[1]
Membayangkan Makanan Ahli Neraka
Apa sebenarnya yang
berada di fikiran Hasan al-Basri apabila membaca ayat ini? Saya juga
tidak tahu hakikatnya. Namun jika saya boleh andaikan, fikiran beliau
ketika itu pasti dipenuhi dengan imej ahli Neraka yang sedang tercekik
apabila melahap makanan Neraka. Makanan itu tidak boleh turun ke perut,
namun tidak juga boleh dimuntahkan. Mereka tersedak dalam keadaan yang
sangat menyeksakan. Itulah makna “ta’am zi ghussah” (makanan yang
tersumbat di dalam kerongkong) dalam ayat di atas.
Ayat ini, bersama
beberapa ayat lain yang menyebut berkenaan makanan dan minuman di
Neraka, memberi isyarat bahawa ahli Neraka berasa lapar dan dahaga
sebagai seksaan bagi mereka. Lapar dan haus yang mereka rasakan jauh
lebih menyeksa daripada yang dirasakan oleh orang yang mati kebuluran di
dunia ini.
Sebuah hadis panjang,
riwayat at-Tirmizi menyebut perkara itu dengan sangat jelas. Daripada
Abu al-Darda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Akan dicampakkan perasaan lapar kepada ahli Neraka. Maka ia (rasa lapar itu) menyamai azab seksa yang sedang mereka rasai.”
Bentuk Seksaan
Jika kita renungkan,
“makanan” ahli Neraka sebenarnya bukankah makanan. Ia sama sekali tidak
memiliki sifat-sifat makanan yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga.
Malah, ia sebenarnya hanya satu bentuk seksaan untuk sistem dalaman
tubuh mereka.
Pelbagai ayat dan hadis
menceritakan bahawa setelah ahli Neraka melahap makanan atau meneguk
minuman, maka kesakitan merebak ke seluruh tubuh mereka.
Perhatikan firman Allah
SWT dalam Surah Ibrahim (14) ayat 17 ini, “Ia (ahli Neraka) meminum air
nanah itu dengan susah payah, hampir ia tidak dapat menelannya. Maka
datanglah maut dari segenap penjuru, namun ia tidak akan mati. Di
hadapannya masih ada azab yang sangat berat.”
Ayat ini menjelaskan
bahawa keadaannya setelah menyantap minuman Neraka ini seperti orang
yang sedang menghadapi sakaratulmaut. Kesakitan terasa di seluruh
bahagian tubuhnya walaupun di bahagian tubuh yang terkecil.
Ibrahim al-Taymi
berkata, “Kesakitan sakaratulmaut mendatangi ahli Neraka dari setiap
bahagian tubuhnya. Bahkan dari hujung-hujung rambutnya kerana kesakitan
yang terasa di sekujur badannya.
Keadaan ini terus
berlaku sepanjang keberadaan di dalam Neraka. Imam al-Qurtubi dalam
Tafsirnya berkata, “Keadaan orang kafir di dalam Neraka seperti keadaan
orang yang terus menerus mengalami sakaratulmaut tanpa henti.”[2]
Maknanya, ahli Neraka
tidak akan berasa kenikmatan walaupun hanya sesaat, sepertimana ahli
Syurga tidak akan merasa kesusahan walaupun hanya sedikit.
Pohon Zaqqum
Al-Quran menyebut
beberapa benda yang akan menjadi “makanan dan minuman” ahli Neraka
antaranya ialah Zaqqum, Ghislin, Ghassaq, Hamim dan Dari’. Menurut
az-Zamakhsyari dalam Tafsir al-Kasyaf, setiap makanan ini telah
disediakan untuk kelas-kelas tertentu daripada ahli Neraka sesuai dengan
dosa-dosa mereka.
Penjelasan tentang semua
ini sangat panjang. Maka pada kesempatan ini, saya hanya akan
berbincang tentang salah satu daripadanya sahaja iaitu Zaqqum.
Zaqqum
Dari segi bahasa, Zaqqum
ialah nama untuk setiap makanan beracun yang dapat membunuh orang yang
memakannya. Demikianlah sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-Manzur
dalam Lisan al-Arab daripada Tha’lab, seorang pakar bahasa Arab.
Menurut Imam Abu Hanifah
dan Qutrub, Zaqqum sebenarnya ialah nama sebatang pokok yang tumbuh di
negeri Tihamah yang kering dan panas. Baunya sangat busuk, daunnya
berbentu bulat dan kecil. Ia mengeluarkan getah berwarna putih yang jika
terkena kulit manusia akan menyebabkan bengkak-bengkak. Jika dimakan,
biasanya boleh mengakibatkan kematian.
Al-Quran menyebut pohon ini beberapa kali. Salah satunya dalam firman Allah SWT, maksudnya:
“Sesungguhnya pohon
Zaqqum itu makanan orang yang banyak berbuat dosa. (Ia) seperti keruhan
minyak yang mendidih di dalam perut.” (Surah ad-Dukhan 44: 43-45)
Semasa pertama kali
mendengar nama pohon ini, ahli Makkah tidak mengenalinya kerana ia tidak
tumbuh di negeri mereka. Oleh sebab itu, Abu Jahal mempersendakan
sambil berkata kepada teman-temannya, “Tahukah kamu, apa itu Zaqqum? Ia
adalah kurma yang dicampur dengan mentega.” Mereka lalu makan kurma dan
mentega sambil tertawa-tawa.
Allah SWT lalu menjelaskan melalui firman-Nya:
“Sesungguhnya ia adalah
sebatang pohon yang keluar dari dasar Neraka yang menyala. Mayang
(buahnya) seperti kepala-kepala syaitan.” (Surah ash-Shaffat 37: 64-65)
Oleh sebab Neraka
dipenuhi api, maka pohon Zaqqum tumbuh daripada inti api itu. Pohon ini
tidak terbakar oleh api kerana ia sama jenis dengan api. Akarnya
menjalar dari dasar Jahannam, lalu cabang-cabangnya menyebar hingga ke
semua tingkat Neraka.
Ia bermayang seperti
pohon kurma, namun rupa buahnya sangat menyeramkan seperti kepala
syaitan. Disamakan dengan syaitan kerana ia merupakan personafikasi
keburukan yang tidak mengandungi kebaikan sedikit pun dalamnya, menurut
Imam az-Zamakhsyari.[4]
Lapar dan Dahaga
Jika pohon ini begitu
menyeramkan, mengapa ahli Neraka tetap mendatangi dan memakan buahnya?
Jawapannya ialah kerana mereka berasa lapar yang teramat sangat dan
tidak menemui pilihan lain. Ahli Neraka bukan sahaja memakannya, malah
memenuhkan perut mereka dengannya.
Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Kemudian sesungguhnya
kamu, wahai orang yang sesat lagi mendustakan (hari Akhirat),
benar-benar akan memakan daripada pohon Zaqqum, dan akan memenuhkan
perutmu dengannya. Sesudah itu kamu akan meminum air yang sangat panas.
Maka kamu minum seperti unta yang sedang kehausan. (Surah al-Waqi’ah 56:
51-55)
Az-Zamakhsyari berkata,
“Makna ayat ini, ahli Neraka akan berasa lapar yang teramat sangat
sehingga memaksa mereka untuk memakan buah Zaqqum yang rasanya seperti
minyak panas. Apabila buah-buah itu memenuhi perut mereka, tiba-tiba
mereka menjadi sangat haus kerana kepanasannya. Lalu mereka terpaksa
meminum timah cair yang sangat panas sehinga terputus usus-usus perut
mereka.”[5]
Dalam hadis riwayat at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Andai setitik daripada
buah Zaqqum terjatuh ke lautan dunia, nescaya musnah semua kehidupan
yang terdapat di dalamnya. Maka, bayangkanlah bagaimana jika seseorang
memakannya?”[6]
Ketakutan
Seseorang yang membaca
al-Quran dengan pemahaman yang mendalam, diiringi dengan iman doa
khusyuk seperti yang dilakukan oleh Imam Hasan al-Basri, maka
seolah-olah ia menyaksikan seksaan ini dengan matanya. Lalu, mungkinkah
ia dapat makan dan minum dengan penuh berselera?
Hasan al-Basri juga
terkenal sebagai seorang tokoh yang selalu dikuasai rasa takut (khauf)
kepada hari Akhirat. Dosa-dosanya selalu berada di depan mata. Oleh
sebab takutkan dosa-dosanya, beliau khuatir makanan yang dimakannya
menjadi makanan ahli Neraka yang tidak dapat ditelan ataupun
dimuntahkan.
Beginilah akhlak ulama
salaf kita terdahulu sebagai warisan daripada Rasulullah SAW. Dalam
hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda, “Andai engkau
mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan
banyak menangis.”
Demi Allah, hati kita
tidak seperti hati mereka. Apabila membaca ayat-ayat yang menceritakan
azab Neraka, kita masih boleh makan dengan lahapnya. Kita masih boleh
tertawa dan bersenda gurau.
Semoga Allah SWT
mengampuni kelalaian hati kita dan tidak menghukum kita kerananya.
Semoga Allah SWT mengisi hati kita dengan keyakinan, keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT. Amin ya Rabbal ‘alamin.
______________
Catatan Kaki:
1. Tafsir al-Qurtubi, op. cit., jilid 19, hal 33.
2. Tafsir al-Qurtubi, op. cit., jilid 9, hal. 231.
3. Tafsir al-Kassyaf, op. cit., jilid 4, hal. 48.
4. Tafsir al-Kassyaf, op. cit., jilid 4, hal. 462.
5. Riwayat at-Tirmizi, Sifat Jahannam, no. 2585. At-Tirmizi berkata, “Hadis hasan sahih.”
*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com/ menrusi detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan