Marilah
kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan
harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik
atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.
Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan
budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai
contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri
aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu
kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah
terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah
telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati
untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut
telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja
untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir
makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak
yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang
belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit
nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi
kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.
Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah
panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri
majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi
bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang
saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang
terbalik.
4. Kalau menjadi
tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan
sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan
yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya
tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat
sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan
sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang
dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa
adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi
kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah
orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang
tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan
puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak
mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak
ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran
berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir,
maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.
Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa
amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka
dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau
anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu
hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru
tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi
kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar
pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya
lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari
tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja
mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi
kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan
kerja. Tapi ke rumah
Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke
masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak
ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri
kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi
berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang
dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk
orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga
kurang bahagia.
Cukup dengan
contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat
sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah
mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang
menentukan peraturan hidup kita.
Artikel ini dipetik terus :
http://mmpm403.blogspot.com/2009/11/10-amalan-yang-terbalik.html / menerusihttp://panduanpercuma.info
Tiada ulasan:
Catat Ulasan