Ahad, 9 Februari 2014

Hikmah di sebalik kisah Azizul dan Shalwati

Kisah pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan di Sweden kerana mendidik anak-anak mereka supaya tidak meninggalkan solat mendapat perhatian umum.


Azizul Dan Shalwati

Kedua-dua pasangan ini dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Sweden.

Rentetan kisah yang menyayat hati ini, sedikit cebisan senyuman dan harapan dibutirkan oleh pihak kerajaan Malaysia apabila berjaya membawa pulang keempat-empat anak pasangan ini ke tanah air.
 

Sebelum ini mereka diserahkan kepada keluarga bukan Islam di Sweden setelah ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden.

Kejadian ini sudah tentunya, membawa seribu satu pengajaran dan hikmah yang boleh dikutip oleh semua lapisan masyarakat di negara kita.

Pertama, golongan kanak-kanak dan remaja boleh mempelajari bahawa ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab akan senantiasa memastikan kejayaan anak- anak mereka bukan setakat kejayaan di dunia malah di akhirat juga.

Lihat sahaja keprihatinan Shalwati sebagai ibu yang berusaha gigih untuk mendidik anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat.

Tetapi harga dalam mendidik anak dan menegakkan sunnah Baginda Rasulullah SAW terpaksa dibayar dengan hukuman yang berat sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Azizul Dan Shalwati [2]

Dalam hal ini, penulis yakin bahawa setidak-tidaknya anak-anak pasangan ini akan sentiasa ingat untuk tidak sekali-kali meninggalkan solat kerana mengenangkan kesilapan mereka meninggalkan solat telah menyebabkan ibu bapa mereka di penjara.

Kanak-kanak dan remaja lain juga pasti akan ingat bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab untuk mendidik mereka bersolat kerana jika anak-anak yang sudah baligh tidak bersolat maka ibubapa turut akan mendapat dosa.

Hikmah kedua ialah peristiwa ini telah membuka mata banyak ibu bapa di luar sana bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak tentang solat.

Mungkin ramai antara kita yang terlupa menyuruh anak solat. Mereka lebih risau jika anak mereka gagal dalam peperiksaan. Namun amat jarang kita dapati ibu bapa mengeluh kerana anak mereka tidak bersolat.

Wajarkah perkara ini berlaku? Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila seorang anak telah mengenal kiri dan kanan, ajarlah dia bersembahyang".

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)" (Hadis riwayat Abu Daud).


Justeru, adalah penting untuk mendidik anak-anak tentang kejayaan dunia, namun jangan pula dilupa kejayaan di akhirat.

Hikmah seterusnya ialah terserlahnya keprihatinan masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan pihak kerajaan dalam menangani permasalahan ini.

Umum mengetahui, sejak kes ini dilaporkan di media massa, hampir setiap hari ada sahaja laporan dan berita yang melaporkan keprihatinan masyarakat terhadap keluarga ini.

Orang ramai pasti mendoakan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Ini menunjukkan masyarakat sangat prihatin dan bersatu dalam sesuatu hal yang melibatkan rakyat negara ini yang berada di perantauan.

Begitu juga halnya dengan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik tanah air yang turut bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.

Ini menunjukkan walaupun dalam banyak hal wujud pertembungan pemikiran akibat perbezaan politik, namun dalam hal yang melibatkan masalah rakyat maka semua pihak bersatu.

Keadaan ini boleh menjadi perintis kepada usaha menyatupadukan lagi rakyat terutamanya kaum Melayu Islam pada masa hadapan.

Pengajaran lain yang dapat dikutip ialah betapa pentingnya setiap Muslim untuk memikirkan persoalan besar di sebalik isu-isu yang menggoncang keamanan negara seperti isu kalimah Allah dan tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Tuntutan comango

Peristiwa ini menunjukkan bahawa jika hak asasi manusia menjadi undang-undang yang paling tinggi di sesebuah negara maka akan terbelakah lagi Islam di bumi Malaysia suatu hari nanti?

Sebagai contoh, dalam hak asasi manusia, solat merupakan hak peribadi dan terpulang kepada individu sama ada hendak melakukannya ataupun tidak. Begitu juga dalam soal minum arak. Menurut hak asasi semua manusia termasuk orang Islam boleh minum arak.

Mahukah suatu hari nanti apabila hak asasi ini menjadi undang-undang negara kita? Mahukah kita suatu hari nanti ibu bapa Muslim di Malaysia boleh didakwa memukul anak yang tidak bersolat?

Mungkin juga kita tak mampu berbuat apa-apa lagi apabila anak-anak kita pulang ke rumah sambil memegang botol arak kerana ia adalah hak asasi?

Perkara ini tidak mustahil akan berlaku di negara kita suatu hari nanti jika undang-undang sedia ada diganti dengan undang-undang hak asasi manusia.

Justeru, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Azizul Raheem dan Shalwati layak dinobatkan sebagai pencetus ummah negara.

Tindakan mereka menegakkan sunnah walaupun dilihat kecil di mata kita, namun ia memberi impak yang cukup besar kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga kisah ini memberi peringatan dan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.
utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...