Dan sesungguhnya kami(Allah) telah mengurniakan hikmah(kebijaksanaan)
kepada Luqman: Hendaklah engkau bersyukur kepada Allah! Siapa yang,
sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan siapa kufur
sesungguhnya Allah itu kaya lagi terpuji.
Surah Luqman; ayat 12
Luqman al-Hakim(Luqman yang bijaksana) adalah anak kepada Faqhur bin
Nakhur bin Tarikh(Azar), oleh itu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi
Ibrahim a.s. atau dikatakan juga beliau anak saudara kepada Nabi Ayub
a.s.
Luqman di katakan hidup selama seribu tahun sehingga dapat menemui
zaman kebangkitan Nabi Daud a.s. bahkan pernah menolong Nabi Daud a.s.
memberikan hikmah atau kebijaksanaan. Dia pernah menjadi kadi yakni
hakim untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.
Para ulama’ sepakat mengatakan Luqman itu seorang ahli hikmah
(bijaksana) bukan seorang nabi kecuali Ikrimah dan Assyi’bi sahaja
mengatakannya nabi kerana lafaz hikmah dalam ayat ini dimaknakan
“kenabian”. Dan dikatakan apabila Luqman disuruh memilih hikmah dengan
Nubuwwah(Kenabian) dipilihnya hikmah.
Adalah diceritakan , bahawa Luqman telah tidur di tengahari lalu
kedengaran suara memanggilnya: ” Hai Luqman! Mahukah kalau Allah jadikan
engkau khalifah di bumi yang memerintah manusia dengan hukum yang
benar?” Jawabnya” Kalau Tuhanku menyuruh pilih, akan aku pilih
Afiat(selamat) dan aku tidak mahu bala (ujian). Tetapi jika ditugaskan
juga aku akan taat kerana aku tahu bahawa Allah kalau menetapkan sesuatu
kepadaku Dia pasti menolong dan memeliharaku.
Kemudian para malaikat pun bertanya” Hai Luqman! Adakah engkau suka
diberi hikmah?” Luqman menjawab: sesungguhnya seorang hakim kedudukannya
berat, dia akan didatangi oleh orang-orang yang teraniaya dari segenap
tempat. Kalau hakim adil akan selamat, jika tersalah jalan ke neraka.
Siapa yang keadaannya hidup di dunia, itu lebih baik dari dia menjadi
mulia. Dan siapa yang memilih dunia lebih dari akhirat, akan terfitnah
oleh dunia dan tidak mendapat akhirat. Malaikat takjub mendengar
kata-kata Luqman. Apabila Luqman tertidur, dia dikurniakan hikmah, lalu
terjaga dan berbicara dengan kata-kata yang berhikmah.
Ada pula diceritakan bahawa Luqman itu seorang hamba bangsa Habsyi,
kerjanya sebagai tukang kayu @ gembala kambing. Apabila bertemu seorang
lelaki dia bercakap penuh hikmah sehingga lelaki itu takjub lalu
bertanya ” bukankah engkau seorang gembala kambing?” Luqman menjawab
“benar”. Lalu tanya lelaki itu “bagaimana engkau mencapai kedudukan
bagini?” Luqman menjawab ” Aku mendapat dengan bercakap benar,
memelihara amanah dan tidak ambil tahu apa yang bukan
urusanku”.
Sesetengah ulama’ mengatakan Luqman seorang hamba hitam dari Sudan
Mesir, bibirnya tebal dan tapak kakinya retak-retak. Juga dikatakan
bahawa sebaik-baik orang Sudan itu 3 orang iaitu Bilal bin Robah, Mahja’
hamba saidina Umar dan Luqman. Orang keempat pula ialah an-Najasyi raja
Habsyah yang beriman di zaman Nabi s.a.w.
Dipetik dari Tafsir al-Quran, Pustaka Mizan, oleh Ahmad Sonhadji Mohamad
https://muhdhazrie.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan