“…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah
kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan
orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan
menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji,
Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu.
Bukan Allah sudah tidak melihat usaha
dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu
tahu bahawa Dia menyayangimu. Sangat menyayangimu.
Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, engkau pilihannya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali padaNya.
Mungkin
selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya,
mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia
berikan padamu.
Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi dengan keluhan. Maka, muhasabahlah.
Wahai calon penghuni syurga,
“Mahasuci Allah yang menguasai segala
kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati
dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik
amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)
Pujuklah hatimu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagimu.
Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan
ujian dariNya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan
membuat kau lebih banyak ingat Dia.
Allah tahu itu dan ketahuilah Allah
sentiasa memerhatimu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin
yang terbaik untuk kehidupanmu.
Dan perancanganNya sungguh berseni dan
sungguh sempurna. Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu
itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan
pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.
Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman,
Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah.
Dia beri kau nikmat sepasang mata,
kerana kau pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai
selepas ini Dia mengambil nikmat itu?
Dia beri kau nikmat sepasang kaki,
kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir
andai kakimu patah dan kau disahkan tidak boleh berjalan lagi?
Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau
pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir betapa banyak
manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?
Bahkan, Dia juga beri kau nikmat ada
duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam
lagi. Tapi sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah
yakni merasa cukup dengan pemberianNya.
Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.
Yakinlah orang yang percaya akan
janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi
kepadamu dari jalan yang kau tidak sangka-sangka, cepat atau lambat
bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji.
Allah tidak akan mensia-siakan orang
yang melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan
setiap dugaan dariNya.
Jika bukan didunia, mungkin ganjaranmu
disyurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan
mengecewakanmu kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.
Tidak dapat dinafikan ada ketika kau
bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat. Apatah lagi
pada masa itu orang sekelilingmu seakan tidak memahamimu.
Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh,
Allah beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153)
Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwamu? Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari?
Lihatlah kehidupan ini dengan teliti,
pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional
serta cubalah belajar dari setiap yang kau perhati. Mungkin dari situ
kau dapat ingat Dia.
Ingin saya membawa diri saya dan pembaca
semua satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman
kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.
Kita bayangkan sebuah rumah. Dalam
pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap. Perlu ada duit
(peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku,
pasir, dan sebagainya.
Prosesnya juga banyak dan pelbagai,
susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala
tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan
ingin berehat sebentar.
Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak
dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan
bermacam-macam lagi.
Lihat. Untuk membuat rumah saja,
mengambil masa dan ada proses-prosesnya yang harus dilalui. Tersalah
sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.
Begitu juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point kita agar kembali kepadaNya.
Allah beri tempoh yang tertentu untuk
kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui
ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa.
Mungkin ada masa kau terduduk seketika,
mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kau mengumpul segala
kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaanmu.
Ada masa kau mampu bertahan, namun ada
masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi.
Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.
Dan Dia adalah saksi segala saksi atas
segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa
mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian
ini Allah izinkan berlalu pergi.
Dan ada ujian yang lain menanti pula.
Amat beruntunglah seseorang itu yang
bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam bentuk
kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan pencipta, dia
semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya.
Amat rugilah seseorang itu yang bilamana
Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama. Mengeluh
tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Wahai yang hidup dan akhirnya akan mati,
Ujian berbentuk kesenangan atau
kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan. Allah menguji setiap
hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang
itu, dan pada masa yang tepat.
Mahu ataupun tidak mahu, kita kena
menerima dan menghadapi dugaan yang medatang. Siapa kita untuk
mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri
perintahNya yang diperintahkan kepada kita?
Amat baiknya Allah, dengan ujian yang
hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari
yang mendatang. Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita
bersebab.
Mungkin dengan ujian yang hadir itu,
Allah nak angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah
nak beri pahala pada kita.
Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.
Wahai manusia yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai dugaan itu menjengukmu, tidak
dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milikNya, maka
mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia.
Usahakan untuk perbaiki iman. Solat
jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan
istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat/
tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan
sebagainya.
Dari situ, insya-Allah kau akan terdidik
sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang
terjadi dalam kehidupanmu.
Dari situ kau akan rasa, betapa
nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam
ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah
kesudahan yang baik.
Saya rasa ada benarnya ayat ini:
“Bukan beratnya ujian yang
membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang
menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.”- (Afdholul Rahman, LangitIllahi.com)
http://akuislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan