Selasa, 2 September 2014

Kisah Dan Pengalaman Memandikan Jenazah M17


mayat m17 
“Assalamualaikum. Siapa pun kamu, apa jua keadaan kamu, kami hanyalah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi.

“Bantulah kami dalam menyempurnakan jasad kamu sebelum dikebumikan nanti. Dari Allah kita datang, dan kepada-Nya kita kembali. Al-Fatihah.”

Itu antara ucapan, doa dan amalan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebaik sahaja menerima mana-mana jenazah pesawat malang MH17 untuk upacara pengurusan jenazah mengikut agama Islam.



Menurut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda, jenazah kemudian melalui lima proses penting.

Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesai proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.
Sebaik sahaja jenazah tiba di rumah mayat itu, pasukan Jakim terdiri daripada pakar bahagian pengurusan jenazah akan dimaklumkan oleh kedutaan Malaysia di Belanda, Penerbangan Malaysia (MAS) atau agensi yang dilantik untuk menguruskan jenazah mengikut agama Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Mohd Ajib Ismail berkata, jenazah yang diletakkan di dalam bilik yang ditetapkan rumah mayat itu kemudian akan menjalani proses ‘embalming’ sebelum boleh dimandikan atau dikafankan.

“Sekiranya jenazah tersebut lelaki, proses embalming akan dilakukan oleh pekerja lelaki Monuta Innemee.
“Kemudian, kami akan meminta pasukan pemandi jenazah lelaki dan perempuan (bergantung kepada jenazah) untuk bersedia menjalankan tugas dengan kelengkapan pakaian khas dan peralatan memandikan jenazah yang dibawa dari Malaysia.

“Ketua pemandi jenazah akan membuat keputusan sama ada sesuai atau tidak untuk memandikan jenazah menggunakan air atau sebaliknya berdasarkan kepada keadaan mayat atau jenazah yang diterima pada masa itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang pemandi jenazah yang enggan dikenali berkata, dalam memudahkan tugas di fasa ini, beliau akan cuba ‘berbual’ ringkas dengan jasad dan ‘buat seperti biasa’ tanpa ingin tahu siapa jenazah tersebut.

Seterusnya, Mohd Ajib yang juga koordinator pasukan Jakim sepanjang tugasan di Belanda itu berkata, jika sesuai dimandikan atau boleh menggunakan air atau dialirkan air, maka jenazah tersebut akan dimandikan.
Jelasnya, proses seterusnya dilakukan dengan kelengkapan set pemandian atau peralatan jenazah seperti kebiasaan yang dilakukan apabila memandikan jenazah Malaysia.
“Proses mandi akan dimulakan oleh ketua pemandi jenazah dengan dibantu oleh semua anggota pasukan berdasarkan pada jantina jenazah. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit berdasarkan kepada keadaan jenazah.

“Jika jenazah tidak boleh kena air atau dilalukan air dan boleh luput bila terkena air, ketua pemandi jenazah akan membuat keputusan untuk menggunakan kaedah tayamum dan kelengkapan tayamum perlu disediakan di tempat pemandian yang juga dibawa khas dari Malaysia.

“Proses tayamum akan dimulakan berdasarkan jantina jenazah dan proses ini makan masa sekurang-kurangnya 30 minit,” katanya.

Mohd Ajib menambah setelah proses mandi atau tayamum selesai, ketua pemandi jenazah akan memulakan proses mengkafan jenazah dengan bantuan anggota pasukan.

Beliau berkata, jenazah tersebut akan diangkat ke pangkin bersih di sebelah pangkin mandi yang telah dihamparkan kain kafan berserta kapas dan keperluannya dengan lapisan keduanya, lapisan plastik memandangkan jenazah ini akan dibawa (pulang) jauh sebelum diikuti dengan lapisan kain putih yang lain.
Menurutnya, selepas dikafankan, jenazah akan diangkat ke dalam keranda jenazah oleh kakitangan rumah mayat itu untuk proses selanjutnya sebelum diletakkan ke dalam sebuah bilik khas.

Difahamkan antara proses itu ialah ‘menghias dan mencantikkan keranda’ selain meletakkan bendera Jalur Gemilang.

Sebaik selesai proses tersebut, jenazah kemudian disolatkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd Manaf Mat yang turut menganggotai pasukan itu sebelum dipersiapkan untuk dihantar pulang.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, pasukannya seringkali ditanya sesetengah pihak mengenai bagaimana keadaan fizikal jenazah yang telah lama meninggal itu.

Jelasnya, baik mana-mana jenazah sekalipun, tugas mereka hanyalah menyempurnakan upacara pengurusan jenazah dan tidak akan sekali-kali membuka aib atau rahsia jenazah.

“Jenazah telah pun pergi. Tidak perlulah diketahui akan keadaan mereka sebaik sahaja kami terima kerana itu tidak penting, yang pentingya jenazah selamat disempurnakan.

“Apa yang patut kita semua lakukan adalah mendoakan kesejahteraan mana-mana jenazah agar tenang di alam seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral ,Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada Khamis lepas berkata, di Putrajaya bahawa istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) esok (2 September) dijangka melibatkan sembilan jenazah termasuk dua warga asing.

Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah warga Malaysia yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang ke Malaysia dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas MAS.
Satu lagi jenazah dihantar pulang pada Sabtu lepas, manakala tiga jenazah dihantar pulang pada Ahad.
Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
Sebanyak 43 daripada mereka adalah warga Malaysia.
mummynemo

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...