"(Iblis) berkata: "Ya Tuhanku, oleh
sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan
menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan
pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka." [Surah al-Hijr : 39 - 40]
Allah menceritakan perihal iblis dan pembangkangan serta keangkuhannya, bahawa dia berkata kepada Tuhannya;
بِمَا أَغْوَيْتَنِي
"...... oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat......." [Al-Hijr : 39]
Sebahagian ulama mengatakan bahawa iblis bersumpah atas nama penyesatan
Allah terhadap dirinya. Menurut kami, makna ayat dapat ditakwilkan
bahawa "kerana Engkau telah menyesatkan aku".
لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ
"....... pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, ......." [Al-Hijr : 39]
Yang dimaksudkan dengan 'mereka' ialah anak cucu dan keturunan Adam a.s.
Dengan kata lain, iblis mengatakan, "Sesungguhnya aku akan membuat
mereka senang dan memandang baik perbuatan-perbuatan maksiat, dan aku
akan anjurkan mereka serta mengiring mereka dengan agresif untuk
melakukan kemaksiatan."
وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
"....... dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya." [Al-Hijr : 39]
Yakni sebagaimana Engkau telah menyesatkan aku dan menakdirkanku menjadi
sesat, maka aku akan berupaya keras untuk menyesatkan mereka.
إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
"Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka." [Al- Hijr : 40]
Ayat ini semakna dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman- Nya;
"Terangkanlah kepadaku inikah orangnya
yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi
tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku
sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil." [Surah Al-lsra : 62]
[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Hijr, ayat 39 - 40]
Hal yang sama juga disebutkan dalam ayat berikut;
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
"(Iblis) menjawab "Demi kekuasaan Engkau
aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Mu yang
mukhlis di antara mereka"." [Surah Shaad : 82 - 83]
Iblis akan berusaha sedaya upaya setiap masa untuk menyesatkan manusia
dari jalan Allah. Ini ditunjukkan lagi dalam ayat berikut;
"(Iblis) menjawab: "Kerana Engkau telah
menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka
dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari
depan dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak
akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)"." [Surah al-A'raaf : 16 - 17]
Hanya golongan yang ikhlas kerana Allah akan terselamat dari penyesatan
Iblis. Ikhlas adalah tanpa riya', 'ujub, sum'ah. Ikhlas bukannya dengan
memberitahu orang lain bahawa kita ini ikhlas. Biarlah orang kata kita
tidak ikhlas, asalkan kita sendiri tahu bahawa kita betul-betul ikhlas
kerana Allah.
Betapa utamanya ikhlas, hinggakan Imam al-Bukhari pun meletakkan hadits
berkenaan ikhlas pada permulaan kitab Shahih-nya. Begitu juga Imam
an-Nawawi meletakkan hadits ikhlas pada permulaan kitab Hadits 40
beliau. Dan Imam as-Syafi'e mengatakan bahawa hadits ikhlas itu adalah
sepertiga ilmu dan merupakan 70 cabang dalam fiqh.
Zaman sekarang, cabaran kepada ikhlas semakin besar dengan adanya
media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan
sebagainya. Sangat mudah untuk menunjuk-nunjuk dan memberitahu kepada
ramai orang tentang ibadah dan kebaikan-kebaikan yang kita lakukan.
Semoga Allah S.w.t jauhkan kita dari beramal kerana manusia, kerana
dibimbangi amalan kita akan sia-sia dan pahala hilang, malah kita akan
mendapat dosa besar pula (contohnya kerana riya'), na'udzubillahi min
dzaalik. Allahul Musta'an.
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah
Agama yang benar." [Surah al-Bayyinah : 5]
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada
rupa paras kalian, juga harta kalian, akan tetapi Dia melihat kepada
hati dan amalan kalian." [HR Muslim no. 4651]
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا
اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ
وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
unikversiti
Wallahu a'lam .......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan